feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Rendah Gunung, Tinggi Harapan

Labels:


Sodium Hipoklorit
Tersebut kisah tentang seorang ibu tunggal. Suaminya telah hampir setahun menceraikannya atas alasan tidak serasi. Anak-anak sejumlah 5 orang memutuskan untuk hidup bersama emak mereka. Bagi mereka, bapanya sudah tiada lagi. Emaklah tempat mereka berteduh, menakung limpahan kasih sayang berkongsi bersama adik-beradik. Yang paling tua ialah lelaki berumur 14 tahun. Angahnya perempuan darjah 6 disusuli adik lelakinya berumur 7 tahun. Selebihnya belum bersekolah, yang lelaki berusia 5 tahun ditemani adik perempuan bongsunya berumur 3 tahun. Ibu mereka hanyalah seorang cleaner. Pendapatannya tidak mencukupi untuk menyara keluarga sehingga menyebabkan anak sulungnya memutuskan untuk berhenti belajar bagi menambah pendapatan keluarga. Masa berlalu, keputusan anaknya membantu mengurangkan beban kurang berhasil. Kehidupan mereka sulit sekali. Serba tidak cukup. Seringkali kedengaran raungan nangisan anak yang terkecil kerana bekalan susu kehabisan. Bantuan-bantuan dari jiran-jirannya yang memang prihatin dengan nasib sekeluarga itu diterima dengan berat hati kerana malu. Lebih-lebih lagi jika yang menerima itu anaknya sendiri. Dia seperti tidak sanggup untuk hidup lagi. Dia sudah mula penat. Lelah dengan nasib yang menimpa. Dia tidak mahu anak-anaknya dibesarkan sedimikian rupa. Membesar dengan menagih simpati. Bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh jiran-jiran menjadi igauan hariannya. Igauan yang mula mengocak-ngocak norma keharmonian akal fikiran kemanusiaannya. Kacau bilau dan besimpang-siur laluan isyarat elektrik dan kimia dalam organ terhebat manusia kurniaan tuhan kesan daripada gempa bumi di mindanya. Gugatan itu mendorong nalurinya ke arah satu titik. Titik noktah hayat insan. MATI. Dia tekad dan nekad untuk mati. “Bila aku mati nanti, anak-anak aku pasti akan dimasukkan ke rumah anak-anak yatim, lebih bagus mereka dibesarkan di sana berbanding dengan aku. Selalu menagih dan menerima simpati” Begitulah fikir minda berkeceramuknya. Dia sayangkan anak-anak. Tetapi pada saat gawat itu dia merasakan itulah pilihan paling tepat. Botol klorox yang berisi sodium hipoklorit terpilih bagi menunaikan hajat ketemu mati. Sebotol penuh diteguknya. Dia lantas terbaring dengan keadaan mulutnya mula mengeluarkan buih-buih abnormal. Anak sulungnya menyedari hal itu, segera menghampiri kujur tubuh ibunya. Berteriakan memangku dan menatap wajah ibunya “Mak, mak jangan mati lagi. Jangan tinggalkan kami. Kami mahu mak, kami perlukan mak, kami nak kasih sayang mak. Kami tak kisah hidup susah, tapi kami tak sanggup kehilangan mak” Jeritan itu diikuti dengan gegasan anak tertua itu meminta bantuan jiran. Dia dibawa ke hospital. Alhamdulillah, setelah beberapa hari dia dirawat akhirnya tubuh badan yang menyerap klorox 500ml itu berjaya disembuhkan. Mungkin pulihan itu atas dorongan kuasa kata-kata anak yang sempat masuk ke gegendang telinganya.

Kisah di atas adalah contoh senario yang mungkin berlaku dalam norma kehidupan hari ini. Apa yang saya cuba singgung kali ini berkisar dengan harapan dan putus harapan Dari cerita tersebut, jelas bahawa manusia yang putus harapan boleh mendorongnya bertindak luar dari batasan kewarasan kemanusiaan. Justeru, adalah penting untuk kita memahami tentang harapan agar terus bersambung. Tidak putus.

Kronologi
Semua manusia mempunyai harapan. Manusia yang hidup tetapi tidak mempunyai harapan itu boleh diibaratkan seperti sudah mati. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Einstein dalam kata-katanya "Ramai manusia yang mati sejak berumur 25 tahun tetapi dikebumikan ketika umurnya 75tahun". Anak kecil biasanya mengharapkan gula-gula ataupun aiskrim. Bila sudah sekolah mahukan basikal. Harapannya lulus UPSR. Meningkat remaja, mula pandai bercinta-cinta, lantas harapannya ingin punya kekasih hati. Bila meningkat dewasa, impiannya untuk berumahtangga. Bila dah tua harapannya nak beramal ibadat menyiapkan diri agar bersedia untuk mati. Itu contoh-contoh kebiasaan harapan, Memang ada macam-macam harapan jika nak ditulis di sini. Yang paling banyak mungkin harapan yang tinggal harapan. Ada harapan yang jadi realiti, tak kurang harapan yang kekal fantasi.

Muhasabah
“Apa harapan terbesar kamu?” Apabila soalan begini dikemukakan, bebola mata bergegas mencari langit untuk ditatap. Merenung jauh ke atas, walaupun jawapannya tidak ada di situ. Merenung dalam-dalam sebelum memberi jawapan takut-takut ditolak markah kerana salah. Lantas ramai manusia akan memberi jawapan-jawapan piawai orang-orang awam zaman sekarang “ Saya nak anak 8 orang, mahu hidup di rumah banglo atas bukit tempatan, risaukan bukit antarabangsa roboh lagi, emm kereta nak pakai bmw 7 series, kalau tak dapat, brabus pun jadi lah, sebelum mati saya mahu lihat anak-anak saya semua berjaya di dunia dan akhirat” Harapan ini sememangnya bagus dan tidak ada salah-balahnya pun. Harapan setinggi ini. Jika jadi kenyataan memang membanggakan terutamanya ‘orang-orang kita’. Namun, jika direnung ke langit lagi, adakah tepat jawapan itu. Adakah langit yang luas itu setuju dengan hamburan suara itu?

Mahfum
Harapan menurut kamus akal saya bermaksud sesuatu yang dingini, sesuatu yang diimpikan, impian,hajat, cita-cita, visi atau perkataan lain yang seerti. Harapan, impian, cita-cita biasanya bertitik-tolak dari minda atau hati. Ada yang melafazkannya ada yang membenam jauh di kotak suara hati sahaja. Ada yang menyusuli dengan gerakan anggota badan, ada yang transformasi menjadi angan-angan tanpa tindakan. Dari capahan spiritual, harapan biasanya diajukan kepada Yang Maha Berkuasa mohon mimpi jadi realiti. Secara tidak langsung harapan yang bermain-main minda merupakan satu bentuk permintaan. Permintaan tanpa suara kepada tuhan. Doa istilah yang biasa digunakan. Harapan dan doa itu boleh dikategorikan selari. Maka, hati-hati dengan harapan minda dengan mengharapkan yang baik-baik. Pintalah kepada Allah dengan permohonan sebesar-besarnya dengan menunduk diri sebagai abdi serendah-rendahnya. Kerana Allah itu Maha luas kurniaNya. Janganlah mohon dengan doa yang kecil kerana jika begitu kita belum kenal bahawa Allah itu Maha Luas PemberianNya.

Doa
"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka". (Al- Baqarah(2):201)

Jarang-jarang kita dengar doa yang dibaca oleh para imam tanpa disisipi permintaan seperti di atas. Biasanya disuarakan diakhir doa. Amalan di seluruh dunia muslim yang memberi kita satu pengertian dan kefahaman betapa besar dan pentingnya permintaan itu.Permohonan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhira. Permintaan yang diredhai Allah, berbanding doa oleh sebahagian lain manusia dalam ayat sebelumnya:

“Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah (dengan menyebut) Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.(Al-Baqarah(2):200)

Hanya yang tidak waras akan berdoa demikian rupa di hadapan pengatur alam. Hakikatnya, pasti ada yang sedemikian rupa kalau begitu firman Allah. Doa bukan sekadar dengan menadah tangan berkata-kata, perlaksanaan atau usaha juga gambaran doa kita. Tidak guna memohon dengan suara tanpa usaha. Mohon ke syurga, tanpa beramal untuk ke sana. Lebih teruk lagi, beramal dengan amalan neraka. Firman Allah :

“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?” (Assof (61):2)


Kalau bukan dalam bentuk dialog dengan Tuhan pencipta, majoriti menzahirkan ayat tersebut (2:200) dalam bentuk implementasi. Usaha-usaha yang tidak henti-henti mengejar duniawi dengan mengalpakan ukhrawi. Firman :

“Adapun orang yang melampaui batas.Dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, Maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal (nya).”(An-Naziat(79):37-39)

Terbaik
Lantas harapan apa yang terbaik sewajarnya manusia impikan? Kebaikan apa yang dimaksudkan dengan doa yang acapkali dilafazkan seusai solat itu? Tentu yang terbaik rujukan kita adalah junjungan besar kita Muhammad saw.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzab(33):21)

Misi hidup kita di dunia ini tidak lain hanyalah untuk beribadah dengan ikhlas kepada Allah. Ibadah yang terbaik ditonjolkan oleh Nabi Muhammad dalam merealisasikan wahyu Allah untuk kita semua contohi. Jadi kebaikan yang kita pohon itu adalah kebaikan apa yang telah ditampilkan oleh Muhammad Rasulullah sepanjang hayatnya. Apa yang telah disyariatkan kepada beliau sebenarnya sama telah diperintahkan kepada rasul-rasul yang terdahulu

“Dia telah mensyariatkan kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada (agama) -Nya orang yang kembali (kepada-Nya).”(As-Syura(42):13).

Itulah tugas utama Rasulullah yakni menegakkan syiar Islam si atas muka bumi. Berdakwah tanpa henti walaupun menghadapi caci-maki penduduk mekah, hatta daripada darah daging keturunannya sendiri. Itulah harapan baginda, membuktikan pengabdian kepada Ilahi dengan menyebar luaskan Islam sehingga capai visi merahmatkan sekelian alam. Itulah kebaikan yang dipinta didunia. Agar di akhirat nanti turut diberkati. Inilah impian Rasulullah. Kejayaan menunaikan misi bermula semenjak lahirnya kota al-munawwarah dan seterusnya misi kembali ke tanah air al-mukarramah menyempurnakan dakwah Islam sepanjang kehidupan baginda.

“Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran MIMPInya dengan sebenarnya (yaitu) bahwa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidilharam, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.” (Al-Fath(48):27).

“....Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Maidah(5):3)

Ayat di atas merupakan WAHYU TERAKHIR diturunkan kepada Nabi kita membuktikan harapan yang telah sempurna, Doa yang telah dikabulkan. Misi yang sangat diredhoi Allah. Misi mengangkat darjat Islam setingginya sehingga tiada lagi yang lebih tinggi melainkan Islam.

Nasihat buat sahabat
Uusini wa iyyakum yang pasti. Saya mengingatkan diri sendiri dan kalian tentang ini. Tentang harapan hakiki yang harus hadir dalam hati-hati setiap muslim.Pintalah, mohonlah, pasti akan dikabuli

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah(2):186)

...SYARATnya mesti yakin denganNya dan sentiasa penuhi perintah-perintah Allah terutamaNya perintah terbesar yang dizahirkan oleh Rasulullah yang tercinta untuk panduan ummatnya.

Harapan kita untuk makan aiskrim yang tidak kesampaian adalah kecil. Hasrat untuk menduduki rumah mewah dan kereta besar yang belum kesampaian adalah tidak sebesar mana, Putus dalam percintaan sesama manusia kerdil sahaja. Harapan-harapan kecil yang tidak kesampaian ini mungkin satu pendidikan dari Ilahi. Semua yang berlaku baik yang gembira mahupun yang duka telah tertulis di kitab tinggi. Untuk itu Allah memperingatkan

“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,” (Al-Hadid(57):22-23)

Yang MEGA nya adalah harapan kita sebagaimana harapan yang diuswahkan oleh Rasul kita untuk diduplikasi bukan hanya untuk di kenang-kenangi. Harapan kita menumpang bumi tuju mardhotillah. Janganlah kerana hasrat-hasrat kecil yang tidak kesampaian menggugat fokus kita dalam mengabdi kepada ilahi. Jangan halangan yang comel-comel ini menghancurkan harapan terbesar kita. Dan yang paling penting, jangan putus harapan

“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Az-Zumar(39):53)

Ayuh kita sambung harapan teragung kita, mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Menuju kesempurnaan Islam sehingga “..wa rodhitu lakumul islama dina” Mendapat redha Allah. AMIN.





9 comments:
gravatar
Abu Aiman said...
6/9/09 5:39 AM  

akhi, ana pernah dengar orang tengah buat PhD bunuh diri... sebab tak tahan.

InsyaAllah sebagai Muslim, kita mesti sentiasa ingat tempat menggantung harapan kita hanya pada Allah. Kalau dok berharap pada yang lain, makhluk itu tidak kekal dan tidak berkuasa. akhirnya kecewa juga.

gravatar
tinta kasturi said...
6/9/09 10:04 PM  

salam sahabatku abu aiman,

terima kasih sudi baca..:D

InsyaAllah. Sesamalah, ingat-mengingati. Aku pun sama nk ingat kn diri.

"Fazakkir innazzikra tanfa'ul mu'minin" (AzZariyat(51):55)

TQ
:D

gravatar
cahaya malam said...
7/9/09 6:23 AM  

salam..

"man jadda wajada,
wa kasala fashala"

sebuah entri yang padat,
makin dibaca makin nikmat,
baik yang tersurat,
ataupun yang tersirat,
moga terus menulis,
moga hati ini,
tidak sesekali kufur nikmat,
insyAllah..;)

anda pun jgn terus menulis..
entri anda merupakan rekod masa pembacaan blog yang paling lame yang pernah saye bace .. ;P
hee

salam nuzul quran..
wassalam..

gravatar
tinta kasturi said...
7/9/09 3:26 PM  

terharu dgn statement cahaya malam,

:D

Semuanya dari ilham Ilahi
Aku hanya pencatat yg mencatatkan
Seupaya mungkin agar selari aqli dan naqli..

Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa seperti kamu, kalian..

Terima kasih sahabat

gravatar
Tirana said...
8/9/09 4:29 AM  

Sedih pulak baca entri ni.. Manusia di akhir zaman ini sudah tidak kental hati dan semangat..mudah berputus asa dengan ujian dan dugaan. Kadang-kadang yang beragama islam sendiri pun akan terfikir untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan ujian. Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang dipelihara oleh Allah dari sesuatu yang tidak elok.

gravatar
tinta kasturi said...
8/9/09 12:46 PM  

Amin..

Sebenarnya kisah yg dikisahkan, waima dicatat sebagai tamsil, hakikatnya kisah itu kisah yg dipetik dari kisah yang benar, kejadian yg berlaku disekitar cheras kalau tidak salah. Cuma ceritanya yang dicatat di atas mungkin ada yang lari sebabkan lupa, jadi ditulis sebagai conothnya. Dan watak-watak sebenarnya bukan orang asing, .. orang-orang kita..

Inilah satu contoh konsekuensi kebuluran hidangan rohani..

gravatar
BUJANG SUSAH said...
16/9/09 3:52 AM  

Assalamualaikum.. selamat menyambut syawal yg bakal menjelma.. Semoga dipertemukan dgn Ramadhan yang akan datang insyaAllah.

gravatar
tinta kasturi said...
16/9/09 1:43 PM  

terima kasih bujang, your blog, my inspiration!

:)

Salam raya juga buat saudara,
minal aidi wal faizin
Mohon maaf zahir dan batin.

gravatar
tinta kasturi said...
16/9/09 1:43 PM  

terima kasih bujang, your blog, my inspiration!

:)

Salam raya juga buat saudara,
minal aidi wal faizin
Mohon maaf zahir dan batin.

Post a Comment