feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Merdeka! ka ka ka vs Merdeta!

Labels: ,

Merdeka ertinya bebas. Fikir saya begitu maksudnya. Benarkah? Nanti saya rujuk kamus dewan. Bebas pula apa? Tidak terikat. Itu yang pertama hasil carian kamus mindaku. Sohihkah? Nanti saya lihat kamus. Layakkah manusia bebas? Pekerja kfc yang berada di premis kfc bolehkah pakai uniform safeguard (syarikat keselamatan). Memang kena halau sahaja kalau demikian fi’il staf itu. Bebaskah? Itu satu tamsil. Ada lagi. Kalau bermain bolasepak bolehkah sesuka hati pakai kayu hoki. Tentu tak sesuai. Gila lebih tepat untuk diungkap. Gila? Teruk sungguh .Itu perumpamaan kedua. Bebaskah? Ada lagi. Kalau budak sekolah lelaki berambut panjang. Tentu kena marah. Silap-silap kena hukuman ala mee maggi. Segera serta-merta. Beruntung juga sebab dapat fesyen yang jarang ada di dunia. Fesyen ala tobek tidak sekata. Guntingan merana namanya. Semerana makan maggi, diasimilasi, tapi kurang bergizi. Ponteng kelas, kena rotan depan jemaah murid dan guru semasa rutin berhimpun. Malunya rasa macam hendak pindah negeri. Itu budak bermoral. Yang kurang, tidak peduli. Hati kering, jiwa lali. Boleh jadi muka dia lagi yang ke depan terima hukuman. Aduh, setiap yang dilanggar pasti dihukum. Tiga contoh sudah memadai untuk difahami. Manusia laisa bebas.


Belum cukup. Elok ditambah lagi mudah-mudahan terang-benderang. Biar tiada lagi tabir yang mengadang pandangan pengertian bebas. Walaupun dengan kain langsir jarang sekalipun. Tanggalkan semua hijab. Biar telus dan tembus. Hakikatnya di dunia ini, tidak ada satu pun yang bebas. Burung yang terbang bebas di angkasa sebetulnya tidak bebas. Ada hadnya. Tertakluk pada takat tinggi maksima menurut upayanya. Matahari dicipta pada paksinya. Tidak bebas. Bumi bergerak melalui orbit khusus. Tidak bebas. Harimau yang cuba-cuba ke kota pasti ditimpa malang. Walau mungkin terlebih dahulu mencipta kemalangan. Tidak bebas. Ikan tidak mungkin hidup di darat kecuali ikan belacak. Begitu pula landak, nahas jika cuba menyelam di laut. Tidak bebas. Semua ada taklukan. Batasan menurut fitrah yang haq. Aturan pencipta alam. Semua tertakluk. Orang Malaysia tertakluk dengan perlembagaan Malaysia. Orang Amerika sama sahaja ditakluki perlembagaan negaranya. Siapa yang bebas. Orang yang tiada Negara mungkin bebas. Betulkah? Sebenarnya, semua makhluk yang dicipta terikat . Terikat dengan fitrah pencipta. Hidup atas qadha dan qadarnya. Dengan izinNya. Boleh bebas, berbuat kontradik fitrah, berjumpalah dengan fasad. Rosak binasa. Malang menimpa. Dihukum penguasa. Layang-layang yang bebas, talinya putus, tidak lagi terikat dengan tuan layang-layang yang mengawal koordinasinya di langit tinggi. Terbang tanpa tujuan. Mengikut stering angin yang berhembus ke sana ke mari. Ke kanan ke kiri tidak menentu. Tanpa arah tuju yang jelas. Akhirnya rebah menyerah pasrah ke bumi. Itu ibaratnya. Bebas yang tidak binasa ada? Ya, ada. Bebaskan diri dari nyamuk dengan memasang kelambu, atau menggunakan ubat nyamuk. Yang berasap atau elektrik. Bebaskan diri dari penjajah dengan menukar polisi penjajah dengan sistem yang tidak canggah. Peraturan yang membawa kebahagiaan manusia. Itu konotasi yang berbeza. Bebas daripada yang salah untuk terikat dengan yang benar. Terikat juga. Tidaklah bebas namanya. Tapi tidak bebas yang ini membawa kesejahteraan.

Manusia di mana sahaja dia berada tidak boleh berbuat suka hati. Berbuat sesuka hati, ya, satu lagi pengertian wajar untuk bebas. Nanti aku pastikan maksud tepatnya. Kembali kepada isu kita layakkah manusia bebas? Nah, jawabnya ada pada persepsi masing-masing. Kecenderungan saya berdasarkan kupasan ini, manusia tidak bisa bebas. Manusia harus punya ikatan dengan Allah. Hablumminallah. Hubungan manusia dengan Allah yang membawa kesejahteraan. Salam yang terpancar dengan kebahagiaan hubungan sesama manusia. Hablumminannas. Semangat persaudaraan yang menghindari penindasan. Bukan sahaja sesama Homo sapiens, tetapi juga untuk sejagat. Rahmat sekelian alam. Hajat untuk hidup bebas hanya tuju fasad, Kehancuran. Ibarat kereta yang tidak diisi minyak hitam terus dikerah untuk berjalan. Pasti masuk bengkel. Silap-silap kena overhaul.

Ini hakikat. Kebenarannya. Namun, masih nukilan ini tidaklah menafikan penggunaan kata merdeka yang digunakan oleh Negara kita. Kerana yang dimaksudkan merdeka itu ialah bebas dari penjajah. Itu lebih kurang sama seperti yang dihuraikan di atas. Di perenggan yang ada frasa ‘konotasi berbeza’. Cuma apabila kalimah merdeka dilaung secara mandiri, risau ada yang salah erti. Berdiri sendiri tanpa sahabat-sahabat perkataan yang lain mendukung. Diulang tiga kali bersendiri. Sama bilangan dengan kata betul yang disebut oleh upin entah ipin, saya kurang pasti. Bukti salah erti itu memang sebanyak pasir di pantai. Setiap orang yang baca bebelan ini pasti ada contohnya. Malam merdeka jadi acara tahunan wajib muda-mudi. Melayu terutamanya. Sedihnya. Pilu sebab disalah erti. Tiga kali laungan mungkin tidak cukup bagi mereka. MEREKA MAHU MERDEKA INFINITI KALAU BOLEH. Acara kejar-mengejar dengan kereta polis oleh sang rempit dan rempitah aksi pelagak ngeri jalanan. Jalan tinggi mahupun lorong kecil bersimpang- perenang tidak peduli. Disusuli slot pening-pening langau gara-gara ekstasi atau ice ice baby. Pening sambil berbunyi ala langau bertemu sampah keji. Ditambah seri dengan air kenikmatan cap brandi. Minda separa sedar , bukan kata ala motivasi, menuntun satu lagi aksi lagak ngeri . Kali ini pengisahan di lokasi dalam kamar, atas tilam lebih spesifik. Ngeri lantaran perbuatan sudah kahwin belum nikah. Lebih ngeri, jika penggambaran lakonan pelakon-pelakon tidak terkenal tapi handal ini jika di buat di lokasi luar tilam. Ini realiti. Bukan fantasi. Tapi bukan rancangan realiti akademi fantasi ya.

Di kesempatan hari kemerdekaan ini, mari kita laungkan bersama. Merdeka! ka ka ka... Merdeka! ka ka ka... Merdeka! ka ka ka.. Bukan gelak, tapi gema. Pantulan semula kata itu yang kuat dibunyikan. Cermin supaya kita merenung dan menghisab tanpa perlu menggunakan kalkulator apatah lagi buku teks kalkulus, tentang erti merdeka. Agar jangan disalah erti. Supaya selari ilmi dan amali. Buahnya nanti tidak fasad, hanya salam.

Merdeta! Merdeta! Merdeta! Bukan tersalah eja. Tidak juga perkataan baru. Jauh sekali perkataan sendiri. Bahasa Ibrani? Salah. Bahasa lain tidak juga. Bukan juga mengejek. Cuma teriakan seorang budak 4 tahun yang lidahnya masih menggeliat membunyikan ‘k’. Yang sedang dikursuskan sebutannya oleh bapa dan emaknya. Diperkayakan lagi dengan jurulatih tambahan penuh keprihatinan para pakcik, atuk dan turut serta neneknya. Teriakan yang waima pelat itu, seakan-akan berdakwah agar orang-orang dewasa kembali ke pangkal jalan. Buat koreksi atas istilah itu. Agar selari ilmi dan amali.

“Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus." (Hud (11):56)

“Aku benar-benar bersumpah dengan kota ini (Mekah).Dan kamu (Muhammad) bertempat di kota Mekah ini. Dan demi bapak dan anaknya. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah. Apakah manusia itu menyangka bahwa sekali-kali tiada seorang pun yang berkuasa atasnya? Dia mengatakan: "Aku telah menghabiskan harta yang banyak". Apakah dia menyangka bahwa tiada seorang pun yang melihatnya? Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua buah mata. Lidah dan dua buah bibir. Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan. Maka tidakkah sebaiknya (dengan hartanya itu) ia menempuh jalan yang mendaki lagi sukar?. Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? (yaitu)Melepaskan budak dari perbudakan. Atau memberi makan pada hari kelaparan. (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat. Atau orang miskin yang sangat fakir. Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang. Mereka (orang-orang yang beriman dan saling berpesan itu) adalah golongan kanan. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri. Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat.” (Al-Balad (90):1-20)

p/s : saya sudah rujuk kamus.




4 comments:
gravatar
kelambuharimau said...
1/9/09 9:59 AM  

kalu benar benar nak merdeka yang bebas dari segala2nya..undang2 pun tak payah ikut..ada caranya..kembali ke rahmatullah tempatnya..hehe

gravatar
BUJANG SUSAH said...
1/9/09 3:15 PM  

Assalamualaikum... Salam ziarah dari sahabat.. nice blog n good entry.. cuma sedikit komen... page anda sgt berat...

Sedikit tips dan info buat teman2 bloggers.. perkara remeh yg kita kurang perasan dan tutor 4 the latest read more.. tengok jgn x tengok.. sila
klik disini. Semoga bermanfaat insyaAllah..Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain(Hadis riwayat Al-Qudhi).

blog anda bagus...!!! Teruskan menulis.. dan semoga sejahtera sentiasa.
selamat menjalani ibadah puasa.. semoga sentiasa diberi keberkatan.. insyaAllah. wassalam.

gravatar
tinta kasturi said...
1/9/09 3:32 PM  

Terima kasih atas pandangan. Saya dah rujuk blog saudara. Memang sangat membantulah untuk org2 baru cam saya ni. Yang ada ni, memang pakai buat sendiri, try and error je. Takde tanya sesapa lagi setakat ni. Sekali lagi, Tima kasih 3x.

gravatar
syahbandar87 said...
2/9/09 2:44 AM  

selamat menyambut bulan kemerdekaan bang
:)

Post a Comment