feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Ubat Angin dan Tegang

Labels: ,

Urat tengkuk menegang, bagaikan tegangnya net badminton semasa Datok kalah berlawan tempoh hari. Biasanya orang kata tanda darah tinggi. Tekanan darah aku memang tengah meninggi. Tapi tidaklah setinggi gunung Everest mahupon gunung Jerai. Batuk-batuk kecil dimulut dan hati turut bersahabat dengan tegangnya urat tengkuk. Semuanya mencerminkan simptom tekanan perasaan yang melanda diri sejak semalam, serentak dengan kejadian taufan Kekwa yang melanda di Nipon. Angin kencang itu membuatkan aku selalu sendawa dan kentut . Gaviscon pun aku teguk buat menambah bilangan sendawa dan kentut. “Sesungguhnya tempat mu bukan disini wahai angin, kembalilah ke atmosfera diluar sana” jampi aku sendiri. Dapat ilham dalam mimpi berjumpa Nur Kasih malam tadi. Suatu fenomena mengasyikkan, jarang-jarang aku temui. Kendur seketika urat tengkukku mengenangkan Nur Kasih dalam mimpi.

Aku tarik nafas dalam-dalam dalam kiraan sepuluh, aku lepaskan perlahan-lahan dalam kiraan sepuluh juga. Ini adalah petua yang diajarkan oleh kaedah Yoga yang telah diharamkan itu. Kini, aku tukarkan nama teknik pernafasan itu sebagai Yogi supaya tidak dicemuh oleh mana-mana media. Ini adalah salah satu bentuk langkah berjaga-jaga agar tidak berlaku sebarang kontrovesi. Aku yakin dengan tindakan ini sebab bagi aku takkanlah bernafas dalam-dalam pun boleh jatuh haram sebab yoga yang ajar.

Lega rasanya mendapat oksigen yang cukup. Tenang sikit beban di dahi ku yang sememangnya luas. Perut ku yang memang semulajadi kencang juga sudah mulai bertenang. Alhamdulillah, inilah nikmat buang angin. Angin yang terhasil akibat tekanan perasaan. Nampaknya seakan-akan ada perkaitan antara tekanan perasaan dan angin dalam badan. Entahlah, mungkin nanti aku akan ajukan kepada Prof Ahmad Fuad, bekas pensyarah aku, kalau-kalau dia sudi kajikan. Aku dengar sekarang ini dia ada pembantu yang rajin dan gigih. Mudah-mudahan kajian itu beroleh jawapan yang tepat. Mungkin nanti mereka-mereka, pengkaji ubat-ubat akan beroleh ubat yang boleh mengatasi keberkesanan gaviscon bagi melegakan angin satu badan.

Bila angin sudah tenang, tidak kencang, kelopak mata bertahap-tahap mula rasa berat. Perlahan-lahan menyepet. Pandangan zahir mula kabur, hilang perlahan-lahan bertukar menjadi gelap. Aku pun tertidur lantas sekonyong-konyong termimpi lagi, kali ini bukan Nur Kasih yang datang , lebih anggun dan mantap lagi. Siti yang muncul, sungguh ku tak sangka sekali. Bukan Siti Nurhaliza, tidak juga Siti Kos Endang apatah lagi Siti Ghouss adik kepada Fauziah Ghouss, tapi Siti yang manis rupawan, tiada tandingan.. Dia adalah isteriku sendiri. Oh, sungguh tenang sekali perasaan ini. Aku mula terfikir untuk membatalkan rancangan memohon Dr Ahmad Fuad buatkan kajian ubat penghilang tekanan dan angin. Sebab aku dah jumpa ubat yang jauh lebih baik dari gaviscon. Penyedap mata dan penghibur hati kala lara. "Ee eewah, dalam mimpi pun boleh bersastera" hatiku tercuit dengan insiden yang berlaku dalam mimpi asyik itu. Isteriku perlahan-lahan menghampiriku, Dia tersenyum dan aku tersengih. Sambil tersenyum dirapati isteriku, otak aku mula terpinga-pinga dalam penafsiran. “Betul ke tengah mimpi ni?”

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu istri-istri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir."( Arrum (30):21)
"Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." (Alfurqon(25):74)


Read More..



Air Suam Kurang Manis

Labels: , , ,



Sambil menikmati nasi kolesterol kukus ayam goreng berempah sebagai sarapan pagi, Sazali bersembang dengan isterinya. Selain memperihalkan hal anak-anak dan kerja ada juga terselit kisah-kisah gossip Fahrin Ahmad dan kekasihnya. Selangan sembang itu dihiasi bunyi hirupan teh tarik bikinan Manisah, isteri Sazali. Budaya sembang laki bini begini, semacam sudah jadi agenda tetap sebelum Sazali bekerja.Kalau banyak yang dikisahkan, banyaklah bunyi paling sedap di dunia itu kedengaran. Kalau tidak cukup segelas, ditambah lagi segelas. Begitulah seterusnya. Teh Tarik Manisah memang tiada tolok bandingannya buat Sazali. Sehinggakan pernah dia menghabiskan satu teko teh tarik tanpa berkongsi. Memang bak kata iklan, ada ummph.

Sazali bekerja di sebuah syarikat swasta, di Kampung Cucur Attap. Dia mempunyai rutin setiap jam 10 pagi untuk kudapan bersama teman baiknya Maslan, orang Stabak Benam. Sebenarnya polisi syarikat tidak membenarkan sama sekali, kudapan di luar pejabat. Sudah berulang kali diingatkan, namun mereka tidak endahkan langsung. Semuanya gara-gara ketagihan kafein, nikotin, kari dal pekasam serta bergebang . Ubat penyegar mata, jawab mereka memberi alasan. Sambil minum mereka bersembang. Borak tentang ehwal semasa yang terpampang di paru-paru akhbar.

Pagi itu mereka bergebang berkenaan menjadi Hero Rakyat. Masing-masing membincangkan kuasa super yang ingin dimiliki. Sazali berhasrat memiliki kuasa mulut berapi. Ini kerana selain boleh berjimat membeli lighter buat mengkretek, Sakhtinya itu juga boleh dimanfaatkan untuk memusnahkan musuh ketat seperti greenman dan ocean blueman. Caranya dengan menggunakan kata-kata yang berapi disertai juga dengan api yang sebenar. Api nyata yang boleh merentungkan rumah serta penghuninya tanpa belas, yang kemudian nanti direka laporan kesnya disebabkan litar pintas, ataupun ubat nyamuk.

Maslan pula ingin kuasa mimpi. Sesuai dengan dirinya yang sememangnya seorang yang kuat tidur. Namanya sendiri menghampiri kepada perangai orang yang gemarkan tidur, malas. Dengan kuasa mimpi. Dia pasti akan kuat bermimpi, ataupun mimpi dengan kuat, selain kuat tidur dan tidur dengan kuat. Tambahan lagi, kuasanya nanti membolehkan orang lain turut bermimpi, dalam erti lainnya turut tidur dan seterusnya kuat tidur.

Begitulah diskusi serius mereka sambil lubang hidung dibelai-belai aroma air neskape yang penuh anti oksidan seperti yang diiklankan. Oleh kerana mereka berdua maklum tentang hal anti oksidan itu, tidak cukup satu, mereka habiskan dua gelas setiap kali kudapan. Satu gelas mengambil masa setengah jam untuk dihabiskan. Maka sejamlah masa yang diboroskan sebelum sesi penyambungan kerja dibuat. Nyata impian kuasa mimpi dan berapi-rapi mereka itu hanya sekadar mimpi kosong dan berapi sebelum padam. Bak kata orang kampong Isa Kemas, menghabiskan beras sahaja.

Pukul 1 tengahari, tiba masa Sazali mengobrol lagi. Selain Maslan, Makkal Sakitnathan dan Chua Sel Kit turut menyertai. Sungguh satu Malaysia sekali. Menjadi rutin mereka berempat setiap seminggu sekali, makan di Kari Kepala Ikan Restoran New Zealand yang cukup tersohor di Jalan Kampung Cucur Attap. Kebiasaaan makan kepala ikan ini menyebabkan Sazali menjadi seorang yang pelupa. Acapkali dia alpa untuk solat, mengaji dan membayar zakat fitrah. Sambil melemahkan daya fikir dan ingat, mereka bersembang rancak amat seraya masing-masing menghabiskan air batu campur dan laici kang. Kepul-kepul asap rokok mahal dan bajet juga memenuhi ruangan obrolan mereka di tengahari terik itu.

Petang juga masa Sazali dan Maslan duduk berkisah. Sememangnya hobi bercakap ini sangat kuat tertanam dalam diri mereka, sama kuat dengan minat penggila pancing. Kali ini gebangan mereka berlokasi di Restoran Payung Kuning juga di Jalan Kg Cucur Attap. Sambil menjamu roti canai dan teh tarik gelas besar mereka memulakan diskusi ala YB. Kali ini bertemakan khutbah yang disampaikan baru-baru ini. Berkisarkan pendidikan agama yang mahu diterapkan. Masing-masing menyatakan kesetujuan yang tidak terhingga membayangkan betapa prihatinnya mereka terhadap pengetahuan agama anak-anak. Mereka sungguh bangga menjadi rakyat Negara yang mementingkan pendidikan agama.

Mereka meyalahkan sekolah-sekolah dan guru-guru yang menyebabkan anak-anak muda hari ini menjadi mat rempit, mat sosah beg sireh, bohsia dan bohjan serta doktor-doktor cucuk sendiri. Jurutera motor untuk rempit juga tak kurang banyaknya yang dihasilkan dari pendidikan dewasa ini. Kehebatan jurutera motor ini setanding dengan jurutera-jurutera asli dan terbukti bila mana mereka ini mampu meninggikan kelajuan Honda cup c70 sehinggakan mampu mengatasi kelajuan motor Rxz piawai.

Isu kegawatan so sial ini dicemuh oleh mereka berdua. Semuanya ditunding dengan jari telunjuk yang satu, tanpa disedari empat lagi jari tertuju ke arah diri sendiri. Mereka masih kurang mafhum, sebagus mana kualiti pendidikan di institusi pendidikan tanpa disokong institusi pendidikan terawal dan terhebat untuk manusia iaitu keluarga, belum tentu lagi keberhasilannya. Sepatutnya selain institusi sekolah diperkemas dan diperbetul, institusi keluarga adalah yang lebih penting untuk diperhebatkan peranannya dalam pembentukan insan. Pendidikan melalui tauladan. Ibubapa sebagai contoh terdekat dan paling rapat untuk dicontohi oleh anak-anak. Teringat kata ahli falsafah, anak-anak memang jarang dan susah mendengar kata, tetapi tidak pernah gagal dalam meniru ibubapanya.

Ibubapa yang asyik terlupa solat dan mengaji, mennyuruh anak jaga solat dan mengaji. Ini kaedah pendidikan yang senget. Lebih geli lagi, bila bapa marahkan anak hisap rokok, sedangkan tangannya sendiri tidak pernah lekang dari rokok. Sazali harus diberitahu hal ini, dia belum sedar. Niatnya yang suci murni itu harus digiring oleh Kementerian Keluarga agar upaya membuat program-program bimbingan untuk ibu bapa tentang kaedah berkeluarga, membimbing anak-anak menjadi manusia berguna. Bergema sekali sembangan mereka petang itu tanpa disedari gema itu terpantul kembali ke gegendang telinga mereka untuk muhasabah, sama-sama mendalami dan mengamalkan ilmu agama.

Sebelum pukul 7 petang, mereka bersurai pulang ke sarang masing-masing. Mandi dan bersiap untuk makan malam sambil menonton Buletin Sohih, tv tiga suku. Selepas makan nasi, Sazali bersembang lagi tentang hal-hal kerja serta kisah artis cantik Fosseya Ghost dan Rosetta Prawn Chezch dengan isterinya. Keaktifan mulutnya bercakap seiring dengan idamannya memiliki kuasa mulut berapi. Cocok sekali. Selain bercakap-cakap, teh tarik bewarna air Sungai Gabak buatan Manisah tidak dilupakan. Enak sekali nasi dan lauk yang ditelan Sazali diturunkan dari esofagus ke usus melalui perut sambil diiringi teh tarik. Mengendeh perut Sazali diisi dengan makanan dan minuman seharian. Selepas makan, dia sekeluarga menghabiskan malam dengan menonton televisyen.

Sebelum tidur sekitar pukul 10 lebih, Sazali minat untuk bercerita lagi. Sambil minum teh tarik atau neskafe. Kadang-kadang bersama teman di restoran Mamak Suci dan Bersih di kawasan taman perumahannya. Kalau perut masih lapar, boleh disi dengan roti canai dicicah kari dal pekasam buatan 8 bulan lepas. Memang mengiurkan makanan yang telah diperam seperti kari dal itu. Bisa buat perut ketagihan. Kalau tidak keluar rumah pun, Sazali tetap mahu berkisah juga. Otaknya tidak pernah kering idea, walaupun agak kering memori dek kerana suka makan kari kepala ikan. Setidak-tidaknya dia akan berkisah dengan isteri dan anak-anaknya sebelum tidur. Teh Tarik turut ikut acara sembang-menyembang. Semua ini semacam suatu ketagihan buat Sazali.

Begitulah rutin hidup Sazali sejak muda lagi. Kini usianya sudah menjangkau 33tahun. Masih muda. Namun, mudanya tidak bermakna buat Sazali. Urinnya kini disukai semut, mata hitamnya pula sudah mula berselaput. Makanan rutinnya ialah pil-pil bewarna-warni, dan beraneka bentuk.Dilengkapi kotak pil khas supaya jadual gilirannya lebih kemas, tersusun, tidak mengelirukan dek kerana banyaknya ‘gula-gula’ yang perlu dihabiskan.
Lengan dan pehanya dipenuhi dengan parut-parut suntikan yang perlu dilakukan hari-hari. Sama padat dengan parut yang dipunyai oleh ahli-ahli persatuan doktor cucuk sendiri.

Menyuntik insulin menjadi aktiviti hari-hari Sazali, buat mengawal kencing manisnya. Jari-jari kaki kanannya yang mulai menghitam, menunggu saat yang sesuai untuk dipotong. Jantungnya juga sudah mulai penat dan lemah kerana selalu kerja lebih beban mengepam darah manis yang likat dan pekat. Kelemahan jantungnya juga membawa kepada kelemahan ke bahagian-bahagian lain tubuh, termasuk bahagian terpenting buat pria sepertinya. Kasihan, Fungsinya telah mati.

Keadaan dirinya yang penuh derita membuatkan nafsu sembangnya ibarat pucuk yang mati. Cita-citanya untuk mendapat kuasa mulut berapi telah dipadamkan oleh air racun yang dikonsumsinya setiap hari. Yang diperolehi sekarang hanyalah kuasa mendapat kasihan. Sanak saudara dan rakan-rakannya sangat kasihan dengan nasibnya. Walaupun kasihan, kebanyakan mereka hanya bersimpati tanpa empati. Kasihan Sazali. Semua ini gara-gara rutin kehidupan dan pemakanan serta gaya minum-minum yang sudah sangat sebati dalam dirinya. Kemanisan, kelemakan dan kesedapan minuman hariannya menjadi racun jangka, membunuh kenormalan tubuhnya senyap-senyap, perlahan-lahan.

Air putih jernih, jarang sekali diisi ke dalam kerongkongnya. Dari pagi hingga ke petang, sel-sel tubuhnya akan dibasahkan dengan cecair yang manis-manis belaka. Cecair berkalori yang jarang dipertimbangkan kalorinya oleh kebanyakan orang, termasuk orang-orang yang bercita-cita menurunkan berat badan. Rutin Sazali yang mendorong status fizikalnya layak digelar hiper obe siti. Gemuk gendut gedempol bahasa awamnya. Taraf yang membuka banyak peluang untuk penyakit-penyakit masyhur membuat kerja-kerja menambah rosakkan organ-organ tubuhnya satu-persatu.

Kalaulah Sazali diberi peluang kembali ke masa lepas. “Minum apa bang?” “Bagi saya air suam ya” itu buat kedai yang membekalkan air bertapis atau lebih baik “Bagi saya air ro satu botol”. Itulah jawapan terbaik untuk Sazali lafazkan. Tubuh kita memerlukan sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Bukan air teh atau antioksidan neskafe, tapi air suci dan tulin. Buat jurucakap-jurucakap terhormat, selain menjaga pendidikan, penjagaan makan dan minum juga harus diperkemas, diperbersih dan diperbetulkan. Keduanya sama penting timbangannya. Pendidikan ini harus dimulakan, diturap dan ditekankan melalui guru-guru sejati, dan sekolah-sekolah sebenar, ibubapa dan keluarga. Baru nanti kita ada sakhti, dinobat menjadi Hero Dunia.

“Dik, Bagi saya air suam kurang manis satu!”

(*jimat seringgit dua puluh sen)

"Maka hendaklah manusia memperhatikan makanannya" (80:24)




Read More..



Betulkan Tingkap Yang Pecah

Labels:


Basuh
Bila masuk kereta tak berbasuh sepurnama dua, hati menjadi sembab dan bengkak. Muka jadi tidak berseri. Malu menjadi-jadi. Lagi-lagi kereta yang dipandu itu hendak dibawa ke rumah Pak Cik Kassim (bukan nama sebenar). Sebab dia pembersih berstatus bapa mertua ku. Pandu kereta tidak berbasuh memang menjadi igauan nurani, lebih-lebih lagi bila sering menjadi perhatian teman sekerja, pekerja-pekerja dan teman bukan sekerja. Kalau pun kereta itu mandi, hanyalah mandi alami dek kerana hujan yang bersimbah. Tanpa sabun cap Salji, mahupun gosokan-gosokan span dari ahli basuh kereta. Keyakinan diri hilang entah ke mana, lantaran kereta tidak berbasuh. Yang tinggal tidak berlari hanyalah malu. Malu bangun berdiri, menembok pipi dek kerana debu yang bertempek-tempek merata-rata dan butiran pasir serta resit tol bertaburan di lantai kereta. Kotak air yang habis diminum serta botol air mineral juga ada. Semuanya mencacatkan pemandangan. Minda dan hati ikut cacat sementara. Rasa tidak sempurna. Hilang keyakinan diri. Habis input ceramah keyakinan diri, sekonyong-konyong turut berlari jauh dari memori. Baik ceramah Fadzillah Kamsah, mahupun Antoni Robin. Apatah lagi ceramah dari encik Kamaruddin, tokoh Kampung Tanpa Atap, Kuala Lumba.

Keremut
Bila sampai ke rumah Pak Kassim, baru aku perasan. Baju yang aku pakai sebenarnya hebat berkeremut. Masa nak keluar rumah tadi, rasanya macam tidak seteruk mana, sempat gosok sikit-sikit sahaja dek kerana kesuntukan masa. Tiba-tiba diri ini terasa seakan sekecil semut. Malu bukan kepalang, sebab kereta dan baju tidak capai tahap sirim. Segala-galanya tidak menjadi. Butiran kata seperti lidah dan pipi terkena ulser. Kata-kata menyegan, suara sayup-sayup tidak jelas. Saat itu, atas rasa malu, mataku pandang ke bawah. Ya Allah rupanya seluar pun tidak kena juga. Garisan yang sepatutnya ada satu, rupanya bercabang tiga. Macam lembing bercabang tiga syaitan merah, yang berjaya mempengaruhi ramai penyokongnya tersendiri. Lepas ini kena pergi kursus seterika anjuran Kementerian Pakaian nampak gayanya. Nasib baik Pak Kasim tidak kata apa, tapi dari tusukan matanya, aku faham dia rimas dengan segala aspek ketidakkemasan kereta dan diri aku. Pertemuan petang itu, berakhir dengan seribu kekusutan dan keinsafan buat diriku.Dalam memandu pulang, hati masih bercelaru memikirkan. Fikirkan ketidakselesaan bila ketidakkemasan berbudaya.

Rumah
Kecelaruan hati itu dibawa pulang. Bila sampai di pagar rumah, entah mengapa hati menjadi resah. Berdebar-debar seperti terdengar kereta yang pasang speaker kuat tidak ingat punya. Pintu rumah dikuak, oh, argh. Rupanya kecelaruan yang ku sangka habis di rumah Pak Kasim, bertambah pula di rumah sendiri. Rumah ku, di ruang paling utama, ruang tamu sudah seperti tongkang pecah. Mainan anak bertaburan sana-sini, nasi-nasi bersepahan baik yang masih berstrukturkan nasi, mahupun yang sudah dilenyek, bersepah di permaidani. Hati menjadi menggelegak sekonyong-konyong. Anak yang berminat hendak memanjakan diri, aku sergah. Apa sahaja yang tidak kena aku sergah. Termasuklah mainan anak ku, menjadi sasaran terjah. Terjah ini tidak sama dengan terjah melodi tv3.

Kuala Lumba
Aku pun keluar membawa diri menuju ke kota Kuala Lumba buat menenangkan perasaan. Mungkin ini tindakan terbaik. Aku pergi ke Wisma Sangsi. Rupanya sakit mata bertambah, bila lihat tingkap-tingkap yang pecah. Rumah kosong tidak berpintu, kotor. Sampah sarap di sungai bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Teringat suatu masa dulu kempen sungai bersih. Entah berapa belanja yang dikeluarkan, tidak ke mana hasilnya. Pelik aku sungai-sungai di Negara aku lebih kotor dari sungai-sungai Negara John dan Robert. Kini kempen jaga sungai sudah tidak kedengaran lagi. Entah masih ada, atau hanya tinggal sejarah. Cuma kempen yang masih kedengaran kempen pilihanraya, terbaru di Batang Pinang. Begitu sungguh-sungguh mereka berkempen sehingga menitiskan air mata dan darah. Bagusnya kalau kesungguhan itu diturapkan dalam kempen jaga sungai.

Tenang
Dalam aku berjalan-jalan, mata ku terpandang pada dinding-dinding berhias dengan hasil tangan kreatif, yang aku kira tidak mendapat kelulusan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumba. Aku tak pasti adakah ini kesan dari budaya hip hop ataupun kultur rempit dan rempitah punya angkara. Aku peduli hal-hal ini, sebab mata aku menjadi bertambah perit. Semacam sifat penyakit kanser yang merebak-rebak, ke sana-sini. Penyakit ini tidak harus dibiarkan sehingga ke tahap 4, boleh membunuh tanpa ihsan. Aku mesti cepat mencari tenang. Aku berjalan lagi. Tiba-tiba alangkah tidak ku sangka, akhirnya doa dalam hati dikabulkan. Tenang, aku dah jumpa. Aku mengukir senyuman.

“Tenang, lama betul tak jumpa kau” Tenang adalah panggilan nama seorang kawan satu sekolah dulu. Melihatkan pada wajahnya, memang tidak langsung ada raut ketenangan. Yang ada hanyalah, lekuk-lekuk halus bertempekan. Entah kenapa dia digelar tenang, aku rasa tidak perlu untuk cari jawapannya. Sebetulnya nama asal dia Adam. Sekarang dia mintak aku panggil dia Jedi pula. Aku akur, memang selayaknya dia tidak dipanggil tenang. Tidak cocok. Dihadapan aku sekarang, rambutnya tegak mencacak, telinganya bersubang dan fesyen kasut terbaru, terompah kayu. Aku kira, dari penampilan terkini Jedi, dia memang sinonim dengan senario dikawasan terpencil Kuala Lumba ini. Lebih-lebih lagi di lorong Haji Baik yang sememangnya tidak baik langsung. Entah mengapa lorong kecil itu tidak baik, walhal penjaga kawasan berpakaian biru, pejuang kebaikan, berpondok disitu. Ah, rupanya tenang yang aku jumpa hanya mengusutkan lagi.

Gebang
Dalam pertemuan ringkas itu, sempat kami bergebang sambil minum kopi di warung jalan kopi. Bila ditanya pekerjaannya sekarang, dia memberitahu dirinya seorang perompak, tukang pecah rumah, pencuri kereta dan kadang-kala pembunuh. Pada mulanya, aku sangkakan dia sekadar bergurau jenaka. Tapi bila dia serius menegaskan, ditambah perwatakan wajah dan tubuhnya yang jauh dari dulu itu, aku mula naik gayat bergebang dengan makhluk semacam dia ini. Silap-silap aku pun dia rembat nanti. Aku pun mencari alasan untuk cepat-cepat meneruskan perjalanan. Suasana Kuala Lumba, termasuk tingkap-tingkap yang pecah pada aku, semacam faktor penyumbang kepada gejala sosial. Suasana tidak kemas, berselerak, pecah-pecah ini menjuruskan budaya songsang penginap-penginap di sausana sebegini. Lebih tampak lagi, pengaruhnya di Sungai Duit berbanding Kota Kaya di Kuala Lumba. Walaupun kedua-duanya ada kisah tingkap pecah tersendiri.

Kembali
Setelah puas aku meneroka dan keletihan, aku pulang semula ke rumah di temani suram-suram cahaya malam. Kunang-kunang turut kelihatan. Nampaknya di sini lebih tenang dari Kuala Lumba. Keadaan Tongkang Pecah itu bersifat sementara sahaja. Ada masanya, keadaannya lebih kepada Taman Tenang. Mungkin pertukaran konsep itu, akibat acara terjah dan sergah yang tercetus. Bertambah tenang lagi melihat wajah-wajah isteri dan anak-anak sendiri. Apatah lagi bila si abang, 4 tahun sekonyong-konyong bersuara “ Mak, lepas ini kita beli sabun Jun ya”. Terdiam sekejap memikirkan kata-katanya itu. Rupanya dia nampak bungkusan sabun May yang emaknya baru koyakkan. Gelak besar aku dibuatnya. Gelak adalah ubat tenang yang baik juga. Tapi dosnya tidak boleh berlebihan, boleh mudarat. Dalam kegembiraan itu, aku berdoa “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” Rujukan surah AlFurqan, ayat ke 74.

Sekolah
Suasana yang tenang dan damai begini mampu memupuk budaya. Budaya berkasih-sayang. Budaya yang baik. Akhlak yang agung. Ya, suasana mampu mempengaruhi budaya. Suasana yang bersih dan ceria mencetus budaya yang bersih dan ceria juga. Teringat semasa zaman persekolahan dulu. Aku bukanlah budak yang rajin belajar saat mencecah tingkatan 1. Sebelum masuk ke asrama penuh, aku sempat beberapa purnama bersekolah di asmara penuh. Kegiatan-kegiatan persekolahanku mula menyongsang sedikit demi sedikit. Minat untuk buka buku kalah dengan minat untuk buka lagu. Kenakalan menjadi-jadi apabila ponteng sekolah dimasukkan dalam diari. Aku mula melanjutkan pelajaran di beberapa kedai game. Masa itu tidak wujud saiberkafe lagi. Nasib baik aku mendapat tawaran ke sekolah sains batu 9, di Negeri Dua Kerajaan. Dengan aktiviti yang sarat dari pagi ke petang, bersambung malam untuk kelas prep, budaya malas aku berhijrah menjadi rajin. Kebanyakan kawan-kawan bertungkus lumus belajar, membaca, buat kerja rumah. Aku bagai terpukau dengan budaya yang sama, tanpa disedari. Suasana belajar yang ada, kuat mempengaruhi. Kekemasan juga terjamin dengan budaya pemeriksaan ke atas kamar-kamar yang dibuat secara rutin. Suasana ini membentuk budaya bersih. Yang mendorong dari luaran sampailah ke dalaman.

'Ibrah
Masalah kebanyakan datang dari budaya. Budaya kota belantara contohnya. Budaya yang tercipta sesuai suasana yang ada. Suasana atau bi ah kata bahasa alqurannya. Budaya kita harus diubah dengan mencipta suasana bersih, tenang, damai, indah. Agar bisa mencipta kembali budaya bertamadun. Membanteras budaya budak-budak tanpa matang. Ayuh, ambil tindakan bersihkan sungai! betulkan tingkap yang pecah!







Read More..



SenGeT SaNa siNi

Labels:




Di Rawang, seorang budak dipukul hebat oleh budak-budak yang lain. Kehebatan pukulan itu membawa kepada koma. Apalah nasib malang budak itu. Malang juga buat ibu bapa yang itulah satu-satu anaknya yang dikurnia Allah setelah 6 tahun berumahtangga. Aduh, parahnya perasaan mereka tidak dapat dibayangkan. Katanya, disebabkan perbuatan jeling-menjeling terjadinya aktiviti pukul-memukul itu. Darah muda tidak terbendung. Nafsu dijulang lebih tinggi mengatasi akal. Buruk akhlak sungguh. Ini pasti akibat kekurangan ilmu dalam dada masing-masing. Ilmu mampu menyeimbangkan emosi dan intelek. Kebuluran pendidikan ini menyebabkan emosi melebihi intelektual. Tidak seimbang, lantas senget-benget. Sesenget tindakan liar yang dibuat. Tindakan berbudaya rimba belantara. Orang senget.

Di Johor bharu, Satu lagi kisah, isu senget juga, kali ini lebih senget lagi. Seorang wanita oku, dipercayai telah dibunuh oleh anak sendiri berusia 22tahun, akibat pertelagahan antara membeli motor atau kereta. Kalau dia sedar pengorbanan ibunya sejak dari mengandungkan dirinya, membesarkan dari tapak kaki sebesar dua batang jari, sampai sudah besar panjang boleh berdiri, pasti kalau dia hayati semua itu, tidak ada kesanggupan berbuat begitu. Apatah lagi hanya dek kerana ehwal motor dan kereta. Sungguh tragis, dan tidak berperi kemanusiaan. Sekali lagi, isunya keseimbangan emosi dan intelek. Senget, tak berimbang. Intelek yang ringan, emosi lebih berat, penimbang versi lama sekonyong-konyong menyenget.

Di Sungai Petani, Anak gadis muda setahun lagi umur calon pmr, buat akuan sudah 4 kali hamil. Bermula pertama kali seawal 12tahun akibat dirogol. Kasihan tidak terperi buat gadis sekecil itu di perlaku demikian zalim. Ibu dan bapa bergaduhan kerana hal wang tidak mencukupi. Hati anak semakin celaru. Sudahlah menjadi mangsa jenayah rogol, ditambah lagi jenayah gangguan emosi dari ibu bapa sendiri. Dek kerana tiada yang menggiring, menuntun dengan makanan pendidikan rohani. Jiwa kosong dan gersang akhirnya tersalah pilih makanan. Kehausan ketenangan diselesaikan dengan cara bergelumang dengan rakan-rakan penghidu gam dan pelayan ganja. Kasihan sungguh, dek sengetnya pertimbangan dan perlakuan akibat sengetnya ilmu dan emosi.

Di Rawang lagi, seorang murid sekolah rendah terkujat-kujat apabila barang yang disangka kotak rokok bewarna merah rupanya janin bayi. Ini pasti akibat kesengetan juga. Susah hendak kata. Sudah macam budaya pula sekolah jadi tong sampah untuk janin-janin dan bayi-bayi yang tidak mahu diterima. Binatang pun tahu sayang anak sendiri. Sebabkan senget, manusia boleh jadi lebih dahsyat dari binatang.

Di Malaysia, sebenarnya banyak lagi aktiviti-aktiviti senget-benget berlaku. Baik yang terpampang mahupun yang tertanam. Bila kurang baca, begini lah jadinya. Tara baca punya orang, ungkapan begitu lebih mudah difahami dan dihayati. Bila pergi sekolah disuruh belajar, tapi yang dibuatnya main-main dan mengorat sana-sini, impaknya terjadilah perlakuan senget ala ketam berjalan. Lebih-lebih lagi yang mengajar ehwal berjalan senget itu bapa-bapa dan ibu-ibu ketam. Lahirlah keturunan-keturunan berbudaya ketam, senget berjalan.

Nun Jauh Di peran cis pula, pimpinan kita diberi penghargaan memberi ucaputama dalam persidangan pertubuhan pendidikan, saintifik, budaya bangsa-bangsa bersatu (unesco). Mempromosi gagasan satu malaysia satu formula sakti boleh mengamankan dunia. Katanya dengan konsep satu Malaysia itu, kondisi menjadi aman. Aduh, alangkah malunya bukan kepalang andai semua pemilik gegendang telinga yang mendengar ucaptama itu mengetahui senario hakiki seperti gambaran di atas. Gagasan itu memang cantik sekali dijadikan sebagai formula kesejahteraan. Sesuai konsep piagam madinah yang dilaksanakan oleh Muhammad Rasulullah. Konsep yang dituntut oleh pelaksana-pelaksana di Kelantan, telah lama dilaksanakan di negeri mereka.

Namun, jika sekadar kata-kata indah tanpa disusuli perlaksanaan istiqamah, konsep hanya akan tinggal konsep. Maka, pendidikan dan kefahaman tentang konsep harus di lebar luaskan lagi agar mesejnya menyerap disegenap hati-hati rakyat supaya ikhlas dalam aplikasi konsep. Harus diingat juga, pendidikan terbaik adalah pendidikan melalui tauladan. Penyampaian mesej melalui tindakan, amalan. Menggunakan strategi dakwah lisan al-hal berbanding lisan al-maqal. Atau mungkin orang kebanyakan lebih faham bahasa inggeris berbanding bahasa alquran iaitu “action speaks louder than words”. Penting untuk seimbangkan antara kata-kata dengan perbuatan. Kerna apabila kata-kata tidak berimbang dengan perlakuan, maka dacing akan senget-benget. Maka kondisi aplikasi tidak sinonim dengan kata-kata tercipta. Berlakulah kejadian yang dikisahkan tadi, menggambarkan keamanan yang disebabkan gagasan satu Malaysia sebagaimana yang dicanangkan masih dalam bentuk kata-kata, konsep-konsep. Senget lagi. Perlu diperhalusi, dikaji dan diambil tidakan supaya tidak senget.


“Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (ArRahman(55):9)


Read More..



Jurus Minda

Labels:


Ralph Waldo Emerson pernah berkata

“Seseorang itu akan menjadi apa yang sering difikirkan”.

Apabila kita berfikir tentang sesuatu, dengan kerap, perbuatan kita akan cenderung mengikut apa yang difikirkan. Logiknya di sini, berfikir melibatkan penggunaan otak, manakala pergerakan tubuh pula terjadi atas penghantaran isyarat atau impuls dari otak kepada anggota badan, baik organ dalaman mahupun anggota luaran. Jadi fikir dan tindak suatu yang punya kaitan rapat.

Terdapat orang yang sering memikirkan tentang bola. Lantas terungkap motto “makan bola, minum bola, tidur bola” segala-galanya perihal bola. Walaupun, hafalan subek sains mahupun geografi mengundang kesukaran, namun berbeza untuk bola. Ibarat makan kismis minda khusus untuk bola sahaja, segala-gala tentang bola dapat dihafali jauh lebih baik dari menghafal rukun wuduk atau haji. Nama pemain, nombor jersi, asal di mana, status perkahwinan, nama pasukan, jadual harian, menjadi zikir harian bagi ahli fikir bola. Tindak-tanduk harian semua berbudayakan bola, baca surat khabar tentang bola, tengok bola walaupun orang lain sudah lelap mata, sembang-sembang tentang bola, petang main bola. Pendek kata, serba-serbi aktiviti bersangkut ehwal bola. Tanyalah apa sahaja, tentang bola semuanya boleh dijawab tepat. Kalau ada subjek bola dalam peperiksaan, pasti kalau bukan A diperolehi, A + dirangkul. Hebat dan bagus sekali hasil memori dan ilmu bola apabila sentiasa menjadi bahan fikir harian.

Dari contoh di atas, dapat disimpulkan, apa yang kita sering kita fikirkan adalah apa yang kita minat. Maka, bagi membentuk pola fikir kita yang bagus juga, kita perlu membentuk pola minat terhadap suatu yang baik serta bermanfaat untuk kehidupan kita. Minat tidak semestinya hadir secara alami, minat juga boleh dipupuk.

Macam-macam jenis perkara lagi yang biasa difikirkan sentiasa oleh orang kebanyakan seperti wanita, pangkat, harta, tv, radio, gossip dan macam-macam lagi. Dalam masa yang sama juga, tidak sedikit pula yang jarang-jarang berfikir, menjadikan otak yang diletakkan dikepala itu mahal harganya. Tinggi nilainya sebab kurang diguna. Bagi kategori sebegini, kehidupan yang dijalankan rutin, bangun pagi, pergi kerja, balik malam, tengok tv, tidur sebagai ulangan aktiviti sehari-hari. Mentaliti kategori ini, pada kebiasaannya terselimut dengan zon keselesaan.


Justeru bagaimana dengan kita, apa yang kita paling banyak fikirkan, apa yang sepatutnya kita paling banyak fikirkan? Mengulang kembali kata-kata Ralph Waldo
Emerson, bahawa kita akan menjadi apa yang kita sering fikirkan, bermaksud kita harus selalu fikirkan tentang tujuan dan matlamat kita. Apa yang kita mahu capai. Dalam erti kata lainnya kita harus sentiasa memikirkan tentang kejayaan berbanding kegagalan, kekayaan berbanding kemiskinan, keberanian berbanding ketakutan. Orang yang cenderung berfikir kejayaan cenderung berjaya, sebaliknya orang yang suka berfikir tentang kegagalan akan cenderung capai kegagalan. Begitu juga dengan kekayaan dan kemiskinan. Maka, selalulah fikirkan tentang kemenangan dan kejayaan.

Namun, harus diingat berfikir sahaja tidak akan mengubah apa-apa, yang akan mengubah adalah tindakan yang dibuat hasil apa yang difikirkan. Ganjaran datang dari apa yang kita buat, bukan dari apa yang kita tahu atau fikir. Jadi, fikiran yang bermanfaat itu adalah, fikiran yang kerap dan diikuti dengan tindakan tanpa tangguh. Itu yang pasti. Fikirlah tentang apa yang kita mahu dalam kehidupan. Apa fokus kita, apa tujuan yang kita ingin capai.


Tahun 2009 dan 1430H sudah hampir sampai ke penghujungnya. Apakah matlamat kita tahun ini sudah kita capai? Atau mungkinkah kebanyakan dari kita tidak langsung menetapkan apa-apa matlamat yang harus dicapai. Sama-sama kita renungkan agar kehidupan menjadi lebih bermakna, nikmat umur lebih kita syukuri dengan buat sesuatu yang lebih bermatlamat dan bermanfaat, sementara masih dikurniakan umur. Tahun hadapan, apa matlamat yang kita sasarkan, harus kita garisi diperingkat awal lagi, tanpa tunggu detik 12malam 1 januari atau 1 muharram nanti. Seperti biasa, uusini wa iyyyakum, peringatan ini lebih untuk diri saya sendiri dan dikongsikan kepada sahabat-sahabat sekelian agar manfaat. Mari kita sama-sama renungkan beberapa ayat yang lebih tepat menjadi keutamaan fikiran dan penumpuan nurani kita, dan penting dijadikan rangka dalam meletakkan sebarang matlamat.

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui, (Arrum (30):30)

Katakanlah: "Sesungguhnya solat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)". (AlAn’am(6):162,163)

“Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.” (AlAn’am(6):79)





Read More..



Tepung Putih, Nasi Putih

Labels:



Petang ini saya terbaca suatu kisah menarik tentang pemakanan. Kisah tentang tepung gandum yang sangat-sangat biasa kita makan. Kisah pengalaman seorang teman yang bersembang raya dengan seorang orang penting kilang tepung. Dari obrolan mereka, encik orang penting kilang menjelaskan suatu perkara yang sewajarnya menggugat jiwa-jiwa prihatin terhadap makanan. Bagaimana tergugatnya jiwa sesetengah orang mengetahui kehanyiran dan kekotoran air yang seharian mereka minum. Catatan emelnya agak panjang, namun saya padatkan agar maklumatnya dapat ringkas dan padat, insyaAllah bermanfaat.



Encik Orang Penting Kilang mengatakan, warna asal tepung gandum setelah diproses dan dikisar menjadi tepung adalah bewarna kekuningan. Untuk memutihkan warna tepung itu, pihak pengusaha akan menggunakan bahan kimia Benzoyl Peroksida. Bahan ini kata Orang Penting Kilang tadi adalah bersifat toksik dan berbahaya bagi kesihatan manusia. Katanya, untuk tepung hasil keluaran kilangnya adalah bebas dari bahan ini. Pernah satu masa, kerajaan Singapura melarang kemasukan tepung gandum sebanyak 20 tan yang dieksport disebabkan mengandungi bahan ini. Orang penting kata, dikilangnya tepung yang dikeluarkan bebas dari bahan tersebut.



Benzoyl peroksida yang digunakan dalam proses menepung ini merupakan satu bahan peluntur yang kuat dan dapat melunturkan warna dalam masa yang singkat sahaja. Penggunaannya juga dapat menyebabkan berkurangannya nutrisi pemakanan. Bahan kimia ini bersifat toksik, mutagenik dan karsinogenik. Boleh menyebabkan kanser.



Saya bukanlah orang arif dalam hal pemakanan ini, cuma kadang-kadang terfikir bagaimana kerajaan boleh membenarkan perkara-perkara seumpama ini berterusan? Adakah bahan-bahan ini digunakan diluar pengetahuan undang-undang negara? Macam mana bahan-bahan yang sohih bahaya amat seperti MSG, benzoyl peroksida ini juga termasuk bahan-bahan yang digunakan untuk merawat air yang khabarannya melebihi nilai yang selamat masih dibenarkan penggunaannya? Memang adakah atau wajarkah adanya kuantiti selamat penggunaan bahan-bahan ini sedangkan bahan-bahan ini bukan asing lagi pengetahuan tentang bahayanya? Kenapa berterusan walhal aset negara paling berharga adalah rakyatnya, sesuai dengan istilah yang dinobat baru-baru ini rakyat didahulukan. Keutamaan menjaga rakyat pada saya adalah penjagaan pendidikannya baik akademik mahupun sahsiah, dan juga dari aspek pemakanan sesuai dengan firman Allah


"Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya. " (80:24)


Pendek, ringkas tapi besar pengertian dan perlaksanaannya lebih-lebih lagi jika diperhatikan bukan dari sudut peribadi, tapi sudut tanggungjawab negara kepada rakyatnya.


Inilah maklumat yang saya ingin kongsi bersama, beserta persoalan-persoalan yang mungkin ada kalangan pembaca yang arif tentang hal ini ada jawapannya. Pemakanan aspek penting dalam pembangunan tubuh baik fizikal mahupun mental, spiritual juga tidak terkecuali. Penekanan tentang pemakanan sihat yang mata saya perhatikan amat-amatlah kurang diberi perhatian terutamanya oleh orang-orang kita sendiri.


Bingkisan petang ini juga, sekonyong-konyong meninggalkan satu lagi persoalan hebat yang saya kurang pasti jawapannya, adakah beras yang kita paling makan itu juga diproses menggunakan bahan benzoyl peroksida ini ?. Kerana, sedikit pengetahuan saya yang mungkin perlu direvisi semula, menyatakan bahawa beras yang putih itu asalnya beras bewarna perang. Beras perang yang jauh lebih berkhasiat dari beras putih, dan dijual jauh lebih mahal dari beras putih yang sudah kurangg nutrisinya. Anda tahu? Bolehlah kongsikan kerana saya perlu pastikan semula..


p/s : setelah penulis gembira dengan adanya tepung keluaran orang penting kilang yang bebas BP itu, beliau cuba mendapatkannya dikedai, dan dia terkujat-kujat sebab bila disemak pada label, ada maktub kalimah BP itu, mungkin orang penting kilang disorokkan tentang hal itu..
Read More..