feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Betulkan Tingkap Yang Pecah

Labels:


Basuh
Bila masuk kereta tak berbasuh sepurnama dua, hati menjadi sembab dan bengkak. Muka jadi tidak berseri. Malu menjadi-jadi. Lagi-lagi kereta yang dipandu itu hendak dibawa ke rumah Pak Cik Kassim (bukan nama sebenar). Sebab dia pembersih berstatus bapa mertua ku. Pandu kereta tidak berbasuh memang menjadi igauan nurani, lebih-lebih lagi bila sering menjadi perhatian teman sekerja, pekerja-pekerja dan teman bukan sekerja. Kalau pun kereta itu mandi, hanyalah mandi alami dek kerana hujan yang bersimbah. Tanpa sabun cap Salji, mahupun gosokan-gosokan span dari ahli basuh kereta. Keyakinan diri hilang entah ke mana, lantaran kereta tidak berbasuh. Yang tinggal tidak berlari hanyalah malu. Malu bangun berdiri, menembok pipi dek kerana debu yang bertempek-tempek merata-rata dan butiran pasir serta resit tol bertaburan di lantai kereta. Kotak air yang habis diminum serta botol air mineral juga ada. Semuanya mencacatkan pemandangan. Minda dan hati ikut cacat sementara. Rasa tidak sempurna. Hilang keyakinan diri. Habis input ceramah keyakinan diri, sekonyong-konyong turut berlari jauh dari memori. Baik ceramah Fadzillah Kamsah, mahupun Antoni Robin. Apatah lagi ceramah dari encik Kamaruddin, tokoh Kampung Tanpa Atap, Kuala Lumba.

Keremut
Bila sampai ke rumah Pak Kassim, baru aku perasan. Baju yang aku pakai sebenarnya hebat berkeremut. Masa nak keluar rumah tadi, rasanya macam tidak seteruk mana, sempat gosok sikit-sikit sahaja dek kerana kesuntukan masa. Tiba-tiba diri ini terasa seakan sekecil semut. Malu bukan kepalang, sebab kereta dan baju tidak capai tahap sirim. Segala-galanya tidak menjadi. Butiran kata seperti lidah dan pipi terkena ulser. Kata-kata menyegan, suara sayup-sayup tidak jelas. Saat itu, atas rasa malu, mataku pandang ke bawah. Ya Allah rupanya seluar pun tidak kena juga. Garisan yang sepatutnya ada satu, rupanya bercabang tiga. Macam lembing bercabang tiga syaitan merah, yang berjaya mempengaruhi ramai penyokongnya tersendiri. Lepas ini kena pergi kursus seterika anjuran Kementerian Pakaian nampak gayanya. Nasib baik Pak Kasim tidak kata apa, tapi dari tusukan matanya, aku faham dia rimas dengan segala aspek ketidakkemasan kereta dan diri aku. Pertemuan petang itu, berakhir dengan seribu kekusutan dan keinsafan buat diriku.Dalam memandu pulang, hati masih bercelaru memikirkan. Fikirkan ketidakselesaan bila ketidakkemasan berbudaya.

Rumah
Kecelaruan hati itu dibawa pulang. Bila sampai di pagar rumah, entah mengapa hati menjadi resah. Berdebar-debar seperti terdengar kereta yang pasang speaker kuat tidak ingat punya. Pintu rumah dikuak, oh, argh. Rupanya kecelaruan yang ku sangka habis di rumah Pak Kasim, bertambah pula di rumah sendiri. Rumah ku, di ruang paling utama, ruang tamu sudah seperti tongkang pecah. Mainan anak bertaburan sana-sini, nasi-nasi bersepahan baik yang masih berstrukturkan nasi, mahupun yang sudah dilenyek, bersepah di permaidani. Hati menjadi menggelegak sekonyong-konyong. Anak yang berminat hendak memanjakan diri, aku sergah. Apa sahaja yang tidak kena aku sergah. Termasuklah mainan anak ku, menjadi sasaran terjah. Terjah ini tidak sama dengan terjah melodi tv3.

Kuala Lumba
Aku pun keluar membawa diri menuju ke kota Kuala Lumba buat menenangkan perasaan. Mungkin ini tindakan terbaik. Aku pergi ke Wisma Sangsi. Rupanya sakit mata bertambah, bila lihat tingkap-tingkap yang pecah. Rumah kosong tidak berpintu, kotor. Sampah sarap di sungai bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Teringat suatu masa dulu kempen sungai bersih. Entah berapa belanja yang dikeluarkan, tidak ke mana hasilnya. Pelik aku sungai-sungai di Negara aku lebih kotor dari sungai-sungai Negara John dan Robert. Kini kempen jaga sungai sudah tidak kedengaran lagi. Entah masih ada, atau hanya tinggal sejarah. Cuma kempen yang masih kedengaran kempen pilihanraya, terbaru di Batang Pinang. Begitu sungguh-sungguh mereka berkempen sehingga menitiskan air mata dan darah. Bagusnya kalau kesungguhan itu diturapkan dalam kempen jaga sungai.

Tenang
Dalam aku berjalan-jalan, mata ku terpandang pada dinding-dinding berhias dengan hasil tangan kreatif, yang aku kira tidak mendapat kelulusan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumba. Aku tak pasti adakah ini kesan dari budaya hip hop ataupun kultur rempit dan rempitah punya angkara. Aku peduli hal-hal ini, sebab mata aku menjadi bertambah perit. Semacam sifat penyakit kanser yang merebak-rebak, ke sana-sini. Penyakit ini tidak harus dibiarkan sehingga ke tahap 4, boleh membunuh tanpa ihsan. Aku mesti cepat mencari tenang. Aku berjalan lagi. Tiba-tiba alangkah tidak ku sangka, akhirnya doa dalam hati dikabulkan. Tenang, aku dah jumpa. Aku mengukir senyuman.

“Tenang, lama betul tak jumpa kau” Tenang adalah panggilan nama seorang kawan satu sekolah dulu. Melihatkan pada wajahnya, memang tidak langsung ada raut ketenangan. Yang ada hanyalah, lekuk-lekuk halus bertempekan. Entah kenapa dia digelar tenang, aku rasa tidak perlu untuk cari jawapannya. Sebetulnya nama asal dia Adam. Sekarang dia mintak aku panggil dia Jedi pula. Aku akur, memang selayaknya dia tidak dipanggil tenang. Tidak cocok. Dihadapan aku sekarang, rambutnya tegak mencacak, telinganya bersubang dan fesyen kasut terbaru, terompah kayu. Aku kira, dari penampilan terkini Jedi, dia memang sinonim dengan senario dikawasan terpencil Kuala Lumba ini. Lebih-lebih lagi di lorong Haji Baik yang sememangnya tidak baik langsung. Entah mengapa lorong kecil itu tidak baik, walhal penjaga kawasan berpakaian biru, pejuang kebaikan, berpondok disitu. Ah, rupanya tenang yang aku jumpa hanya mengusutkan lagi.

Gebang
Dalam pertemuan ringkas itu, sempat kami bergebang sambil minum kopi di warung jalan kopi. Bila ditanya pekerjaannya sekarang, dia memberitahu dirinya seorang perompak, tukang pecah rumah, pencuri kereta dan kadang-kala pembunuh. Pada mulanya, aku sangkakan dia sekadar bergurau jenaka. Tapi bila dia serius menegaskan, ditambah perwatakan wajah dan tubuhnya yang jauh dari dulu itu, aku mula naik gayat bergebang dengan makhluk semacam dia ini. Silap-silap aku pun dia rembat nanti. Aku pun mencari alasan untuk cepat-cepat meneruskan perjalanan. Suasana Kuala Lumba, termasuk tingkap-tingkap yang pecah pada aku, semacam faktor penyumbang kepada gejala sosial. Suasana tidak kemas, berselerak, pecah-pecah ini menjuruskan budaya songsang penginap-penginap di sausana sebegini. Lebih tampak lagi, pengaruhnya di Sungai Duit berbanding Kota Kaya di Kuala Lumba. Walaupun kedua-duanya ada kisah tingkap pecah tersendiri.

Kembali
Setelah puas aku meneroka dan keletihan, aku pulang semula ke rumah di temani suram-suram cahaya malam. Kunang-kunang turut kelihatan. Nampaknya di sini lebih tenang dari Kuala Lumba. Keadaan Tongkang Pecah itu bersifat sementara sahaja. Ada masanya, keadaannya lebih kepada Taman Tenang. Mungkin pertukaran konsep itu, akibat acara terjah dan sergah yang tercetus. Bertambah tenang lagi melihat wajah-wajah isteri dan anak-anak sendiri. Apatah lagi bila si abang, 4 tahun sekonyong-konyong bersuara “ Mak, lepas ini kita beli sabun Jun ya”. Terdiam sekejap memikirkan kata-katanya itu. Rupanya dia nampak bungkusan sabun May yang emaknya baru koyakkan. Gelak besar aku dibuatnya. Gelak adalah ubat tenang yang baik juga. Tapi dosnya tidak boleh berlebihan, boleh mudarat. Dalam kegembiraan itu, aku berdoa “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” Rujukan surah AlFurqan, ayat ke 74.

Sekolah
Suasana yang tenang dan damai begini mampu memupuk budaya. Budaya berkasih-sayang. Budaya yang baik. Akhlak yang agung. Ya, suasana mampu mempengaruhi budaya. Suasana yang bersih dan ceria mencetus budaya yang bersih dan ceria juga. Teringat semasa zaman persekolahan dulu. Aku bukanlah budak yang rajin belajar saat mencecah tingkatan 1. Sebelum masuk ke asrama penuh, aku sempat beberapa purnama bersekolah di asmara penuh. Kegiatan-kegiatan persekolahanku mula menyongsang sedikit demi sedikit. Minat untuk buka buku kalah dengan minat untuk buka lagu. Kenakalan menjadi-jadi apabila ponteng sekolah dimasukkan dalam diari. Aku mula melanjutkan pelajaran di beberapa kedai game. Masa itu tidak wujud saiberkafe lagi. Nasib baik aku mendapat tawaran ke sekolah sains batu 9, di Negeri Dua Kerajaan. Dengan aktiviti yang sarat dari pagi ke petang, bersambung malam untuk kelas prep, budaya malas aku berhijrah menjadi rajin. Kebanyakan kawan-kawan bertungkus lumus belajar, membaca, buat kerja rumah. Aku bagai terpukau dengan budaya yang sama, tanpa disedari. Suasana belajar yang ada, kuat mempengaruhi. Kekemasan juga terjamin dengan budaya pemeriksaan ke atas kamar-kamar yang dibuat secara rutin. Suasana ini membentuk budaya bersih. Yang mendorong dari luaran sampailah ke dalaman.

'Ibrah
Masalah kebanyakan datang dari budaya. Budaya kota belantara contohnya. Budaya yang tercipta sesuai suasana yang ada. Suasana atau bi ah kata bahasa alqurannya. Budaya kita harus diubah dengan mencipta suasana bersih, tenang, damai, indah. Agar bisa mencipta kembali budaya bertamadun. Membanteras budaya budak-budak tanpa matang. Ayuh, ambil tindakan bersihkan sungai! betulkan tingkap yang pecah!











25 comments:
gravatar
Leenoh said...
10/10/09 7:01 PM  

Salam Tinta Kasturi.

Muatannya sarat dengan ungkapan tersirat,ibarat,perbandingan dan kiasan yang mendalam.
Dibaca merangkak-rangkak seperti ada juga yang difahami.

gravatar
ahmad humairi said...
10/10/09 7:49 PM  

salam,
pandai anda berkias,
seronok teman membacanya.
rasanya faham tapi mungkin tafsirannya berbeza..
anda hebat!!!

gravatar
saharul said...
10/10/09 10:05 PM  

Tu dia...panjangnya coretan....tok habis koi membacanya...
Tintanya seharum kasturi....hehehehe

gravatar
tinta kasturi said...
11/10/09 12:28 AM  

pak ngah,
ambil yang jernih, buang yang kabut dan serabut..

cikgu myri,
terima kasih baca, mendapat inspirasi dari beberapa kawan blog seperti dr jln kopi, terompah kayu, basuh baju dan beberapa lagi,
mereka lebih bagus.

cikgu jang,
teruskan perjuangan he he,
tak habis bermakan tulisan saya kurang tarikan lagi,
maaf ya, baru nak merangkak meninta,
cuba-cuba,
sikit-sikit lama-lama insyaAllah lebih tajam dari tajamnya pedang

gravatar
Tirana said...
11/10/09 6:33 AM  

Entri yang panjang tapi seronok membacanya. Dalam nada yang serius, terselit sindiran, gurauan dan seribu satu moral yang wajar kita sama-sama fikirkan..

Good work! Keep it up!

gravatar
tinta kasturi said...
11/10/09 10:43 AM  

kak tirana,

terima kasih,
menuju kaedah yang halus yang mulus

(:

gravatar
Nida n' Hanafi said...
11/10/09 12:44 PM  

Salam

Saya suka part lukisan dinding tu.. apakata kita kumpulkan pelukis2 dinding yang tak berdaftar ni, buat satu kursus utk mereka kembangkan bakat mereka.. Barulah mereka tahu nak salurkan bakat mereka ni, so takdelah lukisan2 yg menyakitkan mata kat dinding2 bangunan..

Pendapat seposen dari saya, klu tak betul sori yek :-)

gravatar
tinta kasturi said...
11/10/09 12:50 PM  

saya setuju dan suka pendapat nida tu

pendapat yg brilliant *dengan izin* dan toleran

konstruktif, tidak destruktif
membina, tidak memusnah
memanfaat, tidak membazir

salurkan pada tempat yang betul,
Adil..

syukran

gravatar
hafiz zainuddin said...
12/10/09 2:48 AM  

peeergh. panjang betul perjalanan mas tinta hari ni. Dari Batang Pinang sampai Negara john robert hahaha jumpa jedi, jumpa pak kassim...bla bla bla bla bla hahaha! fesyen kasut terompah kayu tu boleh dikomersilkan, kena bagi tau kat kementerian kasut hahahah

gravatar
tinta kasturi said...
12/10/09 10:27 AM  

terompah kayu,

jauh perjalanan, luas berangan-angan.. tak sudah
pasal terompah kayu tu, boleh juga dibuat daya tarikan pelancong asing aku kira..

gravatar
Dari Jalan Kopi said...
12/10/09 7:42 PM  

kereta saya jarang berbasoh - bimbang matahari mengundur lalu hujan pun turun

baju saya jarang bergosok - tanda diri belom berdua

gravatar
tinta kasturi said...
13/10/09 12:13 AM  
This comment has been removed by the author.
gravatar
tinta kasturi said...
13/10/09 12:24 AM  

dr jalan kopi,

hendak serbu daya beb,

usaha tangga kejayaan,
displin pula kunci kejayaan,
jangan selalu tinggal kunci,
jangan penat daki tangga..

kesimpulannya,
cepat-cepat kahwin bro,
supaya kunci tak tertnggal,
naik tangga tak tercungap..

he he..

gravatar
Aryo Halim said...
13/10/09 1:11 PM  

wah banyak kata yg saya tak tahu, tp ....ok sekali, keep share

gravatar
Hamiza said...
13/10/09 2:09 PM  

wahai tinta kasturi..madahmu berhemah..kata2mu menusuk kalbu..jauhnya perjalananmu tanpa penyudah..coretanmu buat aku di lain waktu pasti dtg bertamu...
selamat berkarya...

gravatar
tinta kasturi said...
13/10/09 2:53 PM  

aryo halim,
perlahan-perlahan baca,
nanti terjatuh dan pengsan..
he he :)

hamiza,
datang jangan tak datang..
terima kasih atas sokongan
dan dorongan

gravatar
pecinta_Islam said...
15/10/09 8:09 PM  

bnyk tul tekanan dan kecelaruan saudara tinta kasturi bila membaca n3 kali ni.hehe..x pe,sbrla bnyk2 ye..mungkin jg menulis di blog ni boleh menjadi terapi kpd kte semua untuk hilangkn stress di rmh dan jg di tempt kje.tul x?
:)

gravatar
tinta kasturi said...
15/10/09 8:32 PM  

syah,
coretan ini berkisar campuran antara kenyataan dan fantasi,
pemberatan mesejnya ke arah moral yang ingin disampaikan,
suasana dan budaya..
maaf buat saudara salah tanggapan terhadap saya berdasarkan entri ini,
saja guna genre yang begini
cuba-cuba..

:)

gravatar
pecinta_Islam said...
16/10/09 12:51 PM  

yeke..sy pun mntk maaf jgk sbb x mampu nk mendalami sngt..skali lagi sy mntk maaf..maklumlah sy ni bkn nye insan yg berjiwa seni.jd krng penghayatan melainkan sesuatu yg direct..tp lps membaca penerangan dr saudara tinta kasturi ni dan kemudian membaca kembali n3 ni dngn teliti alhamdulillah br sy faham mksdnye..bleh dikatakan menarik sngt2 bila memahami mksd tersiratnye.tahniah
:)

gravatar
Faarihin said...
16/10/09 4:05 PM  

Salam...

entry yg banyak tersirat disbalik yang trsurat.. (^__^)

baru baca tajuk2 besar n tajuk kecil..
lain hari baca isi2nya pule... hehehe..

gravatar
cahaya malam said...
17/10/09 7:34 PM  

salam..

moga empunya blog sihat2 hendaknya..

wah,
bukan main panjang lagi entri nie..
tapi panjang juga perjalanan yang tersiratnya..
teruskan ye..

*rajin bebenor..
iri hati betul..
sebab ambo tak cukup masa..
dak nak pekse..

salam depavali..
;)

wassalam..

gravatar
tinta kasturi said...
17/10/09 11:33 PM  

salam cahaya,

selamat berjaya periksa.

:)

gravatar
Faarihin said...
18/10/09 1:55 AM  

Salam..
akhirnya saya berjaya juga untuk membacanya.. sebelum klik readmore sangkanya sudah habis, rupa-rupanya banyak sungguh luahan-luahan itu. Memang banyak yang membawa maksud yang tersirat disebalik yang tersurat.

Dr. Fadzillah ada juga berpesan, bila kita balik dari sesuatu tempat terutama dari tempat kerja, cubalah untuk senyum, tarik nafas, relek2kan diri...

Maka dengan itu,senyumlah sebelum melangkah masuk ke dalam rumah agar diri menjadi tenang biarpun dalam rumah itu jadi tunggang langgang, barulah hati menjadi senang walaupun tak seindah yang dibayang... (^__^)

gravatar
tinta kasturi said...
18/10/09 11:24 AM  

faarihin,
org yg gembira maksudnya,
senyum senyum selalu..

:)

gravatar
Temuk said...
29/10/09 3:44 PM  

Salam Sdr tinta kasturi
Mohon izin mampir. Cantik bahasa & indah lukisan kisah tinta kasturi. Tersirat padat, antara nasihat yang dipahat: selalulah peka bahawa segala kata, tingkah & cara kita amat boleh mengkesani orang lain. Benarlah, andai kita selalu sedar, tidaklah kita menjadi penyebab terguris hati, tercucuk mata, atau terhiris telinga orang. Terima kasih.

Post a Comment