Air Suam Kurang Manis
Sambil menikmati nasi kolesterol kukus ayam goreng berempah sebagai sarapan pagi, Sazali bersembang dengan isterinya. Selain memperihalkan hal anak-anak dan kerja ada juga terselit kisah-kisah gossip Fahrin Ahmad dan kekasihnya. Selangan sembang itu dihiasi bunyi hirupan teh tarik bikinan Manisah, isteri Sazali. Budaya sembang laki bini begini, semacam sudah jadi agenda tetap sebelum Sazali bekerja.Kalau banyak yang dikisahkan, banyaklah bunyi paling sedap di dunia itu kedengaran. Kalau tidak cukup segelas, ditambah lagi segelas. Begitulah seterusnya. Teh Tarik Manisah memang tiada tolok bandingannya buat Sazali. Sehinggakan pernah dia menghabiskan satu teko teh tarik tanpa berkongsi. Memang bak kata iklan, ada ummph.
Sazali bekerja di sebuah syarikat swasta, di Kampung Cucur Attap. Dia mempunyai rutin setiap jam 10 pagi untuk kudapan bersama teman baiknya Maslan, orang Stabak Benam. Sebenarnya polisi syarikat tidak membenarkan sama sekali, kudapan di luar pejabat. Sudah berulang kali diingatkan, namun mereka tidak endahkan langsung. Semuanya gara-gara ketagihan kafein, nikotin, kari dal pekasam serta bergebang . Ubat penyegar mata, jawab mereka memberi alasan. Sambil minum mereka bersembang. Borak tentang ehwal semasa yang terpampang di paru-paru akhbar.
Pagi itu mereka bergebang berkenaan menjadi Hero Rakyat. Masing-masing membincangkan kuasa super yang ingin dimiliki. Sazali berhasrat memiliki kuasa mulut berapi. Ini kerana selain boleh berjimat membeli lighter buat mengkretek, Sakhtinya itu juga boleh dimanfaatkan untuk memusnahkan musuh ketat seperti greenman dan ocean blueman. Caranya dengan menggunakan kata-kata yang berapi disertai juga dengan api yang sebenar. Api nyata yang boleh merentungkan rumah serta penghuninya tanpa belas, yang kemudian nanti direka laporan kesnya disebabkan litar pintas, ataupun ubat nyamuk.
Maslan pula ingin kuasa mimpi. Sesuai dengan dirinya yang sememangnya seorang yang kuat tidur. Namanya sendiri menghampiri kepada perangai orang yang gemarkan tidur, malas. Dengan kuasa mimpi. Dia pasti akan kuat bermimpi, ataupun mimpi dengan kuat, selain kuat tidur dan tidur dengan kuat. Tambahan lagi, kuasanya nanti membolehkan orang lain turut bermimpi, dalam erti lainnya turut tidur dan seterusnya kuat tidur.
Begitulah diskusi serius mereka sambil lubang hidung dibelai-belai aroma air neskape yang penuh anti oksidan seperti yang diiklankan. Oleh kerana mereka berdua maklum tentang hal anti oksidan itu, tidak cukup satu, mereka habiskan dua gelas setiap kali kudapan. Satu gelas mengambil masa setengah jam untuk dihabiskan. Maka sejamlah masa yang diboroskan sebelum sesi penyambungan kerja dibuat. Nyata impian kuasa mimpi dan berapi-rapi mereka itu hanya sekadar mimpi kosong dan berapi sebelum padam. Bak kata orang kampong Isa Kemas, menghabiskan beras sahaja.
Pukul 1 tengahari, tiba masa Sazali mengobrol lagi. Selain Maslan, Makkal Sakitnathan dan Chua Sel Kit turut menyertai. Sungguh satu Malaysia sekali. Menjadi rutin mereka berempat setiap seminggu sekali, makan di Kari Kepala Ikan Restoran New Zealand yang cukup tersohor di Jalan Kampung Cucur Attap. Kebiasaaan makan kepala ikan ini menyebabkan Sazali menjadi seorang yang pelupa. Acapkali dia alpa untuk solat, mengaji dan membayar zakat fitrah. Sambil melemahkan daya fikir dan ingat, mereka bersembang rancak amat seraya masing-masing menghabiskan air batu campur dan laici kang. Kepul-kepul asap rokok mahal dan bajet juga memenuhi ruangan obrolan mereka di tengahari terik itu.
Petang juga masa Sazali dan Maslan duduk berkisah. Sememangnya hobi bercakap ini sangat kuat tertanam dalam diri mereka, sama kuat dengan minat penggila pancing. Kali ini gebangan mereka berlokasi di Restoran Payung Kuning juga di Jalan Kg Cucur Attap. Sambil menjamu roti canai dan teh tarik gelas besar mereka memulakan diskusi ala YB. Kali ini bertemakan khutbah yang disampaikan baru-baru ini. Berkisarkan pendidikan agama yang mahu diterapkan. Masing-masing menyatakan kesetujuan yang tidak terhingga membayangkan betapa prihatinnya mereka terhadap pengetahuan agama anak-anak. Mereka sungguh bangga menjadi rakyat Negara yang mementingkan pendidikan agama.
Mereka meyalahkan sekolah-sekolah dan guru-guru yang menyebabkan anak-anak muda hari ini menjadi mat rempit, mat sosah beg sireh, bohsia dan bohjan serta doktor-doktor cucuk sendiri. Jurutera motor untuk rempit juga tak kurang banyaknya yang dihasilkan dari pendidikan dewasa ini. Kehebatan jurutera motor ini setanding dengan jurutera-jurutera asli dan terbukti bila mana mereka ini mampu meninggikan kelajuan Honda cup c70 sehinggakan mampu mengatasi kelajuan motor Rxz piawai.
Isu kegawatan so sial ini dicemuh oleh mereka berdua. Semuanya ditunding dengan jari telunjuk yang satu, tanpa disedari empat lagi jari tertuju ke arah diri sendiri. Mereka masih kurang mafhum, sebagus mana kualiti pendidikan di institusi pendidikan tanpa disokong institusi pendidikan terawal dan terhebat untuk manusia iaitu keluarga, belum tentu lagi keberhasilannya. Sepatutnya selain institusi sekolah diperkemas dan diperbetul, institusi keluarga adalah yang lebih penting untuk diperhebatkan peranannya dalam pembentukan insan. Pendidikan melalui tauladan. Ibubapa sebagai contoh terdekat dan paling rapat untuk dicontohi oleh anak-anak. Teringat kata ahli falsafah, anak-anak memang jarang dan susah mendengar kata, tetapi tidak pernah gagal dalam meniru ibubapanya.
Ibubapa yang asyik terlupa solat dan mengaji, mennyuruh anak jaga solat dan mengaji. Ini kaedah pendidikan yang senget. Lebih geli lagi, bila bapa marahkan anak hisap rokok, sedangkan tangannya sendiri tidak pernah lekang dari rokok. Sazali harus diberitahu hal ini, dia belum sedar. Niatnya yang suci murni itu harus digiring oleh Kementerian Keluarga agar upaya membuat program-program bimbingan untuk ibu bapa tentang kaedah berkeluarga, membimbing anak-anak menjadi manusia berguna. Bergema sekali sembangan mereka petang itu tanpa disedari gema itu terpantul kembali ke gegendang telinga mereka untuk muhasabah, sama-sama mendalami dan mengamalkan ilmu agama.
Sebelum pukul 7 petang, mereka bersurai pulang ke sarang masing-masing. Mandi dan bersiap untuk makan malam sambil menonton Buletin Sohih, tv tiga suku. Selepas makan nasi, Sazali bersembang lagi tentang hal-hal kerja serta kisah artis cantik Fosseya Ghost dan Rosetta Prawn Chezch dengan isterinya. Keaktifan mulutnya bercakap seiring dengan idamannya memiliki kuasa mulut berapi. Cocok sekali. Selain bercakap-cakap, teh tarik bewarna air Sungai Gabak buatan Manisah tidak dilupakan. Enak sekali nasi dan lauk yang ditelan Sazali diturunkan dari esofagus ke usus melalui perut sambil diiringi teh tarik. Mengendeh perut Sazali diisi dengan makanan dan minuman seharian. Selepas makan, dia sekeluarga menghabiskan malam dengan menonton televisyen.
Sebelum tidur sekitar pukul 10 lebih, Sazali minat untuk bercerita lagi. Sambil minum teh tarik atau neskafe. Kadang-kadang bersama teman di restoran Mamak Suci dan Bersih di kawasan taman perumahannya. Kalau perut masih lapar, boleh disi dengan roti canai dicicah kari dal pekasam buatan 8 bulan lepas. Memang mengiurkan makanan yang telah diperam seperti kari dal itu. Bisa buat perut ketagihan. Kalau tidak keluar rumah pun, Sazali tetap mahu berkisah juga. Otaknya tidak pernah kering idea, walaupun agak kering memori dek kerana suka makan kari kepala ikan. Setidak-tidaknya dia akan berkisah dengan isteri dan anak-anaknya sebelum tidur. Teh Tarik turut ikut acara sembang-menyembang. Semua ini semacam suatu ketagihan buat Sazali.
Begitulah rutin hidup Sazali sejak muda lagi. Kini usianya sudah menjangkau 33tahun. Masih muda. Namun, mudanya tidak bermakna buat Sazali. Urinnya kini disukai semut, mata hitamnya pula sudah mula berselaput. Makanan rutinnya ialah pil-pil bewarna-warni, dan beraneka bentuk.Dilengkapi kotak pil khas supaya jadual gilirannya lebih kemas, tersusun, tidak mengelirukan dek kerana banyaknya ‘gula-gula’ yang perlu dihabiskan.
Lengan dan pehanya dipenuhi dengan parut-parut suntikan yang perlu dilakukan hari-hari. Sama padat dengan parut yang dipunyai oleh ahli-ahli persatuan doktor cucuk sendiri.
Menyuntik insulin menjadi aktiviti hari-hari Sazali, buat mengawal kencing manisnya. Jari-jari kaki kanannya yang mulai menghitam, menunggu saat yang sesuai untuk dipotong. Jantungnya juga sudah mulai penat dan lemah kerana selalu kerja lebih beban mengepam darah manis yang likat dan pekat. Kelemahan jantungnya juga membawa kepada kelemahan ke bahagian-bahagian lain tubuh, termasuk bahagian terpenting buat pria sepertinya. Kasihan, Fungsinya telah mati.
Keadaan dirinya yang penuh derita membuatkan nafsu sembangnya ibarat pucuk yang mati. Cita-citanya untuk mendapat kuasa mulut berapi telah dipadamkan oleh air racun yang dikonsumsinya setiap hari. Yang diperolehi sekarang hanyalah kuasa mendapat kasihan. Sanak saudara dan rakan-rakannya sangat kasihan dengan nasibnya. Walaupun kasihan, kebanyakan mereka hanya bersimpati tanpa empati. Kasihan Sazali. Semua ini gara-gara rutin kehidupan dan pemakanan serta gaya minum-minum yang sudah sangat sebati dalam dirinya. Kemanisan, kelemakan dan kesedapan minuman hariannya menjadi racun jangka, membunuh kenormalan tubuhnya senyap-senyap, perlahan-lahan.
Air putih jernih, jarang sekali diisi ke dalam kerongkongnya. Dari pagi hingga ke petang, sel-sel tubuhnya akan dibasahkan dengan cecair yang manis-manis belaka. Cecair berkalori yang jarang dipertimbangkan kalorinya oleh kebanyakan orang, termasuk orang-orang yang bercita-cita menurunkan berat badan. Rutin Sazali yang mendorong status fizikalnya layak digelar hiper obe siti. Gemuk gendut gedempol bahasa awamnya. Taraf yang membuka banyak peluang untuk penyakit-penyakit masyhur membuat kerja-kerja menambah rosakkan organ-organ tubuhnya satu-persatu.
Kalaulah Sazali diberi peluang kembali ke masa lepas. “Minum apa bang?” “Bagi saya air suam ya” itu buat kedai yang membekalkan air bertapis atau lebih baik “Bagi saya air ro satu botol”. Itulah jawapan terbaik untuk Sazali lafazkan. Tubuh kita memerlukan sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Bukan air teh atau antioksidan neskafe, tapi air suci dan tulin. Buat jurucakap-jurucakap terhormat, selain menjaga pendidikan, penjagaan makan dan minum juga harus diperkemas, diperbersih dan diperbetulkan. Keduanya sama penting timbangannya. Pendidikan ini harus dimulakan, diturap dan ditekankan melalui guru-guru sejati, dan sekolah-sekolah sebenar, ibubapa dan keluarga. Baru nanti kita ada sakhti, dinobat menjadi Hero Dunia.
“Dik, Bagi saya air suam kurang manis satu!”
(*jimat seringgit dua puluh sen)
"Maka hendaklah manusia memperhatikan makanannya" (80:24)
19/10/09 3:22 PM
Salam,
tragisnya hidup Sazali yg masih muda ni kan!
menarik peringatan ini..
mudah2an kita semua dpt ingat mengingatkan supaya tak tersia2 hidup
19/10/09 3:41 PM
kak werdah,
atas pemerhatian,
gaya pemakanan orang kebanyakan,
memang ramai yg memilih minum air bewarna berbanding air jernih..
Kenalah selalukan minum yg jernih.
Hidup sihat dan ceria!
19/10/09 9:17 PM
Salam...
Beringat dalam perkara makan dan minum
20/10/09 4:13 AM
Salam
Teringat semasa saya menuntut di Universiti dulu, seorang warga Jepun ni terkejut tahap gaban bila melihat kami2 ni semua makan roti canai dan teh tarik...orng Jepun tu kata rakyat Malaysia ni hebat2 sebab makan dan minum makanan yang terlalulah tingginya kolesterol....
20/10/09 9:35 AM
Salam..
air suam kurang manis camne rasanye yer.. hehehe.. (^__^)
20/10/09 1:54 PM
diiktiraf pembawa genre baru dalam cerpen bertemakan kesihatan... syabas sedara
20/10/09 1:57 PM
abd razak,
betul betul betul,
makanan mempengaruhi fizikal, mental, spiritual.
Nida,
jepun bangkit lepas kena bom,
diorang jaga 2 makanan,
makanan untuk jismi & makanan pendidikan..
pasal roti canai.. kalau boleh, makan setahun sekali ok kut,
itu pun yang buat sendiri lah,
kat kedai mamak,
tulunglah mintak dijauhkan..
terlalu suci dan bersih untuk disantap.
20/10/09 1:58 PM
Faarihin,
itu ayat jenaka buat menghibur hati gadis cantik molek peminta order yang keletihan bekerja..
hu hu
:)
20/10/09 2:43 PM
cemomoi,
hang pun apa kurangnya,
seniman yang penuh dengan kesenian,
baik tulisan mahupun lukisan.
Hang ada extra satu power..
terima kasih
:)
20/10/09 5:32 PM
Salam ziarah kembali dari saya. Ma'af kerana terlewat. InsyaAllah saya akan datang lagi. Wassalam.
20/10/09 11:41 PM
ct,
sila jangan...
jangan tak datang.
:)
21/10/09 4:03 AM
Moral of the story...jaga permakanan anda. Walaupun makanan yang dimakan itu semuanya halal tapi kalau diambil dalam kuantiti yang berlebihan, ia boleh mendatang mudharat, maka wajar kita tinggalkan.
Good story dik. Keep it up!
21/10/09 6:27 AM
Salam Tinta Kasturi.
Baca sepitas lalu, nanti baca lagi. teringat pantun;
Buai laju-laju sampai cucur atap.
Baru tumbuh gigi dah pandai baca kitab.
....itu orang dulu.
orang sekarang lagi pandai.
..jadi doktor cucuk sendiri.
21/10/09 12:08 PM
kak tirana,
sokong seratus peratus
pak ngah,
statistik menunjukkan semakin ramai anak2 melayu yang melanjutkan pelajaran..
ke pusat2 serenti
22/10/09 1:10 AM
mas tinta.
hahah
habis semua orang kena!
dalam humor kamu didik.
kalau ada kuasa mimpi aku ingin mimpi kebulan dan bertemu pari2 amnedeus!
22/10/09 10:57 AM
terompahkayu,
kamu pengunjung setia,
aku pun setia kunjung kamu,
nasib baik kamu iktiraf humor,
risau aku lawak basi atau tak jadi,
humor dan didik,
harapannya memang begitu.
aku lebih suka makan ikan pari seminggu sekali dari mimpi jumpa pari2
he he..
24/10/09 3:27 AM
salam..
da point is..
jangan banyak melepak..
baik tido jer kat umah..
pasang niat..
malam nak qiamulai..
tak de lah asyik memesan air..
mamak tue pun bukan datang jengah mereka yang kena penangan air tangan mereka..
kehkehkeh..
tinta..
halaman mu harum..
macam minyak atar..
;)
teruskan ye..!
wassalam..
24/10/09 6:52 PM
cahaya malam,
halaman mu apa kurangnya..
bercahaya terang
Post a Comment