Banjir (Bahagian Satu)
"Betul ke takde kaedah nak atasi banjir ni?" saat ini ilmu geografi yang dipelajarinya cuba dipimpin keluar oleh otaknya dari kebiasaan sukatan pelajaran. Dia tidak mahu kepompong kejumudan silibus membelenggu trend pemikiran peribadinya. Dia juga merasakan setiap permasalahan pasti ada penyelesaian. Baginya banjir yang berlaku disebabkan kesilapan manusia. Kenyataan itu terpancar dek kerana teringat nasihat ustaz Sabur berkenaan hal bencana. Dari geografi dia mula menelusuri cabang subjek pendidikan agama. Amrin masih ingat ayat yang dipetik oleh ustaz tersebut
" Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah disebabkan tangan kamu sendiri. dan Allah memaafkan sebahagian (dari kesalahan-kesalahanmu)" (42:30)
Friday, November 20, 2009 | 14 Comments
Jangan datang sini lagi
hendak dibuang ke mana rasa ini
buang-buang masih melekat baki
melekit dan bertambah lagi
digocoh lumat masih bernafas
dibubuh racun hati tak sanggup
pongah menggunung
degil membatu
kuasa jahat apakah ini
mencetus geger bumi qalbu
mengocak-ngocak lautan jenjam
mencetus gelombang tsunami
menggempur kuat damai batin
sakit yang tak kelihatan
(*)
hela nafas sepuluh
perang mesti tenang
rasa jahat ini harus dibunuh
senjata tuntutan samawi telah ketemu
sedia..
baca! baca! baca!
bunuh! bunuh! bunuh!
(jangan kau muncul lagi)
hela nafas sepuluh (lagi)
Read More..
Wednesday, November 18, 2009 | 12 Comments
Musafir Dinihari
berjalan aku di dinihari
meronda sepi tanpa teman
mencari suatu yang tak pasti
keliru akan rasa hati
(*)
getaran dosa menggegar rasa
embun pagi menggigit resah
menyeram kulit
memuntah insaf
melimpah kolam air kelopak
membasah kering amal
menadah keampunan
(itu yang aku cari)
(*)
Ya Allah Engkaulah Robku
Tidak ada Ilah melainkan Engkau
Engkau menciptakan aku dan aku hambaMu
dan aku berada atas janjiMu
dan aku menepatiinya semampu aku
Aku mengakui akan nikmatMu atas ku
dan aku mengakui betapa aku punya dosa
Maka ampunkanlah aku Ya Allah
Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa
melainkan Engkau
Read More..
Tuesday, November 17, 2009 | 13 Comments
Mana Enam?
Ahad (satu)
Isnin (dua)
Selasa (tiga)
Rabu (empat)
Khamis (lima)
Jumaat (total)
sabtu (tujuh)
mana enam?
ahad - nasrani
sabtu - yahudi
jumaat - islam
apa hikmah disebaliknya ya?
"Allah-lah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'arsy. Tidak ada bagi kamu selain daripada-Nya seorang penolong pun dan tidak (pula) seorang pemberi syafa'at. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?" (Assajdah:4)
(adalah disarankan membaca surah assajadah di rakaat pertama solat subuh di pagi jumaat, diikuti dengan surah al-insan pada rakaat kedua)
"Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Aljumuah:9)
renung-renungkan.. (jangan menung melengung)
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi terdapat tanda-tanda bagi orang yang beraqal. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, (seraya berkata) Ya Tuhan kami, tidaklah engkau menjadikan semua ini sia-sia. Maha suci Engkau, maka perihalah kami dari api neraka" (Ali "imran:190-191)
Read More..Friday, November 13, 2009 | 20 Comments
Kota Lampu
Dalam kesuraman dan kemalapan cahaya gemilang kota lampu, muncul satu generasi ala reformis menuntut pembaharuan. Generasi muda yang tidak muda semuanya sudut usia, tapi semuanya muda sudut jiwa dan fikir. Angin-angin pembaharuan berderu kencang memukul segala apa halangan yang datang. Tidak ada yang dapat membendungnya lagi termasuklah Ibra Nizal, Ketua serpihan kota lampu yang juga salah seorang penuntut tajdid. Kini dia juga disanggah atas transformasi yang cuba dimunculkan. Tidak jauh berbeza dengan yang lepas. Nyata doktrin kemalapan kota lampu masih kuat tersemat dalam sanubari Ibra Nizal. Akhirnya jiwa-jiwa muda tak tertahan, menampar kealpaan dan kebobrokan pemerintahan Ibra Nizal yang semakin kabur dan berkabus serta kabut. Dia kecundang dengan pejuang-pejuang yang lebih muda.
2009 milik pejuang muda yang lebih berani maju kehadapan, lebih laju berlari, lebih cepat bertindak. Namun keberanian, kelajuan dan kecepatan dalam tindakan tidak dirasionalkan sebaik-baiknya. Ketangkasan yang disangkakan mereka, lebih layak disebut rakus, tergesa-gesa dan tamak haloba. Kekuatan yang dimiliki baik dari segi sumber pendapatan mahupun sumber daya manusia menjadi sandaran kemabukan dalam perlaksanaan, baik keputusan yang dibuat mahupun tindakan. Kemabukan tanpa alkohol ini akhirnya memberi tamparan negatif sangat hebat kepada semua rakyat Kota Lampu. Bermula dari puak-puak Sudip bin Algores dari daerah saudagar, disusuli dengan kemunafikan kaum Sekinja yang selalu terkinja-kinja membuat onar di sini sana.
Sehinggalah saat kemuncak buat kemerunduman Kota Lampu, tidak pernah tercatat dalam sejarah Kota lampu sebelumnya, wilayahnya diserang hebat! Kali ini bukan pukulan-pukulan kecil, bukan cubitan atau sengatan yang bisanya boleh hilang sehari dua. Kali ini saat menggegerkan, musuh paling sengit dan bahaya Kota Lampu menyerang dari bahagian yang paling berbahaya. Musuh tradisi sejak zaman berzaman, setelah satu tempoh panjang menyepi diri, mereka muncul dengan peperangan tanpa belas kepada Kota Lampu. Geng Selipar Biru yang merupakan musuh alami Kota Lampu itu, rupanya mengatur strategi dalam sepi. Mencetus peperangan yang tidak pernah terbayang oleh Pemerintah Kota Lampu.
Perang sudah tamat tapi belum habis. Itu ungkapan sampai bila-bila buat kota lampu dan musuh-musuh tradisinya. Kini, fasa pemulihan sedang dijalankan. Air-air penenang dan pemulih semangat dibekalkan kepada semua penduduk kampung yang masih trauma dengan kedahsyatan bedilan meriam dan mesin gun oleh Pihak Selipar Biru. Trauma yang lebih tinggi buat penduduk yang kehilangan ibubapa, anak, serta saudara-mara. Airmata dan ratapan mengiringi pemergian mereka. Kesedihan menyelubungi ruang legar perasaan penduduk kota Lampu. Menjadikan suasana yang sedia malap, bertambah gelap. Kegelapan yang menuntut cahaya agar kembali menerangi. Kejadian ini benar-benar memberikan pengajaran terutama buat barisan kabinet kota lampu agar memandang serius sistem pertahanan dan keselamatan agar mampu memberi pelindung kepada semua penduduk. Supaya hidup sejahtera dan aman.
Thursday, November 05, 2009 | 21 Comments
All Maa Rii ?!
Ini adalah kisah yang dipanjang-panjangkan. Harap sambil terhibur, beroleh manfaat.
***
“Sayang, tengok nih. Cantiknya AlQuran nih. Warna keemasan. Sesuai untuk kita buat hantaran” pekik Jamilah kepada Nabil..
“Sini pun cantik juga. Warna unggu keemasan. Mana satu kita nak beli nih” balas Nabil.
Mereka sedang asyik mencari bahan-bahan untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu AlQuran yang bakal dijadikan hantaran.
“Tapi, yang ni lagi best, ada terjemahan arab” keluh Jamilah.
“ Ala , awak bukan reti pun bahasa arab” jawab Nabil. Tergelak Jamilah. Berbahagia rasanya dapat calon suami seperti Nabil. Prihatin.
“Apa yang saudara cari tu. Nampak seronok saya lihat” tegur pakcik berbaju putih. Jaluran baju ke bawah menampakkan lagi seri wajah seorang pakcik dalam lingkungan 40-an.
“Oh, kami cari AlQuran. Nak buat hantaran. Maklumlah, nak bina masjid” sengih Nabil. Jamilah ikut senyum tidak jauh dari situ..
“Oh. Bagus lah. Adik selalu baca waktu bila?” pakcik menyoal sambil tersenyum.
“Aa.. aa.. lama dah saya tak baca, pakcik“ teragak-agak Nabil menjawab. Jamilah sudah di sebelah rak yang lain.
“Kalau gitu, tak perlu lah beli AlQuran kalau sekadar hantaran. Kesian ALQuran. Itu bukan kitab hiasan, dik” tegur pakcik berhemah.
“Alah, pakcik nih. Kacau daun pulak urusan orang muda. Kami beli ni nak baca la” tiba-tiba Jamilah muncul dengan selamba jawapannya.
“Oh, baguslah. Kalau gitu beli lah tafsir ArRahman. Ada tafsiran lagi” cadang pakcik. Mukanya nampak seperti orang-orang ahli masjid..
“ Ala , besar lah pakcik. Kami nak pilih nih. Kiut lagi” senyum Jamilah mengangkat bungkusan AlQuran warna unggu keemasan. Saiznya kecil.
“Jangan lupa baca ya” pakcik dengan selamba sambil meninggalkan pasangan tersebut.
”Sibuk je la pakcik tu” Jamilah mengomel.
Nabil kelihatan serba salah. Mungkin ‘terpukul’ dengan kata-kata seorang pakcik yang muncul secara tiba-tiba.
Hari yang dinantikan sudah tiba. Mereka sudah bersolek. Hari nan indah. Terlalu indah buat pasangan teruna dan dara yang bakal disatukan. Nabil dan Jamilah tidak sabar-sabar menantikan ucapan indah tersebut. Pak imam baru sahaja sampai.
“Assalamualaikum semua” ucapan salam Pak Imam bergema
Nabil bagai hidup semula. Dirinya terkejut. Jantung bagai gugur serta merta. Mungkin tidak percaya apa yang dipandangnya dihadapan.. Ahli-ahli keluarga berebut-rebut bersalaman dengan Pak Imam. Mukanya berseri-seri. Janggutnya putih. Jubah putih. Rambutnya ada yang berwarna putih.
“Inikah pengantin hari ini?” tegur selamba Ustaz Saad.
“Pak.. Ustaz.. kabar baik, pak... usta.. ustazz..” jawab Nabil mengigil. Jamilah juga terkebil-kebil melihat kelibat orang yang dikenali di kedai buku 2 bulan lalu.
“Oh, sebelum tu, saya suka mendengar bacaan adik Nabil. Mudah-mudahan kita dapat mengambil manfaat dari bacaan pengantin” cadang Ustaz Saad. Kelihatan orang ramai mengiyakan. Maklumlah, ustaz Saad merupakan antara orang dikenali oleh ahli-ahli sebagai penceramah tetap setiap hari Khamis selepas maghrib.
Nabil menelan air liur. Baginya inilah saat paling menyeramkan bagi dirinya. Peluh membasahi baju melayu satin berwarna putih..
“Ss.. su.. surah apa ustaz?” Nabil cuba mengagahkan diri. Jamilah masih melihat dari tepi tirai. Memegang kepalanya. Seperti mengagak benda yang sebaliknya berlaku.
“Oh, ayat yang mudah ja. Baca 3 ayat Surah ArRa’d” kata ustaz Saad sambil menunjukkan baris giginya yang putih hasil bersugi setiap solat mengikut sunnah nabi.
Surah Ar Ra'd
“Apa benda nih” detik hati Nabil.
“Bismillahirrahmaanirrahim...ALL..MAA.. RIII..!!” berlagu Nabil.
Kelihatan gemuruh satu rumah pengantin perempuan. Ada yang keluar dari rumah menahan gelak. Ada yang mengeluarkan air mata menahan kelucuan. Ada yang menggeleng-geleng kepala. Ibu bapa Jamilah merah padam wajahnya. Jamilah entah ke mana, mungkin berpura-pura ke tandas.
“Baru ustaz tahu ada kalimah almari di dalam ALQuran. Adik Nabil, cara bacanya seperti begini : A’uzubillahiminnassyaitaanirrajim.. Bismillahirrahmanirrahim... ALIF.. LAMM.. MIMMM... RAA..” kedengar suara gemersik Ustaz Sa’ad. Orang ramai kelihatan ingin mendengar lebih banyak lagi alunan irama ALQurannya.
Nabil berasa seperti kilat menyambar kepalanya.
“Nabil, kamu jangan merendah-rendahkan kitab petunjuk iaitu AlQuran. Ianya hendaklah dibaca bukan sekadar dijadikan hantaran. Malah lebih malang perlakuan seperti ini seolah-olah menghina ALQuran. Beli ALQuran kemudian menaruh di tempat-tempat tinggi seolah-olah ianya sudah cukup bagi seorang muslim” tazkirah sudah bermula. Orang ramai memang senang cara penyampaian ustaz Sa’ad.
“Tinggi mana pun kamu belajar, tiada gunanya kitab yang tidak berubah ini tidak mampu kamu baca. Kitab ini pasti begini rupanya, ayatnya tetap sama, kedudukannya tidak sama. Malah, ketahuilah Allah akan menjaganya sehingga hari kiamat. Nabil, kalau kamu tahu orang-orang yang mengaku kitab AlQuran sebagai kitab petunjuk kemudian diabaikan dia pasti dilaknat oleh AlQuran itu sendiri. Tetapi beruntungnya orang-orangnya memanfaatkan AlQuran setiap hari, membacanya, menghafalnya, mengamalkan menjadikan hati terlalu tenang walapun dia bukannya seorang yang tinggi pelajarannya, kaya hidupnya dan sebagainya..” penutup Ustaz Sa’ad sudah dikagumi orang terutama yang mengikuti ceramahnya.
Hari semakin cepat berlalu.
Nabil sudah melalui hari-hari yang indah. Kitab ALQUran yang menjadi hantaran pertunangan sudah menjadi diari kehidupannya yang aktif setiap hari.
Pit.. Pit! Jangan lupa datang rumah ustaz malam nih. Kita belajar sama-sama. Jangan lupa bawa isteri sekali ya Nabil. SMS dari ustaz Sa’ad tiba. Jamilah senyum disisi suaminya, Nabil.
[,]
Soalan muhasabah yang dipersilakan jawab dalam hati masing-masing (termasuk saya)
1. Bila kali terakhir kita membuka kitab al-quran dan membacanya?
2. Berapa kerap kita membuka dan membaca kitab al-quran sehari ?(sebulan, setahun, sedekad.. bagi yang tidak ada jawapan untuk sehari)
3. Wajarkah kekerapan yang kita baca sebagai tanda syukur atas pemberian Allah jika dibandingkan dengan segala ni'mat yang Allah kurniakan kepada kita?
4. Bila kali terakhir mendengar alunan suara bacaan al-quran di rumah kita? (rumah-rumah yang kita kunjungi juga, misalnya rumah ayah, ibu di kampung)
5. Berapa ramai keluarga-keluarga terdekat, sahabat-sahabat terdekat dan orang-orang islam yang kita jumpa harian yang menjadikan membaca al-quran (selain dari bacaan dalam solat) sebagai rutin harian ?(mingguan, bulanan, tahunan..)
6. Berikan satu ayat menyatakan tugasan manusia yang terpenting dalam menjalani kehidupan di bumi Allah ini? atau ayat yang memerintahkan untuk kahwin? ayat yang suruh kita jangan berbuat sesuatu melainkan dengan ilmu? (berikan surah apa, ayat ke berapa, kalau boleh, bunyikan sekali ayatnya)
7. Adakah usaha kita untuk menguasai Al-quran melebihi atau sama dahsyatnya dengan usaha kita belajar untuk mendapat sekeping sijil, sebuah diploma, sebentuk degree, secangkir master, seulas phd?
Rasanya banyak lagi soalan muhasabah yang boleh kita tanyakan pada diri kita sendiri tentang betapa kita mensyukuri ni'mat Alquran sebagai mukjizat teragung yang diturunkan kepada ummat akhir zaman melalui rasul agung, Muhammad saw. Bagi yang tidak dapat menjawab langsung atau tidak upaya memberi jawapan yang baik, silalah menangis sekarang, kerana sesungguhnya kita berada dalam buana kealpaan yang amat dahsyat. Merasakan sudah cukup dan selesa dengan amal-amalan harian kita yang masih kurang seberapa.
Mari sama-sama kita renungkan wasiat terpenting Rasulullah saat mengerjakan haji wida' yang kemudian tidak lama selepas itu beliau wafat. Wasiat yang boleh dikatakan antara yang terakhir dan terpenting disampaikan buat dijadikan suatu yang harus di'tiqodkan, dicengkam teguh dalam hati kerana ia merupakan antara pesanan terakhir seorang rasul agung. Nasihat yang seharusnya segar bugar diingatkan untuk panduan umat mendatang, walau telah mencecah beribu-ribu tahun selepas kewafatannya. Inilah pesannya
"Telah ku tinggalkan kepada kamu dua perkara, selama mana kamu berpegang teguh kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitaballah dan sunnah rasulnya"
Moga kita sama-sama fahami dan hayati serta laksanakan maksud 'berpegang teguh' kepada keduanya itu.
Moga sentiasa mendapat keredhaan Allah.
Read More..
Tuesday, November 03, 2009 | 11 Comments