feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count
Showing posts with label PATRIOTIK. Show all posts
Showing posts with label PATRIOTIK. Show all posts

Bangkit

Labels: , ,

Jatuh tersunjam
Di laluan siang malam
Menjadi tanah kotor yang hina
dipijak-pijak lumat
Tandus dek keterikan jahiliah

Bangkitkah setelah berubah tanah?
was-wis menyelaput hati-hati
taufah peran selaku abdi
lupa usul diri
tujuan diciptakan

Siram tanah itu dengan hujan ilmu
Sejukkan ia dengan bendungan ma'rib ala saba'
pastikan kebasahannya dengan saliran sungai-sungai mal
Galikan telaga kautsar dengan jengkaut pengorbanan

Bangkit kembali
Pohon yang baik itu
tumbuh semula
akar utuh
Batang menjulang ke langit
tamsilan kalimah toyyibah

Rahsia bangkit dari jatuh
Ada di sebalik pohon itu
Allahu Akbar!






Read More..



Banjir (Bahagian Satu)

Labels: , ,

"Asal spm je banjir, asal banjir je spm" Amrin mengeluh dengan nasib dengan dirinya yang tinggal di negeri semedang banjir. Kelihatan di wajahnya kesugulan dan kekeliruan. Dia pening memikirkan persiapan untuk menghadapi spm yang dibasahi banjir. Buku-buku pelajarannya hampir semua tidak dapat diselamatkan semuanya telah menjadi umpama biskut marie yang dicicah dengan air kopi, lembik dan melayu. Yang tinggal hanyalah nota ringkas yang selalu disimpan dipoket seluar dan bajunya.

"Betul ke takde kaedah nak atasi banjir ni?" saat ini ilmu geografi yang dipelajarinya cuba dipimpin keluar oleh otaknya dari kebiasaan sukatan pelajaran. Dia tidak mahu kepompong kejumudan silibus membelenggu trend pemikiran peribadinya. Dia juga merasakan setiap permasalahan pasti ada penyelesaian. Baginya banjir yang berlaku disebabkan kesilapan manusia. Kenyataan itu terpancar dek kerana teringat nasihat ustaz Sabur berkenaan hal bencana. Dari geografi dia mula menelusuri cabang subjek pendidikan agama. Amrin masih ingat ayat yang dipetik oleh ustaz tersebut

" Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah disebabkan tangan kamu sendiri. dan Allah memaafkan sebahagian (dari kesalahan-kesalahanmu)" (42:30)
Dalam keadaan tidak berbunyi, otaknya berfikir strategi mengatasi banjir. dia mula menyelongkar jawapan kepada persoalan kenapa banjir boleh terjadi. Penyelongkaran ini dibuat bertunjangkan teknik analisa sebab dan akibat yang dipelajari Amrin dari sebuah buku yang tidak termasuk sukatan pelajaran spm. Kalau tangan-tangan manusia yang membawa kepada bencana pasti ada dosa-dosa dan kesilapan yang dibuat berkenaan air dan pengurusannya. Dia mula mendalami kata-kata Allah dengan kaedah yang lebih bertemankan sedikit asas sains yang dipelajari di sekolah. Ilmu mantik juga silir-semilir menghembus dalam atmosfera intelektualnya menterjemah ayat suci.

Longkang tersumbat? Sungai kotor dan tersekat, menyempit? Aktiviti pembangunan tidak terancang? Pokok-pokok yang semakin berkurangan? kawasan tadahan hujan? tanah rendah? tanah tinggi? Beberapa senarai kemungkinan penyebab banjir mula termuntah dari mindanya hasil aplikasi teknik pengilatan otak yang dipelajarinya dari buku yang ditulis oleh Tony Buzan. "Adakah semua senarai ni mereka telah perhatikan?" Perbetulkan mana yang tak betul?" Soalan yang dia sendiri belum pasti jawapannya. Soalan yang datang dari hatinya yang ragu-ragu, kepalanya pula digaru-garu. Gatal dicelah liang rambutnya yang bukan disebabkan kutu, tapi sebab cubaan menggali ilmu diluar sukatan pelajaran. Dari jauh, gaya melengung Amrin tak ubah seperti Albert Einstein sedang tercokoh menyelesaikan ujikaji sulit.

Dia sangat pasti ada penyelesaian yang wajar boleh mengatasi permasalahan banjir. Sekali lagi dia teringat kata-kata ustaz Sabur, Islam adalah penyelesaian kepada semua permasalahan. Kenyataan itu cukup menggigit otaknya yang sememangnya sedang tergigit dengan ugutan spm yang diterimanya dari kementerian pendidikan, ditambah lagi dengan gigitan banjir yang melanda negerinya. Kes gigit ini lebih boleh diungkap seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Gigitan itu walaupun tidak menyakitkan jasad, ia cukup meninggalkan bekas pada rohaninya. Bukan kerana tidak setuju dengan kenyataan itu, tetapi jauh disudut hatinya tertanya-tanya sejauh manakah islam yang dilaksanakan, jika satu-satu masalah yang sudah berkurun dikisahkan masih belum dapat diselesaikan. Jauh disudut hatinya juga, membuat andaian adakah ini balasan dari Allah disebabkn segelintir penduduk negerinya membakar kerusi tak berdosa tempoh hari. Sekali lagi dia teringat pesan ustaz Sabur

"Dan peliharalah dirimu dari siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja antara kamu. Dan ketahuilah Allah amat keras siksanya" (8:25)

Detik ini, kegawatan fikirannya untuk menghadapi spm membawa dia ke suatu tahap pemikiran yang sangat jauh dari silibus pembelajarannya. Pengembaraan otaknya kini sudah hampir-hampir sampai ke tahap professor. Dalam keadaan tercokoh kebanjiran itu, Amrin sekonyong-konyong teringat akan Bandaraya Air, Kota Venice di Itali. Dia tidaklah mafhum sangat perihal bandar zon bebas kereta yang didirikan atas air itu, cuma ingatan yang melanggar fikirannya itu mencetus ilham konsep laluan air ala terusan mungkin boleh dibuat ubat penyembuh penyakit banjir. Gambar kota Venice semakin jelas tertancap pada kacamata fikiran Amrin sekarang. Keseronokan berjalan-jalan dengan bot disekitar kota venice mula dimuat turun kedalam minda fantasinya. Khayal fikirannya semakin menjadi-jadi. Dia mula tersnyum seorang diri. Lagak ahli sains bertemu jawapan. Kesugulan dan kekeliruan fikirannya hendak menghadapi spm mula menyirna ditenggelami kabus imiginasinya yang semakin menebal.

Alangkah seronoknya jika negeri semedang banjir ini dibina sebanyak mungkin terusan-terusan air, yang lebar, dan sepanjang-panjangnya sebanyak yang mungkin. Bolehlah berjalan-jalan menaiki bot mengelilingi negeri. Bukan itu sahaja, terusan ini saling menghubungkan negeri-negeri jiran. Kalau tak cukup negara jiran, satu Malaysia lagi bagus. Bolehlah dia belayar sepuas-puas hati. Sekali lagi senyuman menyeringai diwajah Amrin. Udara pemikiran ala venice semakin kuat berlegar-legar dibenaknya yang tidak benak itu. Terusan yang banyak itu ibarat lebuhraya yang luas dan lebar serta panjang. Dibina untuk menampung semakin banyaknya bilangan kenderaan. Semakin lebar dan luas, semakin banyak alternatif lebuhraya yg ada, semakin kurang limpahan kenderaan di satu-satu jalan dan semakin kuranglah kesesakan lalu lintas. Fikrah kreatifnya kini menyinggah di ruang metafora. Terusan menjalankan fungsi sebagai lebuhraya yang luas, lebar dan panjang. Kereta pula mengungkap seperti air yang banyak yang harus ditampung oleh lebuhraya terusan. Dengan adanya terusan yang banyak, lebar dan luas, panjang pasti masalah kebanjiran dapat diselesaikan. Sambil berfikir, Amrin mengangguk-angguk kepalanya setuju dengan ilhamnya sendiri. Persetujuan yang belum terbukti lagi kesahihannya.








Read More..



Merdeka! ka ka ka vs Merdeta!

Labels: ,

Merdeka ertinya bebas. Fikir saya begitu maksudnya. Benarkah? Nanti saya rujuk kamus dewan. Bebas pula apa? Tidak terikat. Itu yang pertama hasil carian kamus mindaku. Sohihkah? Nanti saya lihat kamus. Layakkah manusia bebas? Pekerja kfc yang berada di premis kfc bolehkah pakai uniform safeguard (syarikat keselamatan). Memang kena halau sahaja kalau demikian fi’il staf itu. Bebaskah? Itu satu tamsil. Ada lagi. Kalau bermain bolasepak bolehkah sesuka hati pakai kayu hoki. Tentu tak sesuai. Gila lebih tepat untuk diungkap. Gila? Teruk sungguh .Itu perumpamaan kedua. Bebaskah? Ada lagi. Kalau budak sekolah lelaki berambut panjang. Tentu kena marah. Silap-silap kena hukuman ala mee maggi. Segera serta-merta. Beruntung juga sebab dapat fesyen yang jarang ada di dunia. Fesyen ala tobek tidak sekata. Guntingan merana namanya. Semerana makan maggi, diasimilasi, tapi kurang bergizi. Ponteng kelas, kena rotan depan jemaah murid dan guru semasa rutin berhimpun. Malunya rasa macam hendak pindah negeri. Itu budak bermoral. Yang kurang, tidak peduli. Hati kering, jiwa lali. Boleh jadi muka dia lagi yang ke depan terima hukuman. Aduh, setiap yang dilanggar pasti dihukum. Tiga contoh sudah memadai untuk difahami. Manusia laisa bebas.


Belum cukup. Elok ditambah lagi mudah-mudahan terang-benderang. Biar tiada lagi tabir yang mengadang pandangan pengertian bebas. Walaupun dengan kain langsir jarang sekalipun. Tanggalkan semua hijab. Biar telus dan tembus. Hakikatnya di dunia ini, tidak ada satu pun yang bebas. Burung yang terbang bebas di angkasa sebetulnya tidak bebas. Ada hadnya. Tertakluk pada takat tinggi maksima menurut upayanya. Matahari dicipta pada paksinya. Tidak bebas. Bumi bergerak melalui orbit khusus. Tidak bebas. Harimau yang cuba-cuba ke kota pasti ditimpa malang. Walau mungkin terlebih dahulu mencipta kemalangan. Tidak bebas. Ikan tidak mungkin hidup di darat kecuali ikan belacak. Begitu pula landak, nahas jika cuba menyelam di laut. Tidak bebas. Semua ada taklukan. Batasan menurut fitrah yang haq. Aturan pencipta alam. Semua tertakluk. Orang Malaysia tertakluk dengan perlembagaan Malaysia. Orang Amerika sama sahaja ditakluki perlembagaan negaranya. Siapa yang bebas. Orang yang tiada Negara mungkin bebas. Betulkah? Sebenarnya, semua makhluk yang dicipta terikat . Terikat dengan fitrah pencipta. Hidup atas qadha dan qadarnya. Dengan izinNya. Boleh bebas, berbuat kontradik fitrah, berjumpalah dengan fasad. Rosak binasa. Malang menimpa. Dihukum penguasa. Layang-layang yang bebas, talinya putus, tidak lagi terikat dengan tuan layang-layang yang mengawal koordinasinya di langit tinggi. Terbang tanpa tujuan. Mengikut stering angin yang berhembus ke sana ke mari. Ke kanan ke kiri tidak menentu. Tanpa arah tuju yang jelas. Akhirnya rebah menyerah pasrah ke bumi. Itu ibaratnya. Bebas yang tidak binasa ada? Ya, ada. Bebaskan diri dari nyamuk dengan memasang kelambu, atau menggunakan ubat nyamuk. Yang berasap atau elektrik. Bebaskan diri dari penjajah dengan menukar polisi penjajah dengan sistem yang tidak canggah. Peraturan yang membawa kebahagiaan manusia. Itu konotasi yang berbeza. Bebas daripada yang salah untuk terikat dengan yang benar. Terikat juga. Tidaklah bebas namanya. Tapi tidak bebas yang ini membawa kesejahteraan.

Manusia di mana sahaja dia berada tidak boleh berbuat suka hati. Berbuat sesuka hati, ya, satu lagi pengertian wajar untuk bebas. Nanti aku pastikan maksud tepatnya. Kembali kepada isu kita layakkah manusia bebas? Nah, jawabnya ada pada persepsi masing-masing. Kecenderungan saya berdasarkan kupasan ini, manusia tidak bisa bebas. Manusia harus punya ikatan dengan Allah. Hablumminallah. Hubungan manusia dengan Allah yang membawa kesejahteraan. Salam yang terpancar dengan kebahagiaan hubungan sesama manusia. Hablumminannas. Semangat persaudaraan yang menghindari penindasan. Bukan sahaja sesama Homo sapiens, tetapi juga untuk sejagat. Rahmat sekelian alam. Hajat untuk hidup bebas hanya tuju fasad, Kehancuran. Ibarat kereta yang tidak diisi minyak hitam terus dikerah untuk berjalan. Pasti masuk bengkel. Silap-silap kena overhaul.

Ini hakikat. Kebenarannya. Namun, masih nukilan ini tidaklah menafikan penggunaan kata merdeka yang digunakan oleh Negara kita. Kerana yang dimaksudkan merdeka itu ialah bebas dari penjajah. Itu lebih kurang sama seperti yang dihuraikan di atas. Di perenggan yang ada frasa ‘konotasi berbeza’. Cuma apabila kalimah merdeka dilaung secara mandiri, risau ada yang salah erti. Berdiri sendiri tanpa sahabat-sahabat perkataan yang lain mendukung. Diulang tiga kali bersendiri. Sama bilangan dengan kata betul yang disebut oleh upin entah ipin, saya kurang pasti. Bukti salah erti itu memang sebanyak pasir di pantai. Setiap orang yang baca bebelan ini pasti ada contohnya. Malam merdeka jadi acara tahunan wajib muda-mudi. Melayu terutamanya. Sedihnya. Pilu sebab disalah erti. Tiga kali laungan mungkin tidak cukup bagi mereka. MEREKA MAHU MERDEKA INFINITI KALAU BOLEH. Acara kejar-mengejar dengan kereta polis oleh sang rempit dan rempitah aksi pelagak ngeri jalanan. Jalan tinggi mahupun lorong kecil bersimpang- perenang tidak peduli. Disusuli slot pening-pening langau gara-gara ekstasi atau ice ice baby. Pening sambil berbunyi ala langau bertemu sampah keji. Ditambah seri dengan air kenikmatan cap brandi. Minda separa sedar , bukan kata ala motivasi, menuntun satu lagi aksi lagak ngeri . Kali ini pengisahan di lokasi dalam kamar, atas tilam lebih spesifik. Ngeri lantaran perbuatan sudah kahwin belum nikah. Lebih ngeri, jika penggambaran lakonan pelakon-pelakon tidak terkenal tapi handal ini jika di buat di lokasi luar tilam. Ini realiti. Bukan fantasi. Tapi bukan rancangan realiti akademi fantasi ya.

Di kesempatan hari kemerdekaan ini, mari kita laungkan bersama. Merdeka! ka ka ka... Merdeka! ka ka ka... Merdeka! ka ka ka.. Bukan gelak, tapi gema. Pantulan semula kata itu yang kuat dibunyikan. Cermin supaya kita merenung dan menghisab tanpa perlu menggunakan kalkulator apatah lagi buku teks kalkulus, tentang erti merdeka. Agar jangan disalah erti. Supaya selari ilmi dan amali. Buahnya nanti tidak fasad, hanya salam.

Merdeta! Merdeta! Merdeta! Bukan tersalah eja. Tidak juga perkataan baru. Jauh sekali perkataan sendiri. Bahasa Ibrani? Salah. Bahasa lain tidak juga. Bukan juga mengejek. Cuma teriakan seorang budak 4 tahun yang lidahnya masih menggeliat membunyikan ‘k’. Yang sedang dikursuskan sebutannya oleh bapa dan emaknya. Diperkayakan lagi dengan jurulatih tambahan penuh keprihatinan para pakcik, atuk dan turut serta neneknya. Teriakan yang waima pelat itu, seakan-akan berdakwah agar orang-orang dewasa kembali ke pangkal jalan. Buat koreksi atas istilah itu. Agar selari ilmi dan amali.

“Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus." (Hud (11):56)

“Aku benar-benar bersumpah dengan kota ini (Mekah).Dan kamu (Muhammad) bertempat di kota Mekah ini. Dan demi bapak dan anaknya. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah. Apakah manusia itu menyangka bahwa sekali-kali tiada seorang pun yang berkuasa atasnya? Dia mengatakan: "Aku telah menghabiskan harta yang banyak". Apakah dia menyangka bahwa tiada seorang pun yang melihatnya? Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua buah mata. Lidah dan dua buah bibir. Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan. Maka tidakkah sebaiknya (dengan hartanya itu) ia menempuh jalan yang mendaki lagi sukar?. Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? (yaitu)Melepaskan budak dari perbudakan. Atau memberi makan pada hari kelaparan. (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat. Atau orang miskin yang sangat fakir. Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang. Mereka (orang-orang yang beriman dan saling berpesan itu) adalah golongan kanan. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri. Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat.” (Al-Balad (90):1-20)

p/s : saya sudah rujuk kamus.
Read More..