Insyirah
BERBUAT BAIK MELAPANGKAN DADA
Kebajikan itu sebajik namanya, keramahan seramah wujudnya, dan
kebaikan sebaik rasanya. Orang-orang yang pertama kali akan dapat
merasakan manfaat dari semua itu adalah mereka yang melakukannya.
Mereka akan merasakan "buah"nya seketika itu juga dalam jiwa, akhlak,
dan nurani mereka. Sehingga, mereka pun selalu lapang dada, tenang,
tenteram dan damai.
Ketika diri Anda diliputi kesedihan dan kegundahan, berbuat baiklah
terhadap sesama manusia, niscaya Anda akan mendapatkan ketentraman
dan kedamaian hati. Sedekahilah orang yang papa, tolonglah orang-orang
yang terzalimi, ringankan beban orang yang menderita, berilah makan orang
yang kelaparan, jenguklah orang yang sakit, dan bantulah orang yang
terkena musibah, niscaya Anda akan merasakan kebahagiaan dalam semua
sisi kehidupan Anda!
Perbuatan baik itu laksana wewangian yang tidak hanya mendatangkan
manfaat bagi pemakainya, tetapi juga orang-orang yang berada di sekitarnya.
Dan manfaat psikologis dari kebajikan itu terasa seperti obat-obat manjur
yang tersedia di apotik orang-orang yang berhati baik dan bersih.
Menebar senyum manis kepada orang-orang yang "miskin akhlak"
merupakan sedekah jariyah. Ini, tersirat dalam tuntunan akhlak yang
berbunyi, "... meski engkau hanya menemui saudaramu dengan wajah berseri."
(Al-Hadits)
Sedang kemuraman wajah merupakan tanda permusuhan sengit
terhadap orang lain yang hanya diketahui terjadinya oleh Yang MAha Ghaib.
Seteguk air yang diberikan seorang pelacur kepada seekor anjing yang
kehausan dapat membuahkan surga yang luasnya seluas langit dan bumi.
Ini merupakan bukti bahwa Sang Pemberi pahala adalah Dzat Yang Maha
Pemaaf, Maha Baik dan sangat mencintai kebajikan, serta Maha Kaya lagi
Maha Terpuji.
Wahai orang-orang yang merasa terancam oleh himpitan kesengsaraan,
kecemasan dan kegundahan hidup, kunjungilah taman-taman kebajikan,
sibukkan diri kalian dengan memberi, mengunjungi, membantu, menolong,
dan meringankan beban sesama. Dengan semua itu, niscaya kalian akan
mendapatkan kebahagiaan dalam semua sisinya; rasa, warna, dan juga
hakekatnya.
{Padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus
dibalasnya. Tetapi (dia memberikan itu semata-mata) karena mencari keridhaan
Rabb-nya Yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan.}
(QS. Al-Lail: 19-21)
(petikan buku La Tahzan)
Read More..
Tuesday, March 09, 2010 | 10 Comments
Utuh
Batu takkan jadi penghalang
Walau besarnya seperti anak gajah atau bapa gajah
Daratan bukan sekatan
Walau jalanan mencetak likuan
Pengembaraan ini tiada henti
Berkitaran melukis roda keseimbangan alam
Halanglah !
tetap aku terus !
Read More..
Saturday, March 06, 2010 | 4 Comments
Hari ini
Tarik nafas dalam-dalam dan bertenang. Dengan penuh penghayatan, bayangkan kita hanya ada hari ini sahaja untuk hidup. Esok untuk kita tiada lagi. Bayangkan kita tahu hakikat itu hari ini, bagaimana rasanya? Apa yang kita bakal lakukan hari ini? Berhenti membaca seketika dan bayangkanlah dengan halus.. bagaimana?
Dalam keadaan kita yang tahu hanya ada hari ini, Bila kita berkata-kata dengan orang, bagaimana cara kita berbicara? perkataan yang bagaimana kita akan gunakan? Bagaimana ekspresi wajah yang kita pamerkan saat berbicara? Andai ini hari yang terakhir, pasti semuanya akan kita katakan dengan lemah-lembut, menjaga tatasusila, bersopan santun agar tidak mengguris siapa pun. Bahkan kita akan cuba ungkapkan kalimah-kalimah yang paling sedap didengari telinga. Terutamanya buat orang-orang yang terdekat dengan kita, orang-orang yang kita sayang.
Saat ini, andai kita mafhum bahawa esok tidak akan muncul, bagaimana bertindak balas dengan tekanan. Baik tekanan keluarga, kerja dari sahabat-sahabat atau dari apa sahaja? Bagaimana kita menghadapi cabaran baru hari ini sedang kita tahu esok sudah tidak ada? Tentu bebannya yang asal 20kg boleh mendadak turun kepada 5kg atau sekilo mungkin. Tenang akan menyambut sebarang cabaran. Tindakan juga pasti tidak ketinggalan sebab kita tahu yang ada hanya hari ini.
Hari ini sahaja yang tinggal untuk kita. Bagaimana kita melayan kedua ibubapa? bantuan apa yang kita hulurkan buat isteri? Pesanan apa yang kita tinggalkan buat anak-anak? Orang-orang yang terdekat, orang-orang yang tersayang ini, bagaimana kita menghargainya selama ini, bagaimana pula dengan hari ini, hari yang terakhir untuk kita.
Bagaimana pula hubungan kita dengan Allah. Untuk peluang terakhir hari ini. Solat sesempurna mungkin, Menghayati bait-bait kalimahNya dalam kitab suci, Pohon keampunan dan meniggalkan segala kejahatan baik yang tampak mahupun yang tersorok. Bersedia menghadapi saat-saat dihisab. Tentu sesuatu yang meresahkan hati sehingga setiap suatu yang dibuat hari ini, pasti niatnya tidak lain semata-mata kerana Allah. Semua tindakan dilakukan atas nama ibadah.
Jadikan hari ini, dan setiap hari, hari yang terakhir dalam hidup kita. Tentu manfaatnya tinggi. Kualiti hari-hari yang kita bernafas di dalamnya pasti tidak mengecewakan. Tentu hari ini bakal memahat memori terindah dalam diari hidup.
Semalam adalah hari yang telah berlalu. Datangkanlah segenap kekayaan di bumi, pasti tidak akan dapat mengembalikannya. Apa yang berlaku yang tidak molek pada pandangan mata atau hasrat dihati jangan kita tangisi. Jadikan pelajaran untuk lalui hari ini. Yang penting adalah hari ini. Esok belum pasti kita ada. Jangan terlalu serabutkan diri dengan apa yang bakal berlaku esok. Yang penting hari ini, jadikannya hari yang terakhir.
Read More..
Wednesday, March 03, 2010 | 8 Comments
Toma'ninah
hatiku gembira
walaupun hakikat sedang bermuram
menatap kalimah-kalimah sahabat
walau singkat, tetap menjadi seakan ubat
terima kasih sahabat-sahabat
nanti aku tulis lagi
Read More..
Thursday, December 10, 2009 | 11 Comments
Jangan datang sini lagi
hendak dibuang ke mana rasa ini
buang-buang masih melekat baki
melekit dan bertambah lagi
digocoh lumat masih bernafas
dibubuh racun hati tak sanggup
pongah menggunung
degil membatu
kuasa jahat apakah ini
mencetus geger bumi qalbu
mengocak-ngocak lautan jenjam
mencetus gelombang tsunami
menggempur kuat damai batin
sakit yang tak kelihatan
(*)
hela nafas sepuluh
perang mesti tenang
rasa jahat ini harus dibunuh
senjata tuntutan samawi telah ketemu
sedia..
baca! baca! baca!
bunuh! bunuh! bunuh!
(jangan kau muncul lagi)
hela nafas sepuluh (lagi)
Read More..
Wednesday, November 18, 2009 | 12 Comments
Ubat Angin dan Tegang
Aku tarik nafas dalam-dalam dalam kiraan sepuluh, aku lepaskan perlahan-lahan dalam kiraan sepuluh juga. Ini adalah petua yang diajarkan oleh kaedah Yoga yang telah diharamkan itu. Kini, aku tukarkan nama teknik pernafasan itu sebagai Yogi supaya tidak dicemuh oleh mana-mana media. Ini adalah salah satu bentuk langkah berjaga-jaga agar tidak berlaku sebarang kontrovesi. Aku yakin dengan tindakan ini sebab bagi aku takkanlah bernafas dalam-dalam pun boleh jatuh haram sebab yoga yang ajar.
Lega rasanya mendapat oksigen yang cukup. Tenang sikit beban di dahi ku yang sememangnya luas. Perut ku yang memang semulajadi kencang juga sudah mulai bertenang. Alhamdulillah, inilah nikmat buang angin. Angin yang terhasil akibat tekanan perasaan. Nampaknya seakan-akan ada perkaitan antara tekanan perasaan dan angin dalam badan. Entahlah, mungkin nanti aku akan ajukan kepada Prof Ahmad Fuad, bekas pensyarah aku, kalau-kalau dia sudi kajikan. Aku dengar sekarang ini dia ada pembantu yang rajin dan gigih. Mudah-mudahan kajian itu beroleh jawapan yang tepat. Mungkin nanti mereka-mereka, pengkaji ubat-ubat akan beroleh ubat yang boleh mengatasi keberkesanan gaviscon bagi melegakan angin satu badan.
Bila angin sudah tenang, tidak kencang, kelopak mata bertahap-tahap mula rasa berat. Perlahan-lahan menyepet. Pandangan zahir mula kabur, hilang perlahan-lahan bertukar menjadi gelap. Aku pun tertidur lantas sekonyong-konyong termimpi lagi, kali ini bukan Nur Kasih yang datang , lebih anggun dan mantap lagi. Siti yang muncul, sungguh ku tak sangka sekali. Bukan Siti Nurhaliza, tidak juga Siti Kos Endang apatah lagi Siti Ghouss adik kepada Fauziah Ghouss, tapi Siti yang manis rupawan, tiada tandingan.. Dia adalah isteriku sendiri. Oh, sungguh tenang sekali perasaan ini. Aku mula terfikir untuk membatalkan rancangan memohon Dr Ahmad Fuad buatkan kajian ubat penghilang tekanan dan angin. Sebab aku dah jumpa ubat yang jauh lebih baik dari gaviscon. Penyedap mata dan penghibur hati kala lara. "Ee eewah, dalam mimpi pun boleh bersastera" hatiku tercuit dengan insiden yang berlaku dalam mimpi asyik itu. Isteriku perlahan-lahan menghampiriku, Dia tersenyum dan aku tersengih. Sambil tersenyum dirapati isteriku, otak aku mula terpinga-pinga dalam penafsiran. “Betul ke tengah mimpi ni?”
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu istri-istri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir."( Arrum (30):21)
Wednesday, October 28, 2009 | 26 Comments
Jurus Minda
“Seseorang itu akan menjadi apa yang sering difikirkan”.
Apabila kita berfikir tentang sesuatu, dengan kerap, perbuatan kita akan cenderung mengikut apa yang difikirkan. Logiknya di sini, berfikir melibatkan penggunaan otak, manakala pergerakan tubuh pula terjadi atas penghantaran isyarat atau impuls dari otak kepada anggota badan, baik organ dalaman mahupun anggota luaran. Jadi fikir dan tindak suatu yang punya kaitan rapat.
Terdapat orang yang sering memikirkan tentang bola. Lantas terungkap motto “makan bola, minum bola, tidur bola” segala-galanya perihal bola. Walaupun, hafalan subek sains mahupun geografi mengundang kesukaran, namun berbeza untuk bola. Ibarat makan kismis minda khusus untuk bola sahaja, segala-gala tentang bola dapat dihafali jauh lebih baik dari menghafal rukun wuduk atau haji. Nama pemain, nombor jersi, asal di mana, status perkahwinan, nama pasukan, jadual harian, menjadi zikir harian bagi ahli fikir bola. Tindak-tanduk harian semua berbudayakan bola, baca surat khabar tentang bola, tengok bola walaupun orang lain sudah lelap mata, sembang-sembang tentang bola, petang main bola. Pendek kata, serba-serbi aktiviti bersangkut ehwal bola. Tanyalah apa sahaja, tentang bola semuanya boleh dijawab tepat. Kalau ada subjek bola dalam peperiksaan, pasti kalau bukan A diperolehi, A + dirangkul. Hebat dan bagus sekali hasil memori dan ilmu bola apabila sentiasa menjadi bahan fikir harian.
Dari contoh di atas, dapat disimpulkan, apa yang kita sering kita fikirkan adalah apa yang kita minat. Maka, bagi membentuk pola fikir kita yang bagus juga, kita perlu membentuk pola minat terhadap suatu yang baik serta bermanfaat untuk kehidupan kita. Minat tidak semestinya hadir secara alami, minat juga boleh dipupuk.
Macam-macam jenis perkara lagi yang biasa difikirkan sentiasa oleh orang kebanyakan seperti wanita, pangkat, harta, tv, radio, gossip dan macam-macam lagi. Dalam masa yang sama juga, tidak sedikit pula yang jarang-jarang berfikir, menjadikan otak yang diletakkan dikepala itu mahal harganya. Tinggi nilainya sebab kurang diguna. Bagi kategori sebegini, kehidupan yang dijalankan rutin, bangun pagi, pergi kerja, balik malam, tengok tv, tidur sebagai ulangan aktiviti sehari-hari. Mentaliti kategori ini, pada kebiasaannya terselimut dengan zon keselesaan.
Justeru bagaimana dengan kita, apa yang kita paling banyak fikirkan, apa yang sepatutnya kita paling banyak fikirkan? Mengulang kembali kata-kata Ralph Waldo
Emerson, bahawa kita akan menjadi apa yang kita sering fikirkan, bermaksud kita harus selalu fikirkan tentang tujuan dan matlamat kita. Apa yang kita mahu capai. Dalam erti kata lainnya kita harus sentiasa memikirkan tentang kejayaan berbanding kegagalan, kekayaan berbanding kemiskinan, keberanian berbanding ketakutan. Orang yang cenderung berfikir kejayaan cenderung berjaya, sebaliknya orang yang suka berfikir tentang kegagalan akan cenderung capai kegagalan. Begitu juga dengan kekayaan dan kemiskinan. Maka, selalulah fikirkan tentang kemenangan dan kejayaan.
Namun, harus diingat berfikir sahaja tidak akan mengubah apa-apa, yang akan mengubah adalah tindakan yang dibuat hasil apa yang difikirkan. Ganjaran datang dari apa yang kita buat, bukan dari apa yang kita tahu atau fikir. Jadi, fikiran yang bermanfaat itu adalah, fikiran yang kerap dan diikuti dengan tindakan tanpa tangguh. Itu yang pasti. Fikirlah tentang apa yang kita mahu dalam kehidupan. Apa fokus kita, apa tujuan yang kita ingin capai.
Tahun 2009 dan 1430H sudah hampir sampai ke penghujungnya. Apakah matlamat kita tahun ini sudah kita capai? Atau mungkinkah kebanyakan dari kita tidak langsung menetapkan apa-apa matlamat yang harus dicapai. Sama-sama kita renungkan agar kehidupan menjadi lebih bermakna, nikmat umur lebih kita syukuri dengan buat sesuatu yang lebih bermatlamat dan bermanfaat, sementara masih dikurniakan umur. Tahun hadapan, apa matlamat yang kita sasarkan, harus kita garisi diperingkat awal lagi, tanpa tunggu detik 12malam 1 januari atau 1 muharram nanti. Seperti biasa, uusini wa iyyyakum, peringatan ini lebih untuk diri saya sendiri dan dikongsikan kepada sahabat-sahabat sekelian agar manfaat. Mari kita sama-sama renungkan beberapa ayat yang lebih tepat menjadi keutamaan fikiran dan penumpuan nurani kita, dan penting dijadikan rangka dalam meletakkan sebarang matlamat.
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui, (Arrum (30):30)
Katakanlah: "Sesungguhnya solat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)". (AlAn’am(6):162,163)
“Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.” (AlAn’am(6):79)
Monday, October 05, 2009 | 4 Comments
Menang kecil Menang Besar
Hanyir salam aidil fitri maaf zahir dan batin dari sahabatmu Tinta kasturi.
Petang itu berbau hanyir amat. Kenyamanan aroma udara petang indah tercemar dengan bau hanyir yang terbit dari kalimah-kalimah seseorang. Cikgu Salman, siapa yang tidak kenal. Bait-bait lafaznya kalau tidak mendarahkan hati seseorang, pasti menyisakan calar-balar. Nasib baik telinga anak-anak muridnya tidak rosak dek kerana tujahan lafaz sakti penurun motivasi dari pendidik bergelar Salman itu. Bagi kebanyakan pendengar-pendengar setia terpaksanya, begitulah tanggapan masing-masing. Sepakat. Muhasabah kemajuan setiap individu pelajar yang minta diisytiharkan oleh cikgu Salman, dipandang kosong dan sepi, walau pada awwalan seakan-akan memuji tanpa hati. Perasaan berbunga atas pernyataan kejayaan masing-masing dalam menguasai pelajaran pada mulanya, berhijrah sirna apabila cikgu membuahkan kata-kata hanyirnya, memurahkan usaha dan jaya setiap pelajarnya. Katanya kecil, tidak berbaloi. Lekeh dan enteng. Tidak dipandang tinggi dan setaraf dengan penat lelahnya mengajar selama ini. Strategi cikgu itu sudah dapat dibaca. Siapa pelajarnya yang tidak kenal. Langsung sifar kreatif.
Nasihat
Mahfum firman " La in syakartum la azidannakum " "Jika kamu bersyukur pasti akan ditambah lagi ni'matnya" Salah seorang terpelajar membidas gaya mendidik gurunya itu. Setiap kejayaan yang kecil, adalah kejayaan yang harus disyukuri kerana pastinya ia datang dari Tuhan Alam tanpa sangsi. Semua pengaturan atas kekuasaanNya.
Mengapa bersikap melemahkan jiwa menang. Perspektif kemenangan harus ditabur benihnya dalam setiap jiwa. Dijaga dan disiram sehingga tumbuh subur, berakar tunjang dalam hati agar tidak kenal erti kalah. Tidak mudah putus asa,menyerah pasrah. Ya, jiwa menang harus dikobarkan dan disemarakkan. Bukan dibunuh-bunuh. Kemenangan yang besar datangnya dari kemenangan-kemenangan kecil yang dicapai. Begitu konsep ajaran Ilahi. Tampilan peribadi Rasulullah yang tidak pernah lelah dalam menggapai menang. Anak-anak yang pernah menang walau kecil, harus dihargai. Demikian seperenggan nasihat dilafazkan seorang teman. Diskusi seusai kelas, agar bau hanyir dihalau pergi sejauh-jauhnya dari hati yang masih wangi. Disebabkan status masih wangi itu juga seorang dari kalangannya tetap mengingatkan bahawa dia tetap pendidik kita walau begitu sikapnya. "Syukur juga kita dapat belajar dan berlatih sabar dengan kerenah peribadinya, kita sama-sama doakan mudah-mudahan beliau berubah" Walau pendekatannya begitu, cikgu Salman sememangnya mencitakan yang terbaik buat anak didiknya. Walaupun dia kurang sedar, banyak tindakan dan perkataannya yang mampu membunuh jiwa-jiwa yang mahu menang.
Ibrah
Meninjau-ninjau kisah mereka, membuatkan hati terpaku memikirkan. Fikiran bagaimana cara terhikmah merangsang kejayaan bersama. Carian yang akhirnya menyentuh lembut hikmah detik dan saat catatan ini dinukilkan. Detik dan saat setiap insan diberikan pendidikan tanpa bayaran. Ya, saat ini tarbiah dari Ilahi, pembentukan setiap insan menuju kejayaan. Citra mesej terhalus dari Allah dan rasulNya tentang bagaimana puasa di bulan ramadhan itu dianugerahkan kejayaan gemilang di aidilfitri, syawal. Sehari-hari kita berpuasa, kejayaannya untuk hari itu adalah saat kita berbuka. Bermaksud selesai satu hari kita berpuasa. Kita syukuri. Harus kita syukuri. Bukti penghargaan kepada Allah, kita teruskan lagi ibadahnya untuk esok harinya. Terus-menerus setiap hari mencatat kejayaan, serta pembaikan dalam komitmen beramal. Sehinggalah ibadah puasanya cukup bilangan harinya, sempurna amalannya. Maka, dengan himpunan kemenangan-kemenangan kecil yang berjaya dilakarkan, layaklah dihidangkan dengan kurniaan Allah, idul fitri di bulan syawal.
Firman
"...Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (AlBaqarah(2):185)
"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Ibrahim(14):7)
Read More..
Saturday, September 19, 2009 | 2 Comments
Rendah Gunung, Tinggi Harapan

Sodium Hipoklorit
Tersebut kisah tentang seorang ibu tunggal. Suaminya telah hampir setahun menceraikannya atas alasan tidak serasi. Anak-anak sejumlah 5 orang memutuskan untuk hidup bersama emak mereka. Bagi mereka, bapanya sudah tiada lagi. Emaklah tempat mereka berteduh, menakung limpahan kasih sayang berkongsi bersama adik-beradik. Yang paling tua ialah lelaki berumur 14 tahun. Angahnya perempuan darjah 6 disusuli adik lelakinya berumur 7 tahun. Selebihnya belum bersekolah, yang lelaki berusia 5 tahun ditemani adik perempuan bongsunya berumur 3 tahun. Ibu mereka hanyalah seorang cleaner. Pendapatannya tidak mencukupi untuk menyara keluarga sehingga menyebabkan anak sulungnya memutuskan untuk berhenti belajar bagi menambah pendapatan keluarga. Masa berlalu, keputusan anaknya membantu mengurangkan beban kurang berhasil. Kehidupan mereka sulit sekali. Serba tidak cukup. Seringkali kedengaran raungan nangisan anak yang terkecil kerana bekalan susu kehabisan. Bantuan-bantuan dari jiran-jirannya yang memang prihatin dengan nasib sekeluarga itu diterima dengan berat hati kerana malu. Lebih-lebih lagi jika yang menerima itu anaknya sendiri. Dia seperti tidak sanggup untuk hidup lagi. Dia sudah mula penat. Lelah dengan nasib yang menimpa. Dia tidak mahu anak-anaknya dibesarkan sedimikian rupa. Membesar dengan menagih simpati. Bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh jiran-jiran menjadi igauan hariannya. Igauan yang mula mengocak-ngocak norma keharmonian akal fikiran kemanusiaannya. Kacau bilau dan besimpang-siur laluan isyarat elektrik dan kimia dalam organ terhebat manusia kurniaan tuhan kesan daripada gempa bumi di mindanya. Gugatan itu mendorong nalurinya ke arah satu titik. Titik noktah hayat insan. MATI. Dia tekad dan nekad untuk mati. “Bila aku mati nanti, anak-anak aku pasti akan dimasukkan ke rumah anak-anak yatim, lebih bagus mereka dibesarkan di sana berbanding dengan aku. Selalu menagih dan menerima simpati” Begitulah fikir minda berkeceramuknya. Dia sayangkan anak-anak. Tetapi pada saat gawat itu dia merasakan itulah pilihan paling tepat. Botol klorox yang berisi sodium hipoklorit terpilih bagi menunaikan hajat ketemu mati. Sebotol penuh diteguknya. Dia lantas terbaring dengan keadaan mulutnya mula mengeluarkan buih-buih abnormal. Anak sulungnya menyedari hal itu, segera menghampiri kujur tubuh ibunya. Berteriakan memangku dan menatap wajah ibunya “Mak, mak jangan mati lagi. Jangan tinggalkan kami. Kami mahu mak, kami perlukan mak, kami nak kasih sayang mak. Kami tak kisah hidup susah, tapi kami tak sanggup kehilangan mak” Jeritan itu diikuti dengan gegasan anak tertua itu meminta bantuan jiran. Dia dibawa ke hospital. Alhamdulillah, setelah beberapa hari dia dirawat akhirnya tubuh badan yang menyerap klorox 500ml itu berjaya disembuhkan. Mungkin pulihan itu atas dorongan kuasa kata-kata anak yang sempat masuk ke gegendang telinganya.
Kisah di atas adalah contoh senario yang mungkin berlaku dalam norma kehidupan hari ini. Apa yang saya cuba singgung kali ini berkisar dengan harapan dan putus harapan Dari cerita tersebut, jelas bahawa manusia yang putus harapan boleh mendorongnya bertindak luar dari batasan kewarasan kemanusiaan. Justeru, adalah penting untuk kita memahami tentang harapan agar terus bersambung. Tidak putus.
Kronologi
Semua manusia mempunyai harapan. Manusia yang hidup tetapi tidak mempunyai harapan itu boleh diibaratkan seperti sudah mati. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Einstein dalam kata-katanya "Ramai manusia yang mati sejak berumur 25 tahun tetapi dikebumikan ketika umurnya 75tahun". Anak kecil biasanya mengharapkan gula-gula ataupun aiskrim. Bila sudah sekolah mahukan basikal. Harapannya lulus UPSR. Meningkat remaja, mula pandai bercinta-cinta, lantas harapannya ingin punya kekasih hati. Bila meningkat dewasa, impiannya untuk berumahtangga. Bila dah tua harapannya nak beramal ibadat menyiapkan diri agar bersedia untuk mati. Itu contoh-contoh kebiasaan harapan, Memang ada macam-macam harapan jika nak ditulis di sini. Yang paling banyak mungkin harapan yang tinggal harapan. Ada harapan yang jadi realiti, tak kurang harapan yang kekal fantasi.
Muhasabah
“Apa harapan terbesar kamu?” Apabila soalan begini dikemukakan, bebola mata bergegas mencari langit untuk ditatap. Merenung jauh ke atas, walaupun jawapannya tidak ada di situ. Merenung dalam-dalam sebelum memberi jawapan takut-takut ditolak markah kerana salah. Lantas ramai manusia akan memberi jawapan-jawapan piawai orang-orang awam zaman sekarang “ Saya nak anak 8 orang, mahu hidup di rumah banglo atas bukit tempatan, risaukan bukit antarabangsa roboh lagi, emm kereta nak pakai bmw 7 series, kalau tak dapat, brabus pun jadi lah, sebelum mati saya mahu lihat anak-anak saya semua berjaya di dunia dan akhirat” Harapan ini sememangnya bagus dan tidak ada salah-balahnya pun. Harapan setinggi ini. Jika jadi kenyataan memang membanggakan terutamanya ‘orang-orang kita’. Namun, jika direnung ke langit lagi, adakah tepat jawapan itu. Adakah langit yang luas itu setuju dengan hamburan suara itu?
Mahfum
Harapan menurut kamus akal saya bermaksud sesuatu yang dingini, sesuatu yang diimpikan, impian,hajat, cita-cita, visi atau perkataan lain yang seerti. Harapan, impian, cita-cita biasanya bertitik-tolak dari minda atau hati. Ada yang melafazkannya ada yang membenam jauh di kotak suara hati sahaja. Ada yang menyusuli dengan gerakan anggota badan, ada yang transformasi menjadi angan-angan tanpa tindakan. Dari capahan spiritual, harapan biasanya diajukan kepada Yang Maha Berkuasa mohon mimpi jadi realiti. Secara tidak langsung harapan yang bermain-main minda merupakan satu bentuk permintaan. Permintaan tanpa suara kepada tuhan. Doa istilah yang biasa digunakan. Harapan dan doa itu boleh dikategorikan selari. Maka, hati-hati dengan harapan minda dengan mengharapkan yang baik-baik. Pintalah kepada Allah dengan permohonan sebesar-besarnya dengan menunduk diri sebagai abdi serendah-rendahnya. Kerana Allah itu Maha luas kurniaNya. Janganlah mohon dengan doa yang kecil kerana jika begitu kita belum kenal bahawa Allah itu Maha Luas PemberianNya.
Doa
"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka". (Al- Baqarah(2):201)
Jarang-jarang kita dengar doa yang dibaca oleh para imam tanpa disisipi permintaan seperti di atas. Biasanya disuarakan diakhir doa. Amalan di seluruh dunia muslim yang memberi kita satu pengertian dan kefahaman betapa besar dan pentingnya permintaan itu.Permohonan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhira. Permintaan yang diredhai Allah, berbanding doa oleh sebahagian lain manusia dalam ayat sebelumnya:
“Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah (dengan menyebut) Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.(Al-Baqarah(2):200)
Hanya yang tidak waras akan berdoa demikian rupa di hadapan pengatur alam. Hakikatnya, pasti ada yang sedemikian rupa kalau begitu firman Allah. Doa bukan sekadar dengan menadah tangan berkata-kata, perlaksanaan atau usaha juga gambaran doa kita. Tidak guna memohon dengan suara tanpa usaha. Mohon ke syurga, tanpa beramal untuk ke sana. Lebih teruk lagi, beramal dengan amalan neraka. Firman Allah :
“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?” (Assof (61):2)
Kalau bukan dalam bentuk dialog dengan Tuhan pencipta, majoriti menzahirkan ayat tersebut (2:200) dalam bentuk implementasi. Usaha-usaha yang tidak henti-henti mengejar duniawi dengan mengalpakan ukhrawi. Firman :
“Adapun orang yang melampaui batas.Dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, Maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal (nya).”(An-Naziat(79):37-39)
Terbaik
Lantas harapan apa yang terbaik sewajarnya manusia impikan? Kebaikan apa yang dimaksudkan dengan doa yang acapkali dilafazkan seusai solat itu? Tentu yang terbaik rujukan kita adalah junjungan besar kita Muhammad saw.
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzab(33):21)
Misi hidup kita di dunia ini tidak lain hanyalah untuk beribadah dengan ikhlas kepada Allah. Ibadah yang terbaik ditonjolkan oleh Nabi Muhammad dalam merealisasikan wahyu Allah untuk kita semua contohi. Jadi kebaikan yang kita pohon itu adalah kebaikan apa yang telah ditampilkan oleh Muhammad Rasulullah sepanjang hayatnya. Apa yang telah disyariatkan kepada beliau sebenarnya sama telah diperintahkan kepada rasul-rasul yang terdahulu
“Dia telah mensyariatkan kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada (agama) -Nya orang yang kembali (kepada-Nya).”(As-Syura(42):13).
Itulah tugas utama Rasulullah yakni menegakkan syiar Islam si atas muka bumi. Berdakwah tanpa henti walaupun menghadapi caci-maki penduduk mekah, hatta daripada darah daging keturunannya sendiri. Itulah harapan baginda, membuktikan pengabdian kepada Ilahi dengan menyebar luaskan Islam sehingga capai visi merahmatkan sekelian alam. Itulah kebaikan yang dipinta didunia. Agar di akhirat nanti turut diberkati. Inilah impian Rasulullah. Kejayaan menunaikan misi bermula semenjak lahirnya kota al-munawwarah dan seterusnya misi kembali ke tanah air al-mukarramah menyempurnakan dakwah Islam sepanjang kehidupan baginda.
“Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran MIMPInya dengan sebenarnya (yaitu) bahwa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidilharam, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.” (Al-Fath(48):27).
“....Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Maidah(5):3)
Ayat di atas merupakan WAHYU TERAKHIR diturunkan kepada Nabi kita membuktikan harapan yang telah sempurna, Doa yang telah dikabulkan. Misi yang sangat diredhoi Allah. Misi mengangkat darjat Islam setingginya sehingga tiada lagi yang lebih tinggi melainkan Islam.
Nasihat buat sahabat
Uusini wa iyyakum yang pasti. Saya mengingatkan diri sendiri dan kalian tentang ini. Tentang harapan hakiki yang harus hadir dalam hati-hati setiap muslim.Pintalah, mohonlah, pasti akan dikabuli
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah(2):186)
...SYARATnya mesti yakin denganNya dan sentiasa penuhi perintah-perintah Allah terutamaNya perintah terbesar yang dizahirkan oleh Rasulullah yang tercinta untuk panduan ummatnya.
Harapan kita untuk makan aiskrim yang tidak kesampaian adalah kecil. Hasrat untuk menduduki rumah mewah dan kereta besar yang belum kesampaian adalah tidak sebesar mana, Putus dalam percintaan sesama manusia kerdil sahaja. Harapan-harapan kecil yang tidak kesampaian ini mungkin satu pendidikan dari Ilahi. Semua yang berlaku baik yang gembira mahupun yang duka telah tertulis di kitab tinggi. Untuk itu Allah memperingatkan
“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,” (Al-Hadid(57):22-23)
Yang MEGA nya adalah harapan kita sebagaimana harapan yang diuswahkan oleh Rasul kita untuk diduplikasi bukan hanya untuk di kenang-kenangi. Harapan kita menumpang bumi tuju mardhotillah. Janganlah kerana hasrat-hasrat kecil yang tidak kesampaian menggugat fokus kita dalam mengabdi kepada ilahi. Jangan halangan yang comel-comel ini menghancurkan harapan terbesar kita. Dan yang paling penting, jangan putus harapan
“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Az-Zumar(39):53)
Ayuh kita sambung harapan teragung kita, mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Menuju kesempurnaan Islam sehingga “..wa rodhitu lakumul islama dina” Mendapat redha Allah. AMIN.
Read More..
Sunday, September 06, 2009 | 9 Comments
