Banjir (Bahagian Satu)
"Betul ke takde kaedah nak atasi banjir ni?" saat ini ilmu geografi yang dipelajarinya cuba dipimpin keluar oleh otaknya dari kebiasaan sukatan pelajaran. Dia tidak mahu kepompong kejumudan silibus membelenggu trend pemikiran peribadinya. Dia juga merasakan setiap permasalahan pasti ada penyelesaian. Baginya banjir yang berlaku disebabkan kesilapan manusia. Kenyataan itu terpancar dek kerana teringat nasihat ustaz Sabur berkenaan hal bencana. Dari geografi dia mula menelusuri cabang subjek pendidikan agama. Amrin masih ingat ayat yang dipetik oleh ustaz tersebut
" Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah disebabkan tangan kamu sendiri. dan Allah memaafkan sebahagian (dari kesalahan-kesalahanmu)" (42:30)
Friday, November 20, 2009 | 14 Comments
Air Suam Kurang Manis

Sambil menikmati nasi kolesterol kukus ayam goreng berempah sebagai sarapan pagi, Sazali bersembang dengan isterinya. Selain memperihalkan hal anak-anak dan kerja ada juga terselit kisah-kisah gossip Fahrin Ahmad dan kekasihnya. Selangan sembang itu dihiasi bunyi hirupan teh tarik bikinan Manisah, isteri Sazali. Budaya sembang laki bini begini, semacam sudah jadi agenda tetap sebelum Sazali bekerja.Kalau banyak yang dikisahkan, banyaklah bunyi paling sedap di dunia itu kedengaran. Kalau tidak cukup segelas, ditambah lagi segelas. Begitulah seterusnya. Teh Tarik Manisah memang tiada tolok bandingannya buat Sazali. Sehinggakan pernah dia menghabiskan satu teko teh tarik tanpa berkongsi. Memang bak kata iklan, ada ummph.
Sazali bekerja di sebuah syarikat swasta, di Kampung Cucur Attap. Dia mempunyai rutin setiap jam 10 pagi untuk kudapan bersama teman baiknya Maslan, orang Stabak Benam. Sebenarnya polisi syarikat tidak membenarkan sama sekali, kudapan di luar pejabat. Sudah berulang kali diingatkan, namun mereka tidak endahkan langsung. Semuanya gara-gara ketagihan kafein, nikotin, kari dal pekasam serta bergebang . Ubat penyegar mata, jawab mereka memberi alasan. Sambil minum mereka bersembang. Borak tentang ehwal semasa yang terpampang di paru-paru akhbar.
Pagi itu mereka bergebang berkenaan menjadi Hero Rakyat. Masing-masing membincangkan kuasa super yang ingin dimiliki. Sazali berhasrat memiliki kuasa mulut berapi. Ini kerana selain boleh berjimat membeli lighter buat mengkretek, Sakhtinya itu juga boleh dimanfaatkan untuk memusnahkan musuh ketat seperti greenman dan ocean blueman. Caranya dengan menggunakan kata-kata yang berapi disertai juga dengan api yang sebenar. Api nyata yang boleh merentungkan rumah serta penghuninya tanpa belas, yang kemudian nanti direka laporan kesnya disebabkan litar pintas, ataupun ubat nyamuk.
Maslan pula ingin kuasa mimpi. Sesuai dengan dirinya yang sememangnya seorang yang kuat tidur. Namanya sendiri menghampiri kepada perangai orang yang gemarkan tidur, malas. Dengan kuasa mimpi. Dia pasti akan kuat bermimpi, ataupun mimpi dengan kuat, selain kuat tidur dan tidur dengan kuat. Tambahan lagi, kuasanya nanti membolehkan orang lain turut bermimpi, dalam erti lainnya turut tidur dan seterusnya kuat tidur.
Begitulah diskusi serius mereka sambil lubang hidung dibelai-belai aroma air neskape yang penuh anti oksidan seperti yang diiklankan. Oleh kerana mereka berdua maklum tentang hal anti oksidan itu, tidak cukup satu, mereka habiskan dua gelas setiap kali kudapan. Satu gelas mengambil masa setengah jam untuk dihabiskan. Maka sejamlah masa yang diboroskan sebelum sesi penyambungan kerja dibuat. Nyata impian kuasa mimpi dan berapi-rapi mereka itu hanya sekadar mimpi kosong dan berapi sebelum padam. Bak kata orang kampong Isa Kemas, menghabiskan beras sahaja.
Pukul 1 tengahari, tiba masa Sazali mengobrol lagi. Selain Maslan, Makkal Sakitnathan dan Chua Sel Kit turut menyertai. Sungguh satu Malaysia sekali. Menjadi rutin mereka berempat setiap seminggu sekali, makan di Kari Kepala Ikan Restoran New Zealand yang cukup tersohor di Jalan Kampung Cucur Attap. Kebiasaaan makan kepala ikan ini menyebabkan Sazali menjadi seorang yang pelupa. Acapkali dia alpa untuk solat, mengaji dan membayar zakat fitrah. Sambil melemahkan daya fikir dan ingat, mereka bersembang rancak amat seraya masing-masing menghabiskan air batu campur dan laici kang. Kepul-kepul asap rokok mahal dan bajet juga memenuhi ruangan obrolan mereka di tengahari terik itu.
Petang juga masa Sazali dan Maslan duduk berkisah. Sememangnya hobi bercakap ini sangat kuat tertanam dalam diri mereka, sama kuat dengan minat penggila pancing. Kali ini gebangan mereka berlokasi di Restoran Payung Kuning juga di Jalan Kg Cucur Attap. Sambil menjamu roti canai dan teh tarik gelas besar mereka memulakan diskusi ala YB. Kali ini bertemakan khutbah yang disampaikan baru-baru ini. Berkisarkan pendidikan agama yang mahu diterapkan. Masing-masing menyatakan kesetujuan yang tidak terhingga membayangkan betapa prihatinnya mereka terhadap pengetahuan agama anak-anak. Mereka sungguh bangga menjadi rakyat Negara yang mementingkan pendidikan agama.
Mereka meyalahkan sekolah-sekolah dan guru-guru yang menyebabkan anak-anak muda hari ini menjadi mat rempit, mat sosah beg sireh, bohsia dan bohjan serta doktor-doktor cucuk sendiri. Jurutera motor untuk rempit juga tak kurang banyaknya yang dihasilkan dari pendidikan dewasa ini. Kehebatan jurutera motor ini setanding dengan jurutera-jurutera asli dan terbukti bila mana mereka ini mampu meninggikan kelajuan Honda cup c70 sehinggakan mampu mengatasi kelajuan motor Rxz piawai.
Isu kegawatan so sial ini dicemuh oleh mereka berdua. Semuanya ditunding dengan jari telunjuk yang satu, tanpa disedari empat lagi jari tertuju ke arah diri sendiri. Mereka masih kurang mafhum, sebagus mana kualiti pendidikan di institusi pendidikan tanpa disokong institusi pendidikan terawal dan terhebat untuk manusia iaitu keluarga, belum tentu lagi keberhasilannya. Sepatutnya selain institusi sekolah diperkemas dan diperbetul, institusi keluarga adalah yang lebih penting untuk diperhebatkan peranannya dalam pembentukan insan. Pendidikan melalui tauladan. Ibubapa sebagai contoh terdekat dan paling rapat untuk dicontohi oleh anak-anak. Teringat kata ahli falsafah, anak-anak memang jarang dan susah mendengar kata, tetapi tidak pernah gagal dalam meniru ibubapanya.
Ibubapa yang asyik terlupa solat dan mengaji, mennyuruh anak jaga solat dan mengaji. Ini kaedah pendidikan yang senget. Lebih geli lagi, bila bapa marahkan anak hisap rokok, sedangkan tangannya sendiri tidak pernah lekang dari rokok. Sazali harus diberitahu hal ini, dia belum sedar. Niatnya yang suci murni itu harus digiring oleh Kementerian Keluarga agar upaya membuat program-program bimbingan untuk ibu bapa tentang kaedah berkeluarga, membimbing anak-anak menjadi manusia berguna. Bergema sekali sembangan mereka petang itu tanpa disedari gema itu terpantul kembali ke gegendang telinga mereka untuk muhasabah, sama-sama mendalami dan mengamalkan ilmu agama.
Sebelum pukul 7 petang, mereka bersurai pulang ke sarang masing-masing. Mandi dan bersiap untuk makan malam sambil menonton Buletin Sohih, tv tiga suku. Selepas makan nasi, Sazali bersembang lagi tentang hal-hal kerja serta kisah artis cantik Fosseya Ghost dan Rosetta Prawn Chezch dengan isterinya. Keaktifan mulutnya bercakap seiring dengan idamannya memiliki kuasa mulut berapi. Cocok sekali. Selain bercakap-cakap, teh tarik bewarna air Sungai Gabak buatan Manisah tidak dilupakan. Enak sekali nasi dan lauk yang ditelan Sazali diturunkan dari esofagus ke usus melalui perut sambil diiringi teh tarik. Mengendeh perut Sazali diisi dengan makanan dan minuman seharian. Selepas makan, dia sekeluarga menghabiskan malam dengan menonton televisyen.
Sebelum tidur sekitar pukul 10 lebih, Sazali minat untuk bercerita lagi. Sambil minum teh tarik atau neskafe. Kadang-kadang bersama teman di restoran Mamak Suci dan Bersih di kawasan taman perumahannya. Kalau perut masih lapar, boleh disi dengan roti canai dicicah kari dal pekasam buatan 8 bulan lepas. Memang mengiurkan makanan yang telah diperam seperti kari dal itu. Bisa buat perut ketagihan. Kalau tidak keluar rumah pun, Sazali tetap mahu berkisah juga. Otaknya tidak pernah kering idea, walaupun agak kering memori dek kerana suka makan kari kepala ikan. Setidak-tidaknya dia akan berkisah dengan isteri dan anak-anaknya sebelum tidur. Teh Tarik turut ikut acara sembang-menyembang. Semua ini semacam suatu ketagihan buat Sazali.
Begitulah rutin hidup Sazali sejak muda lagi. Kini usianya sudah menjangkau 33tahun. Masih muda. Namun, mudanya tidak bermakna buat Sazali. Urinnya kini disukai semut, mata hitamnya pula sudah mula berselaput. Makanan rutinnya ialah pil-pil bewarna-warni, dan beraneka bentuk.Dilengkapi kotak pil khas supaya jadual gilirannya lebih kemas, tersusun, tidak mengelirukan dek kerana banyaknya ‘gula-gula’ yang perlu dihabiskan.
Lengan dan pehanya dipenuhi dengan parut-parut suntikan yang perlu dilakukan hari-hari. Sama padat dengan parut yang dipunyai oleh ahli-ahli persatuan doktor cucuk sendiri.
Menyuntik insulin menjadi aktiviti hari-hari Sazali, buat mengawal kencing manisnya. Jari-jari kaki kanannya yang mulai menghitam, menunggu saat yang sesuai untuk dipotong. Jantungnya juga sudah mulai penat dan lemah kerana selalu kerja lebih beban mengepam darah manis yang likat dan pekat. Kelemahan jantungnya juga membawa kepada kelemahan ke bahagian-bahagian lain tubuh, termasuk bahagian terpenting buat pria sepertinya. Kasihan, Fungsinya telah mati.
Keadaan dirinya yang penuh derita membuatkan nafsu sembangnya ibarat pucuk yang mati. Cita-citanya untuk mendapat kuasa mulut berapi telah dipadamkan oleh air racun yang dikonsumsinya setiap hari. Yang diperolehi sekarang hanyalah kuasa mendapat kasihan. Sanak saudara dan rakan-rakannya sangat kasihan dengan nasibnya. Walaupun kasihan, kebanyakan mereka hanya bersimpati tanpa empati. Kasihan Sazali. Semua ini gara-gara rutin kehidupan dan pemakanan serta gaya minum-minum yang sudah sangat sebati dalam dirinya. Kemanisan, kelemakan dan kesedapan minuman hariannya menjadi racun jangka, membunuh kenormalan tubuhnya senyap-senyap, perlahan-lahan.
Air putih jernih, jarang sekali diisi ke dalam kerongkongnya. Dari pagi hingga ke petang, sel-sel tubuhnya akan dibasahkan dengan cecair yang manis-manis belaka. Cecair berkalori yang jarang dipertimbangkan kalorinya oleh kebanyakan orang, termasuk orang-orang yang bercita-cita menurunkan berat badan. Rutin Sazali yang mendorong status fizikalnya layak digelar hiper obe siti. Gemuk gendut gedempol bahasa awamnya. Taraf yang membuka banyak peluang untuk penyakit-penyakit masyhur membuat kerja-kerja menambah rosakkan organ-organ tubuhnya satu-persatu.
Kalaulah Sazali diberi peluang kembali ke masa lepas. “Minum apa bang?” “Bagi saya air suam ya” itu buat kedai yang membekalkan air bertapis atau lebih baik “Bagi saya air ro satu botol”. Itulah jawapan terbaik untuk Sazali lafazkan. Tubuh kita memerlukan sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Bukan air teh atau antioksidan neskafe, tapi air suci dan tulin. Buat jurucakap-jurucakap terhormat, selain menjaga pendidikan, penjagaan makan dan minum juga harus diperkemas, diperbersih dan diperbetulkan. Keduanya sama penting timbangannya. Pendidikan ini harus dimulakan, diturap dan ditekankan melalui guru-guru sejati, dan sekolah-sekolah sebenar, ibubapa dan keluarga. Baru nanti kita ada sakhti, dinobat menjadi Hero Dunia.
“Dik, Bagi saya air suam kurang manis satu!”
(*jimat seringgit dua puluh sen)
"Maka hendaklah manusia memperhatikan makanannya" (80:24)
Read More..
Monday, October 19, 2009 | 18 Comments
SenGeT SaNa siNi

Di Rawang, seorang budak dipukul hebat oleh budak-budak yang lain. Kehebatan pukulan itu membawa kepada koma. Apalah nasib malang budak itu. Malang juga buat ibu bapa yang itulah satu-satu anaknya yang dikurnia Allah setelah 6 tahun berumahtangga. Aduh, parahnya perasaan mereka tidak dapat dibayangkan. Katanya, disebabkan perbuatan jeling-menjeling terjadinya aktiviti pukul-memukul itu. Darah muda tidak terbendung. Nafsu dijulang lebih tinggi mengatasi akal. Buruk akhlak sungguh. Ini pasti akibat kekurangan ilmu dalam dada masing-masing. Ilmu mampu menyeimbangkan emosi dan intelek. Kebuluran pendidikan ini menyebabkan emosi melebihi intelektual. Tidak seimbang, lantas senget-benget. Sesenget tindakan liar yang dibuat. Tindakan berbudaya rimba belantara. Orang senget.
Di Johor bharu, Satu lagi kisah, isu senget juga, kali ini lebih senget lagi. Seorang wanita oku, dipercayai telah dibunuh oleh anak sendiri berusia 22tahun, akibat pertelagahan antara membeli motor atau kereta. Kalau dia sedar pengorbanan ibunya sejak dari mengandungkan dirinya, membesarkan dari tapak kaki sebesar dua batang jari, sampai sudah besar panjang boleh berdiri, pasti kalau dia hayati semua itu, tidak ada kesanggupan berbuat begitu. Apatah lagi hanya dek kerana ehwal motor dan kereta. Sungguh tragis, dan tidak berperi kemanusiaan. Sekali lagi, isunya keseimbangan emosi dan intelek. Senget, tak berimbang. Intelek yang ringan, emosi lebih berat, penimbang versi lama sekonyong-konyong menyenget.
Di Sungai Petani, Anak gadis muda setahun lagi umur calon pmr, buat akuan sudah 4 kali hamil. Bermula pertama kali seawal 12tahun akibat dirogol. Kasihan tidak terperi buat gadis sekecil itu di perlaku demikian zalim. Ibu dan bapa bergaduhan kerana hal wang tidak mencukupi. Hati anak semakin celaru. Sudahlah menjadi mangsa jenayah rogol, ditambah lagi jenayah gangguan emosi dari ibu bapa sendiri. Dek kerana tiada yang menggiring, menuntun dengan makanan pendidikan rohani. Jiwa kosong dan gersang akhirnya tersalah pilih makanan. Kehausan ketenangan diselesaikan dengan cara bergelumang dengan rakan-rakan penghidu gam dan pelayan ganja. Kasihan sungguh, dek sengetnya pertimbangan dan perlakuan akibat sengetnya ilmu dan emosi.
Di Rawang lagi, seorang murid sekolah rendah terkujat-kujat apabila barang yang disangka kotak rokok bewarna merah rupanya janin bayi. Ini pasti akibat kesengetan juga. Susah hendak kata. Sudah macam budaya pula sekolah jadi tong sampah untuk janin-janin dan bayi-bayi yang tidak mahu diterima. Binatang pun tahu sayang anak sendiri. Sebabkan senget, manusia boleh jadi lebih dahsyat dari binatang.
Di Malaysia, sebenarnya banyak lagi aktiviti-aktiviti senget-benget berlaku. Baik yang terpampang mahupun yang tertanam. Bila kurang baca, begini lah jadinya. Tara baca punya orang, ungkapan begitu lebih mudah difahami dan dihayati. Bila pergi sekolah disuruh belajar, tapi yang dibuatnya main-main dan mengorat sana-sini, impaknya terjadilah perlakuan senget ala ketam berjalan. Lebih-lebih lagi yang mengajar ehwal berjalan senget itu bapa-bapa dan ibu-ibu ketam. Lahirlah keturunan-keturunan berbudaya ketam, senget berjalan.
Nun Jauh Di peran cis pula, pimpinan kita diberi penghargaan memberi ucaputama dalam persidangan pertubuhan pendidikan, saintifik, budaya bangsa-bangsa bersatu (unesco). Mempromosi gagasan satu malaysia satu formula sakti boleh mengamankan dunia. Katanya dengan konsep satu Malaysia itu, kondisi menjadi aman. Aduh, alangkah malunya bukan kepalang andai semua pemilik gegendang telinga yang mendengar ucaptama itu mengetahui senario hakiki seperti gambaran di atas. Gagasan itu memang cantik sekali dijadikan sebagai formula kesejahteraan. Sesuai konsep piagam madinah yang dilaksanakan oleh Muhammad Rasulullah. Konsep yang dituntut oleh pelaksana-pelaksana di Kelantan, telah lama dilaksanakan di negeri mereka.
Namun, jika sekadar kata-kata indah tanpa disusuli perlaksanaan istiqamah, konsep hanya akan tinggal konsep. Maka, pendidikan dan kefahaman tentang konsep harus di lebar luaskan lagi agar mesejnya menyerap disegenap hati-hati rakyat supaya ikhlas dalam aplikasi konsep. Harus diingat juga, pendidikan terbaik adalah pendidikan melalui tauladan. Penyampaian mesej melalui tindakan, amalan. Menggunakan strategi dakwah lisan al-hal berbanding lisan al-maqal. Atau mungkin orang kebanyakan lebih faham bahasa inggeris berbanding bahasa alquran iaitu “action speaks louder than words”. Penting untuk seimbangkan antara kata-kata dengan perbuatan. Kerna apabila kata-kata tidak berimbang dengan perlakuan, maka dacing akan senget-benget. Maka kondisi aplikasi tidak sinonim dengan kata-kata tercipta. Berlakulah kejadian yang dikisahkan tadi, menggambarkan keamanan yang disebabkan gagasan satu Malaysia sebagaimana yang dicanangkan masih dalam bentuk kata-kata, konsep-konsep. Senget lagi. Perlu diperhalusi, dikaji dan diambil tidakan supaya tidak senget.

“Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (ArRahman(55):9)
Wednesday, October 07, 2009 | 18 Comments
Gelonggang Selipar
Selipar. Teringat masa kecik-kecik dulu ada tajuk karangan yang cikgu minta tulis, Aku sebatang pensel, Aku sebiji bola, Aku sebuah pasu bunga dan macam-macam lagi. Bila timbul isu selipar, inilah antara yang timbul di benak yang harap-harapnya tak jadi benak. Rasa macam nak tulis karangan "aku sepasang selipar". Tapi coretan ini tidak ada kena mengenanya dengan ehwal semasa yang berlaku. Hanya sekadar suka-suka memandang dari sudut yang tersorok berkenaan selipar yang mahu dikalungkan.
Mulia
Jelasnya selipar dipandang hina dalam isu yang timbul baru-baru ini. Apalah salahnya selipar itu sehingga di pandang hina sedemikian rupa. Kasihan selipar. "Tidak ku pinta lahir ke dunia, tidak ku pinta jadi selipar..." nyanyian isi hati selipar kalau punya hati dan perasaan. Walaupun selipar letaknya di kaki, tempat yang paling bawah. Dipijak-dipijak menjamah bumi. Hakikatnya, selipar banyak berbakti. Tanpa selipar, kaki manusia yang terpijak najis, akan terkenalah pada kulit. Tanpa selipar, kulit-kulit kaki yang tebal akan sakit juga bila berjalan di batu-batuan tajam. Selipar juga berguna, buat mengalas kaki dilantai tandas yang penuh pepak dengan kotoran baik tampak mahupun seni. Pendek kata, selipar layak dapat pingat bakti. Kalau tidak ada yang sudi menjadi selipar, dunia jadi tidak sempurna. Habislah kaki-kaki sebuana dicemari. Kecacinganlah nanti manusia-manusia yang menapak dibumi tanpa selipar. Gelilah segenap kaki-kaki menjejak dasar bilik air lagi-lagi yang tidak dicuci. Justeru, janganlah dihina selipar kerana letaknya di kaki. Setiap yang ada punya fungsi diri. Nampak hina, tapi mulia.
Hina
Atas kemuliaannya, alangkah indahnya selipar jika dikalungkan. Tentu selipar gembira tidak terkata. Mendapat tempat di hati insan sehingga mahu diambil menjadi hiasan. Namun, itu sangkaan sahaja. Mungkin selipar pun tidak setuju dipandang sebagai kalungan. Kemuliaan selipar bertukar hina bila digelonggangkan. Biarlah selipar, menjadi alas selama-lamanya. Kerana selipar tahu akan fungsinya. Lari fungsi bermakna, hina. Tak berguna. Di maki hamun nanti. Begitulah adanya. Melanggar fitrah kejadian namanya. Selipar yang dikalungkan ke badan manusia itu merosakkan. Rosakkan pemandangan dan hancurkan konsep kejadian. Tidak adil istilah selipar yang mahu dikalungkan itu. Zalim. Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tegakkan keadilan kepada semua. Perjuangkan nasib selipar. Hidup Selipar! Hidup Selipar!
Adil
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat" (Annisa'(4):58)
Wednesday, September 16, 2009 | 16 Comments
Robot
Hari ini ada sesuatu yang mencuit perasaanku. Perutku terasa geli-geli. Perasaan seolah-olah happy yang tak berapa pasti. Yang penting, memang ada rasa geli. Mungkin geli tu bukan tempatnya diperut, tapi di hati. Geli hati. Aku tak berapa mengerti tentang emosi ini. Keliru. Aku kenal dia, tapi tak berapa kenal. Maksudnya aku tahu kegemaran dia, tapi nama dia aku tak ingat pun. Namun hari ini aku tekad untuk ingat. Sebab, kali ini aku geli. Sebelum ini, takdalah macam ini. Hari ini dia berjaya akhirnya. Kejayaannya itu yang membuat aku agak geli. Tapi bukan geli seperti dicucuk pinggang. Pegang belut pun bukan. Ini geli dari dalam. Terusik tanpa sentuhan fizikal. Kalau nak diikutkan, apa yang dia buat itu mungkin orang tak suka pun. Bahkan ada yang marah . Siap kena hukum lagi. Tapi aku tetap geli. Tak kiralah dia kena hukum atau tak. Tak peduli, sebab dia buat aku geli. Bukan sebab dia geletek aku. Sebab apa yang dia buat. Tak geli pun apa yang dibuat itu, bahkan boleh diklasifikasi dalam kategori gila. Tapi tetap aku geli walaupun dia buat gila. Sambil geli, ada sekelumit rasa happy terpercik dari hatiku. Ada seakan-akan perasaan happy untuk makan ayam percik yang aku beli di pasar ramadhan tadi. Tak banyak sangat, tapi ada. Aku yakin dia lebih seronok walaupun dia terpaksa korbankan RM 2000 untuk buat aku geli.
Robot yang lain
Aku bukan nak cerita sains fiksyen. Ini hanya salah satu strategi dari pelbagai lagi. Sejak tadi aku dah pasang niat. Kali ini aku mesti jaya. Dia bukanlah robot yang sebenar. Skru pun tiada. Tak tahulah pula kalau dia pernah patah-patah. Kalau begitu, mungkin dia ada skru. Aku tak pasti. Yang aku pasti, dia pun macam kita juga. Cuma kali ini hasrat aku mesti dipenuhi. Tiada siapa dan apa akan menghalang. Melainkan jika Allah mengkehendaki demikian. Waima dia bukan spesis robot, apa yang dibuat semacam robot. Bukan dari sudut perlakuan. tetapi spiritual. Berani macam robot. Bukan sebab robot berani, sebab robot tak tahu rasa takut mahupun berani. Fiil dia tak disertai takut, walaupun yang dibuatnya itu boleh mati. Robot yang lain kalau diterjemah dalam bahasa inggeris bagi orang-orang yang belajar separuh jalan boleh jadi 'a lain robot'. Seperti aku katakan tadi, ini bukan kisah fiksyen. Bukan robot, tapi teknik. Teknik memori. Bukan robot, tapi robert. Alain Robert, spiderman dari perancis itulah yang berjaya menghiburkan hatiku. Tak banyak, tapi ada.
Manfaat
Aku nak sambung lagi, tapi dah nak pergi. Pergi sebentar, doanya agar masih boleh kembali. Bukan nak pergi panjat macam dia. Itu dia. Ini aku. Dia lain. Aku lain. Korang? Aku tak peduli. Bukan tak peduli korang. Aku tak peduli, aku nak pergi. Sebelum aku pergi, walaupun catatan kali ini sedikit dan geli. Aku masih harap ada manfaat bagi pemikir-pemikir macam saudara-saudari. Setiap yang berlaku, samada pada diri mahupun orang lain, objek lain, kita sama-sama tengok pada sudut pelajarannya. Pelajaran yang baik-baik... Harap manfaat.
Read More..
Thursday, September 03, 2009 | 9 Comments
Merdeka! ka ka ka vs Merdeta!
Merdeka ertinya bebas. Fikir saya begitu maksudnya. Benarkah? Nanti saya rujuk kamus dewan. Bebas pula apa? Tidak terikat. Itu yang pertama hasil carian kamus mindaku. Sohihkah? Nanti saya lihat kamus. Layakkah manusia bebas? Pekerja kfc yang berada di premis kfc bolehkah pakai uniform safeguard (syarikat keselamatan). Memang kena halau sahaja kalau demikian fi’il staf itu. Bebaskah? Itu satu tamsil. Ada lagi. Kalau bermain bolasepak bolehkah sesuka hati pakai kayu hoki. Tentu tak sesuai. Gila lebih tepat untuk diungkap. Gila? Teruk sungguh .Itu perumpamaan kedua. Bebaskah? Ada lagi. Kalau budak sekolah lelaki berambut panjang. Tentu kena marah. Silap-silap kena hukuman ala mee maggi. Segera serta-merta. Beruntung juga sebab dapat fesyen yang jarang ada di dunia. Fesyen ala tobek tidak sekata. Guntingan merana namanya. Semerana makan maggi, diasimilasi, tapi kurang bergizi. Ponteng kelas, kena rotan depan jemaah murid dan guru semasa rutin berhimpun. Malunya rasa macam hendak pindah negeri. Itu budak bermoral. Yang kurang, tidak peduli. Hati kering, jiwa lali. Boleh jadi muka dia lagi yang ke depan terima hukuman. Aduh, setiap yang dilanggar pasti dihukum. Tiga contoh sudah memadai untuk difahami. Manusia laisa bebas.
Belum cukup. Elok ditambah lagi mudah-mudahan terang-benderang. Biar tiada lagi tabir yang mengadang pandangan pengertian bebas. Walaupun dengan kain langsir jarang sekalipun. Tanggalkan semua hijab. Biar telus dan tembus. Hakikatnya di dunia ini, tidak ada satu pun yang bebas. Burung yang terbang bebas di angkasa sebetulnya tidak bebas. Ada hadnya. Tertakluk pada takat tinggi maksima menurut upayanya. Matahari dicipta pada paksinya. Tidak bebas. Bumi bergerak melalui orbit khusus. Tidak bebas. Harimau yang cuba-cuba ke kota pasti ditimpa malang. Walau mungkin terlebih dahulu mencipta kemalangan. Tidak bebas. Ikan tidak mungkin hidup di darat kecuali ikan belacak. Begitu pula landak, nahas jika cuba menyelam di laut. Tidak bebas. Semua ada taklukan. Batasan menurut fitrah yang haq. Aturan pencipta alam. Semua tertakluk. Orang Malaysia tertakluk dengan perlembagaan Malaysia. Orang Amerika sama sahaja ditakluki perlembagaan negaranya. Siapa yang bebas. Orang yang tiada Negara mungkin bebas. Betulkah? Sebenarnya, semua makhluk yang dicipta terikat . Terikat dengan fitrah pencipta. Hidup atas qadha dan qadarnya. Dengan izinNya. Boleh bebas, berbuat kontradik fitrah, berjumpalah dengan fasad. Rosak binasa. Malang menimpa. Dihukum penguasa. Layang-layang yang bebas, talinya putus, tidak lagi terikat dengan tuan layang-layang yang mengawal koordinasinya di langit tinggi. Terbang tanpa tujuan. Mengikut stering angin yang berhembus ke sana ke mari. Ke kanan ke kiri tidak menentu. Tanpa arah tuju yang jelas. Akhirnya rebah menyerah pasrah ke bumi. Itu ibaratnya. Bebas yang tidak binasa ada? Ya, ada. Bebaskan diri dari nyamuk dengan memasang kelambu, atau menggunakan ubat nyamuk. Yang berasap atau elektrik. Bebaskan diri dari penjajah dengan menukar polisi penjajah dengan sistem yang tidak canggah. Peraturan yang membawa kebahagiaan manusia. Itu konotasi yang berbeza. Bebas daripada yang salah untuk terikat dengan yang benar. Terikat juga. Tidaklah bebas namanya. Tapi tidak bebas yang ini membawa kesejahteraan.
Manusia di mana sahaja dia berada tidak boleh berbuat suka hati. Berbuat sesuka hati, ya, satu lagi pengertian wajar untuk bebas. Nanti aku pastikan maksud tepatnya. Kembali kepada isu kita layakkah manusia bebas? Nah, jawabnya ada pada persepsi masing-masing. Kecenderungan saya berdasarkan kupasan ini, manusia tidak bisa bebas. Manusia harus punya ikatan dengan Allah. Hablumminallah. Hubungan manusia dengan Allah yang membawa kesejahteraan. Salam yang terpancar dengan kebahagiaan hubungan sesama manusia. Hablumminannas. Semangat persaudaraan yang menghindari penindasan. Bukan sahaja sesama Homo sapiens, tetapi juga untuk sejagat. Rahmat sekelian alam. Hajat untuk hidup bebas hanya tuju fasad, Kehancuran. Ibarat kereta yang tidak diisi minyak hitam terus dikerah untuk berjalan. Pasti masuk bengkel. Silap-silap kena overhaul.
Ini hakikat. Kebenarannya. Namun, masih nukilan ini tidaklah menafikan penggunaan kata merdeka yang digunakan oleh Negara kita. Kerana yang dimaksudkan merdeka itu ialah bebas dari penjajah. Itu lebih kurang sama seperti yang dihuraikan di atas. Di perenggan yang ada frasa ‘konotasi berbeza’. Cuma apabila kalimah merdeka dilaung secara mandiri, risau ada yang salah erti. Berdiri sendiri tanpa sahabat-sahabat perkataan yang lain mendukung. Diulang tiga kali bersendiri. Sama bilangan dengan kata betul yang disebut oleh upin entah ipin, saya kurang pasti. Bukti salah erti itu memang sebanyak pasir di pantai. Setiap orang yang baca bebelan ini pasti ada contohnya. Malam merdeka jadi acara tahunan wajib muda-mudi. Melayu terutamanya. Sedihnya. Pilu sebab disalah erti. Tiga kali laungan mungkin tidak cukup bagi mereka. MEREKA MAHU MERDEKA INFINITI KALAU BOLEH. Acara kejar-mengejar dengan kereta polis oleh sang rempit dan rempitah aksi pelagak ngeri jalanan. Jalan tinggi mahupun lorong kecil bersimpang- perenang tidak peduli. Disusuli slot pening-pening langau gara-gara ekstasi atau ice ice baby. Pening sambil berbunyi ala langau bertemu sampah keji. Ditambah seri dengan air kenikmatan cap brandi. Minda separa sedar , bukan kata ala motivasi, menuntun satu lagi aksi lagak ngeri . Kali ini pengisahan di lokasi dalam kamar, atas tilam lebih spesifik. Ngeri lantaran perbuatan sudah kahwin belum nikah. Lebih ngeri, jika penggambaran lakonan pelakon-pelakon tidak terkenal tapi handal ini jika di buat di lokasi luar tilam. Ini realiti. Bukan fantasi. Tapi bukan rancangan realiti akademi fantasi ya.
Di kesempatan hari kemerdekaan ini, mari kita laungkan bersama. Merdeka! ka ka ka... Merdeka! ka ka ka... Merdeka! ka ka ka.. Bukan gelak, tapi gema. Pantulan semula kata itu yang kuat dibunyikan. Cermin supaya kita merenung dan menghisab tanpa perlu menggunakan kalkulator apatah lagi buku teks kalkulus, tentang erti merdeka. Agar jangan disalah erti. Supaya selari ilmi dan amali. Buahnya nanti tidak fasad, hanya salam.
Merdeta! Merdeta! Merdeta! Bukan tersalah eja. Tidak juga perkataan baru. Jauh sekali perkataan sendiri. Bahasa Ibrani? Salah. Bahasa lain tidak juga. Bukan juga mengejek. Cuma teriakan seorang budak 4 tahun yang lidahnya masih menggeliat membunyikan ‘k’. Yang sedang dikursuskan sebutannya oleh bapa dan emaknya. Diperkayakan lagi dengan jurulatih tambahan penuh keprihatinan para pakcik, atuk dan turut serta neneknya. Teriakan yang waima pelat itu, seakan-akan berdakwah agar orang-orang dewasa kembali ke pangkal jalan. Buat koreksi atas istilah itu. Agar selari ilmi dan amali.
“Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus." (Hud (11):56)
“Aku benar-benar bersumpah dengan kota ini (Mekah).Dan kamu (Muhammad) bertempat di kota Mekah ini. Dan demi bapak dan anaknya. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah. Apakah manusia itu menyangka bahwa sekali-kali tiada seorang pun yang berkuasa atasnya? Dia mengatakan: "Aku telah menghabiskan harta yang banyak". Apakah dia menyangka bahwa tiada seorang pun yang melihatnya? Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua buah mata. Lidah dan dua buah bibir. Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan. Maka tidakkah sebaiknya (dengan hartanya itu) ia menempuh jalan yang mendaki lagi sukar?. Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? (yaitu)Melepaskan budak dari perbudakan. Atau memberi makan pada hari kelaparan. (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat. Atau orang miskin yang sangat fakir. Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang. Mereka (orang-orang yang beriman dan saling berpesan itu) adalah golongan kanan. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri. Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat.” (Al-Balad (90):1-20)
p/s : saya sudah rujuk kamus.
Read More..
Tuesday, September 01, 2009 | 4 Comments
datuk oh datuk
Peringkat antarabangsa je lah kut yang wajar. Ye dak. Ntah le.. Kalau Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa macam mana pulak ye? Sharifah Khasif Fadzilah. Dapat kah? Ada yang bising-bising nak bagi datuk kah? Tak de pulak ye.. he he. Saja nak pecah minda. Sayang nya . Patut ke dapat? Dapat ke patut? Ntah le.. Biaq depa gaduh-gaduhkan. Ramai pulak ke yang nak berdendang dengan ayat2 Allah untuk dapat datuk nanti. Bagus lah tu? Bagus ke? Ntah le.. Lu pikirlah sendiri.. Yang jelas nampak kat sini, antara baadminton dan tilawah al-quran mana yang lebih digalakkan, mana yang lebih ditinggikan.
Datuk oh Datuk..
Wednesday, August 19, 2009 | 0 Comments
H1N1
Topik ini antara yang paling hangat dikatakan sekarang ini. Ancaman H1N1 ini menjadi igauan kepada semua lapisan masyarakat apabila peningkatan kesnya semakin menjadi-jadi. Sehingga hari ini sahaja di malaysia, sebanyak 4225 kes telah dilaporkan dengan 184 daripadanya mendapatkan rawatan di hospital, 33kes di ICU dan 64 daripadanya adalah kes kematian. Sementara di peringkat global, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan sebanyak 177,457 kes dengan 1462 kes daripadanya melibatkan kematian. Jumlah tertinggi kes setakat ini adalah di Amerika iaitu sebanyak 102905 kes dengan 1274 darinya adalah kes kematian. Rekod ini disusuli oleh Eropah sebanyak lebih 32000 kes dilaporkan dengan hanya 53 kes kematian. Kawasan yang terendah menghadapi anacaman ini setakat ini adalah di bahagian Afrika iaitu sebanyak 591 kes dilaporkan.
Walaupun wabak selsema babi atau Influenza A (H1N1) ini menampakkan penyebaran yang sangat cepat dan meluas, namun kes ini masih lagi diklasifikasikan sebagai keterukan yang sederhana "moderate severity" oleh sebab kes-kes yang dilaporkan telah sembuh mencatatkan jumlah dan peratusan yang sangat tinggi hatta terdapat kes penyembuhan tanpa sebarang rawatan biasanya dalam tempoh seminggu daripada mulanya dijangkit
Antara pesanan-pesanan yang diingatkan oleh kerajaan untuk mencegah dari dijangkiti adalah dengan memakai topeng muka, sentiasa menjaga kebersihan diri terutamanya dengan kerap mencuci tangan dan mengelakkan aktiviti sosial. Selain itu beberapa hospital telah dilantik untuk menjalankan ujian pengesahan H1N1 selain dengan memperketatkan kawalan disempadan seperti di lapangan-lpangan terbang. Sekolah-sekolah atau institusi pengajian yang di 'serang' oleh organisma seni juga ditutup untuk tempoh tertentu sekiranya terdapat bebereapa kes yang disahkan.
Walaupun kelihatan tindakan telah diambil, namun respon yang dilihat atau didengari daripada beberapa orang kenalan mendapati suatu yang mengelirukan dan tidak jelas terutama bagi pesakit-pesakit yang mengalami simptom dan ingin buat pemeriksaan. Tidak mahu bercerita panjang tentang perkara tersebut, cuma kesimpulannya di sini dapat digariskan : tindakan yang diambil tidak seiring dengan seriusnya penularan wabak ini, atau rakyat perlu lebih difahamkan lagi tentang H1N1 ini dengan lebih komprehensif.
Satu yang saya nampak terlupa untuk dipesan kepada rakyat jelata dalam menghadapi musuh yang tak kelihatan dek mata kasar ini, adalah untuk meninggikan status pertahanan diri. Ini yang tak dipesan! Dari fakta yang dipetik dari laman web WHO berbunyi " This pandemic is currently referred to as of “moderate” severity, with the overwhelming majority of patients recovering, even without medical treatment, within a week of the onset of symptoms." menunjukkan dengan sistem imun yang kuat, badan mampu melawan virus ini sehingga kembali sembuh walaupunn tidak mendapatkan rawatan secara rasmi (rawat diri sendiri). Fakta ini juga disokong oleh pengalaman diri saya sendiri telah mengalami simptom denggi tapi tidak pergi mendapatkan rawatan di hospital. Rawatannya minum air kosong sebanyak-banyaknya dan makan sup ketam. Alhamdulillah, sembuh.
Jadi, pesan saya, marilah kita sama-sama mengambilkan satu lagi tindakan dalam menangani isu 'makhluk halus' ini dengan MENGUATKAN TUBUH BADAN! Cara-caranya ada banyak, antaranya adalah pemakanan. Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran terutamanya yang sering dikaitkan dengan penyembuhan (belum disahkan secara saintifik) contohnya minum air kelapa, makan epal hijau. Selain daripada itu, mengambil supplemen seperti pil bawang putih, spirulina, proviton (multivitamin + ginseng). Selain itu, mengamalkan pemakanan madu juga baik untuk meningkatkan sistem pertahanan tubuh. Untuk meningkatkan sistem perkumuhan (membuang benda-benda tidak elok dalam badan) eloklah dengan cara mengamalkan minum air kosong (air ro terbaik) dengan sebanyak dan sekerap yang mungkin. Tidak mengapa kalau selalu ke tandas. Disamping pemakanan, senaman yang kerap dan konsisten juga dapat membantu menguatkan daya tahan badan. Jangan lupa yang terpenting, kekuatan mental dengan mengamalkan amalan-amalan solat, mengaji, zikir-zikir harian dan sentiasa berdoa agar selalu dalam keadaan yang salam. Allahumma antas salam, wailaika ya'udussalam..
Pesan ini tidak dipesan kepada ramai warga kita, maka pesan-pesankanlah moga manfa'at. Selamat Bertindak.. bukan untuk H1N1 sahaja, untuk terus-terus diamalkan. salam.
Read More..
Tuesday, August 18, 2009 | 0 Comments


