Catatan Raya
Seperti biasa, setiap kali malam raya, pasti ada drama sedih ditontonkan.
Berombak-ombak dada menahan air mata di depan orang lain. Nak menjaga status lelaki, mahal air mata kononnya, walhal air mata kepunyaan diri murah dan mudah sekali dirembes apabila jiwa sentimental diusik dan terusik. Tak ada cerita lain ke yang diorang nak tayangkan malam raya ni. Kisahkanlah cerita-cerita bergembira. Atau setidak-tidaknya, pengakhiran hilai tawa, walau awal cerita menggerabak air mata. Tapi, yang pasti peranan media ini memang berjaya. Berjaya sekali. Kemenangan untuk mengurangkan para jemaah untuk ke masjid bertakbir raya.
Dalam-dalam menenung raya kali dan setahun yang lepas. Mata memori saya menjamah pandangan yang menyimpul. Tentang aidil fitri. Baik tahun ini, tahun sudah, dan tahun-tahun sebelumnya. Kesimpulan yang pada saya mungkin tidak sahih dalam benak sebahagian orang. Kesimpulan yang belum berfakta. Sekadar pengalaman masa ini dan lalu mencatatkan data-data hasil sembangan dan pandangan setiap kali raya. Saban tahun, tika hari yang seharusnya umat Islam riang bergembira, acapkali saya mendengar kisah-kisah ala hindustan di pentas realiti. Bukan lakonan. Rupanya tontonan karya di kaca tv ada juga yang boleh digunapakai kebenarannya di dunia luar kaca tv. Bukan sekadar obrolan hana.
Tahun sudah, kisah tali hubungan adik-beradik putus akibat sebuah rumah. Bukan baru tahun itu. Sudah makan 5 tahun lamanya. Cuma saya yang baru balik dalam tempoh waktu itu. Kes yang menggempur-gempur akal kemanusiaan saya. Bagaimana boleh sampai ke tahap itu. Kenapa manusia sanggup membuang hubungan sedarah daging ke tong sampah ketamakan. Walhal harta itu bukanlah suatu yang menjamin kehidupan bahagia. Apalah guna harta setinggi gunung, sekiranya hati, jiwa dan akhlak segersang gurun. Kering kontang dengan kehidupan yang minima. Jiwa yang haus hampir-hampir mati. Harta bukanlah penyebab kebahagiaan walau masih ada persennya ke arah itu, tidak dinafikan. Sebagaimana matan sabda, kefakiran mendekatkan diri kepada kekufuran. Namun, situasi hakiki mencatatkan, bahawa Ah So yang bekerja di ladang kebun pisang, tanpa telefon bimbit, tinggal di pondok usang dengan sepiring astro, kapcai 60cc lebih bahagia dan tenang di banding hartawan berumah banglo, berkereta brabus, berbini model dan segala yang dia mahu. Lebih besar ertinya lagi, bahawa Ah So yang tidak ada doktor peribadi lebih bebas dari penyakit berbanding sang hartawan. Apalah yang nak jadi. Bukan matan ini membawa erti tidak perlu terkejar-kejarkan kekayaan. Silakan, Islam pun tidak melarang, bahkan menggalakkan. Tapi adakah kekayaan harta yang diburu itu menjadi asbab titik keberantakan sebuah institusi pendidikan terpenting, keluarga? Wajarkah begitu terjadinya.
Dalam ketembusan pandangan mata saya ke dunia fikiran malam raya itu, satu pertanyaan muhasabah melanggar minda lagi, menyebabkan gelombang isyarat elektrik beralun-alun mencari jawapan. Pertanyaan yang sudah empat lima kali mengusap-ngusap ketenagan minda dan keutuhan akhlak agar terus-terus menjadi orang berbudi. Adakah satu hari nanti saya terbabit menjadi sebegitu? Atau kalau bukan saya, mungkinkah satu hari nanti bakal berlaku pada adik-beradik saya sendiri. Saat itu, tatapan saya jelas menjamu wajah-wajah saudara-saudara sekandung. Satu-satu di dalami. Mungkihkan nanti ada yang sikapnya begitu? Kalau tenghok raut muka masing-masing, InsyaAllah tiada yang begitu. Dalam kedinginan malam perasmi syawal mulia ini, hati saya mengistiharkan bahawa saya sememangnya sekali, bukan menafikan kepentingan harta, namun saya bukanlah orang yang segila haman. Ahli pengumpul harta yang lupa. Lupa tentang siapa dirinya, apa tujuannya, dan ke mana akan perginya nanti. Pada malam terusik ini, syahdu saya menadah tangan memohon agar prinsip peribadi ehwal kaya ini kekal begini, lestari memandang harta suatu yang perlu dicari, namun jangan sampai kayuhan kepada keperluan itu menjurus kepada kemalangan ketamakan, benci dan musuh serta dendam, jatuh ke gaung hina pemutusan silaturrahim yang dituntut Allah agar dipertahankan. Moga pendirian ini terus tersemat dalam qalbu insan lemah ini yang sering kali hatinya teruji dengan selalu dibolak-balikkan. Mohon istiqamah. Saya turut berdoa agar kepincangan hina ini dapat dihindarkan kepada semua keluarga yang ada dibumi, khususnya keluarga muslim terutamanya keluarga saya sendiri sebagai usaha dakwah dalam strategi menjadi contoh terbaik. Amin.
Tahun ini pula, tidak kalah dengan 3 jam asyikan filem hindustan, kali ini menyaksikan seoarang anak gadis kawin lari. Kawin di Thailand. Ketahuan setelah adiknya menyusun strategi operasi menyerbu dikediaman saudari sedarah dagingnya yang menetap di lembah Kelang. MasyaAllah, rupanya sudah beranak satu. Sedihnya mendayu-dayu melihat anak comel kecil itu bila tahu nama indahnya berbintikan Abdullah, tidak selari dengan nama ayah sebenarnya. Betapa beraninya melakukan tindakan demikian atas nama percintaan. Sehingga sanggup mengenepikan emak sendiri.Emak yang sudah bertahun-tahun tidak berteman. Suaminya meninggal kerna kanser. Kali ini sakit hatinya melebihi kanser yang pernah dideritai oleh arwah suaminya. Bengkak hatinya dipukul tekad dan nekad seorang anak. Peranan ibu merangkap bapanya tersisih. Bagai dibaling jauh, sangat jauh sehingga mata hati pun tidak bisa melihat. Renungan hiba saya menerjah lagi. Kali ini masih hubungan, tetapi lebih besar lagi statusnya, ibu tunggal dan anak gadisnya. Hubungan yang berdenyut-denyut diingatkan dalam Islam akan kepentingan penjagaannya. Jangan berkasar sekalipun dengan mengatakan uffi @ 'ah'. Apalah agaknya kata-kata yang keluar dari ibu ini terhadap kelakuan anaknya yang keras membatu itu.
Mengimbas kembali saat sebelum kejadian peristiwa kahwin lari, hati saya tertanya-tanya, mengapa perlu dihalang atau dipayah-payahkan, mengapa anak gadis lanjut usia itu perlu diliku-likukan laluan munakahatnya. Kejadian yang berlaku, pada saya, adalah gara-gara tidak berlakunya simplicity. Tidak boleh dibawa berbincang atau tidak mahu di bawa berbincang. Kurang lebih samalah tu. Ibarat berurusan dengan bank-bank tersombong, tidak banyak kompromi dan penuh sarat dengan prosedur keterlaluan, Sehingga A tetap A, tidak dibenarkan B walaupun A cuti, atau belum datang lagi, atau A akan ada 3 bulan nanti. Keseliratan ini memandu manusia kepada keceramukan yang merasionalkan ketidakrasionalan. Selain itu, Walaupun tidak serapat mana, tapi hati wangi saya berdecap-decap keliru dengan perasaan yang wujud di malam raya ini. Mengapa mesti begini? Sekali lagi memohon kehadrat Illahi pinta agar tetap menjadi manusia berbudi pekerti. Mohon jadi yang baik-baik sahaja.
Tahun hadapan, entah apa cerita yang bakal dihebahkan. Hati ini kuat memfaktakan pasti ada lagi. pasti siaran berita terkini tanpa tv menghambur-hambur diaidilfitri. Hari raya pada pengalaman saya seakan satu indikator. Pengesan isu-isu sensasi terutamanya tentang hubungan. Setiap aidilfitri pasti tidak menahan, menyingkap isu perhubungan baik yang baru terjadi, mahupun yang tidak dapat dibendung lagi bau persembunyiannya. Rembesan peristiwa yang menguraikan benak minda agar terus berfikir. Terus hidup. Terus berdiri dan berharap agar diri kerdil ini mampu belajar lagi, tanpa henti dan bosan untuk tidak lain, menjadi orang yang baik. Muhsin.
Bukan untuk diigaukan, bukanlah isu ini mendominasi aidilfitri. Bukan untuk difokuskan minda kepada kehibaan peristiwa ala drama ini. Cukup sekadar disimpan dalam kotak memori yang jauh, agar boleh dimbas pabila saatnya diperlukan. Cukup kisah ini buat pengajaran diri saya, dengan harapan juga buat saudara-saudara pembaca, yang cukup sabar membaca. Harap kisah ini memberi pengajaran untuk kita teruskan kehidupan dengan kaedah yang baik-baik. Moga manfaat
Post a Comment