feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Catatan Raya II

Labels:



Menyangga mata agar sentiasa terbuntang ketika mendengar khutbah memang suatu yang didoakan bagi diri saya. Tak kurang ramai juga yang sekadar merelakan lelapan mata setiap kali acara kegemaran ramai ini berlangsung. Bukan kerana letih fizikal badan, tetapi keghairahan mendengar seruan tidak sekata dengan ghairahnya melihat Manchester United di dinihari. Apabila suis pandangan ditutup, begitulah juga pendengaran. Maka ramai yang hadir sekadar memenuhi ruang tanpa menghadirkan jiwa. Begitulah pemandangan masjid dipagi raya. Seruan agar umat Islam menafikan budaya kejahilan dengan kembali kepada ajaran Islam sebenar, menjadi topik yang didengari acuh tak acuh.

Satu lagi yang mencuri pandangan di pagi syawal itu ialah aspek fizikal masjid. Bertahun-tahun saya singgah di masjid ini, begitulah keadaannya. Nyata kalah teruk sambutan keceriaan aidilfitri di masjid berbanding di rumah. Tidak sah untuk kebanyakan rumah beraya tanpa langsir baru, tikar dan karpet yang baru, bilik baru dan banyak lagi yang baru. Nampaknya kemajuan milikan peribadi lebih tampak berbanding milikan semua. Koleksi harian, mingguan serta tahunan kalaulah dihitung-hitung untuk sebuah masjid saya kira jumlahnya lebih banyak berbanding jumlah yang tuan rumah peribadi gunakan untuk menghias rumah. Bukanlah hasrat hati condong materialtistik atau keduniaan. Dunia semakin, maju. Umat Islam harus seiring menampilkan suatu yang maju dan sewajarnya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa yang lain. Bukan cakap kosong kerana semua ini telah dterapkan saat Islam gemilang. Islam di pandang kerana ilmunya. Bukan ilmu dilidah sahaja, tapi ilmu yang diterjemahkan oleh kemajuan-kemajun dan pencapaian-pencapaian dalam segenap aspek kehidupan. Apakah masjid menyerah bungkam, kalah begitu sahaja dengan kuil-kuil penyembah lembu yang merafa'kan kemuliaan tempat ibadah mereka dengan warna emas-keemasan walaupun bukan tulin. Mereka menunjukkan kesungguhan mereka memandang tempat sebegitu sebagai tempat yang mulia, dan perlu dimuliakan. Entah berapa pungutan derma yang terkumpul oleh mereka yang tentunya tidak mendapat biaya kerajaan uuntuk tujuan itu, kalaupun ada tidaklah sebanyak yang seharusnya diperoleh oleh masjid-masjid Melayu Islam. Hemat saya, berlandaskan realiti, kehadiran jemaah ke masjid lebih lagi berbanding ke kuil. Walau itu kenyataan pandangan saya, kerja-kerja menaik taraf oleh mereka pada tatapan saya sepanjang perjalanan , tidak berhenti-henti. Perlahan tapi pasti. Pasti berubah. Perubahan-perubahan kecil yang dihimpunkan akhirnya tampil dengan struktur kemegahan yang baru dan indah. Menambahnaikkan lagi semangat-semangat para penganutnya untuk istiqamah hadir disetiap acara penyembahan dijalankan. Jauh berbeza dengan masjid yang saya hadiri untuk solat raya hari ini. Begitu juga para penganut Nasrani baik kaum india, cina dan Melayu. Kemajuan mereka adalah lebih lagi. Terkini, pembangunan struktur bangunan Gereja terbesar Asia di Bukit Jalil Calvary Convention Centre (CCC) mempamerkan institusi peribadatan serba lengkap dengan auditorium, kelengkapan untuk pembelajaran, bilik seminar, dan lain-lain mencirikan konsep ibadah yang seimbang dan sempurna yang tidak salah langsung andai kiranya para masjid mencirikan sedemikian rupa, bahkan lebih lagi sepatutnya. Struktur futuristik bangunan CCC di bukti Jalil bertatahkan tema “Masih Ada Harapan” menguswahkan konsep ibadah tidak sempit dan jumud dan penuh dengan strategi tarikan kreatif yang kita harus fikirkan lagi bersama supaya lebih hikmah daripada mereka. Kerana agama kita, agama sempurna, yang turunnya menyempurnakan yang lain-lain. Lebih sempurna dari agama-agama yang lain, tanpa menidakkan tuntutan kemuliaan dan kebaikan dalam agama yang lain.

Kembali ke ruang dalam masjid serba tidak berubah itu. Suara serak-serak garau tuk imam yang usianya menjangkau senja memecah keheningan suasana masjid. Slot khutbah raya bermula seusai solat idul fitri. Seperti yang diduga, getaran tongkat khatib tampak jelas selari dengan getaran suara yang keluar dari kerongkong pak imam itu. Khutbah Idulfitri seperti tahun-tahun sebelumnya berlangsung dengan nada dan irama klasik fm. Walaupun radio klasik fm itu turut didengari oleh muda-mudi, tetapi bilangannya boleh dikira. Bahasa dan lagu klasik lebih cocok dengan kaum veteran tanpa penafian. Bukan menidakkan bakti dan jasa yang pernah ditaburkan. Zaman sekarang penuh perubahan yang segar lagi menyegarkan. Anak-anak semuda 4 tahun sudah mampu menggunakan komputer riba. Tahun ini juga penuh pepak dengan transformasi selain filem transformer yang turut memuncak. Bermula dengan pembukaan tirai AF sehinggalah yang terkini hijrah konsep satu Malaysia, rakyat didahulukan, prestasi diutamakan. Ciri masyarakat madani memang mahu dan mampu berubah, menerima hakikat bahawa ikutan nenek moyang, bapa-bapa terdahulu boleh direvisi dan diimprovisasi untuk melebatkan lagi buah-buah perlaksanaan. Justeru, di aidilfitri, dalam suasana ceria yang indah, elok juga penampilan imamnya yang lebih bugar, suara yang lebih semarak. Sehingga mata-mata yang hadir dihalang untuk pejam oleh kuasa penampilan, kelantangan dan kesegaran wajah tanpa kedut dan alunan suara sesuai melodi. Bukan menidakkan kejauhan ilmu yang telah dipelajari oleh imam awal, namun hijrah minda saya menafsir, golongan muda juga tidak kurang pembelajarannya. Sesuai dengan teknologi pembelajaran terkini, ilmu-ilmu lebih mudah dicari dan terbentang luas tanpa sempadan. Justeru, hemat saya insan kerdil ini, yang muda harus siap, yang di hormati bapa-bapa penuh jasa harus memberi laluan. Namun, apa yang diperkatakan diperenggan ini bukanlah untuk semua warga emas yang merangkul jawatan imam, sebab ada yang walau usia telah dinobat emas. Penampilannya juga bak emas. Ada daya tarikan. Masih bugar segar menterjemah dan melaungkan ayat-ayat Allah dimimbar-mimbar. Tenaga yang barangkali jauh lebih bersemarak dari warga-warga belum emas. Bagi karakter sebegini, yang terus-terus bertanggungjawab atas kesihatan dan kemudaan diri terutamanya jiwa, sangat baguslah diteruskan tugasan selagi dayanya kuat dan kental. Bagi yang semakin garau suaranya, tutur kata yang kurang dapat ditangkap oleh para pendengar, struktur tubuh yang semakin condong ke depan dan tangan yang kurang upaya memegang tongkat khatib atau teks khutbah, pada saya, maafkan saya, eloklah kiranya memberi laluan kepada yang lain.

Sarana khutbah adalah sarana penting pendidikan, wadah penyampaian mesej terbaik buat umat islam terutamanya bagi menyedarkan kembali kepada akidah Islam sebagai yang terpenting saya kira. Sesuai berlandaskan sunnah rasulullah berdakwah awalan dikota mekah yang penuh kemaksiatan, waima penduduknya muslim majoriti. Sarana khutbah idulfitri mahupun idul adha yang merupakan acara penyampaian mesej tahunan sewajarnya ditunggu-tunggu oleh segenap muslim tentang apa input yang ingin dikhabarkan, begitu sebaliknya sewajarnya mesej yang ingin disampaikan disiapkan dengan persiapan yang bukan sekadar melepaskan battuk di tepi tangga. Begitu juga dengan khutbah mingguan jumaat sewajarnya dimanfaatkan sebaik-baiknya. Komitmen umat muslim untuk hadir kalau dibilas-bilas pandangan mata, tidak dinafikan menggapai jumlah yang sederhana banyaknya. Bakinya yang jarang-jarang atau tidak hadir harus dievaluasi dan didik lagi dengan pendekatan yang tidak statik dan layu, sekecut sayur yang disimpan lama. Pendekatan yang layu dan tidak bermaya. Alangkah sangat amat bagusnya, andai tempoh jumaat purata 2 jam itu dimanfaatkan dengan persediaan yang paling bersedia, siap dan yang terbaik. Penyampaian ilmu yang segar adalah ilmu yang relevan. Sesuai kondisi yang berlaku kerana gaya pendidikan turunnya al-quran juga begitu. Mata-mata minda yang ditampar dengan isu-isu hangat dan terkini, dijelaskan dengan penuh Islami, pasti tidak sanggup untuk tidur. Berbeza dengan ubat-ubat tidur yang disedekahkan melalui isu-isu basi, ditambah nada suara sayup-sayup sepi. Dengan tenaga yang terpancar dari jiwa-jiwa bugar pengobar muslim yang terpilih dengan rasional transformasi pasti menembus hati-hati setiap yang hadir. Semarak yang membangkitkan muslim menjalankan tanggungjawab dan peran masing-masing setelah ilmu yang dipahat menghasilkan ukiran memori kekal yang mampu dimanifestasi dalam praktik dan pengulangan sebaran, mewujudkan budaya ilmu tidak jumud. Saya menyelami ini penuh yakin, dengan fokus persiapan, strategi terhadap pendidikan rutin terhadap muslim ini agar masuk dan melekat di dada setiap hamba Allah, pasti mampu mengubah nasib kaum muslim khususnya negara Malaysia yang bersebutkan Melayu menjadi khaira ummah seperti yang dilaung-laungkan.

Sebenarnya, apa yang diamalkan hari ini tidaklah kurang juga. Ramai lagi muslim yang sanggup hadir ke masjid, walaupun ilmu didadanya kemungkinan di status E, namun boleh diisi lagi. Masih ada lagi golongan-golongan yang mengimarahkan masjid dengan budaya ilmu walaupun bilangan masjid sebegini boleh dikira dengan jari tangan tanpa kaki, masih ada. Masih ada harapan, teringat saya ungkapan tiga kata yang mampu menarik jiwa-jiwa yang putus harapan, hancur harapan, dan tidak boleh diharap. Kecewa kata-kata ringkas tapi strategik itu disemadikan di gereja terbesar Asia, Bukit Jalil. Namun, indahnya motivasi itu, tidak salah kita rendahkan jiwa sombong jahil yang mendarah disegenap tubuh dan keturunan, untuk mengambil itu sebagai suatu yang cukup baik, positif untuk dicontohi. Kerana pembelajaran kita tidak harus mati disebelah pihak sahaja, perhatikanlah pihak-pihak yang merata didunia ini untuk terus berubah, tanpa kurang mengagungkan kepunyaan sendiri. Perubahan yang pastinya berpaksikan wahyu ilahi dan manifestasinya sebagaimana apa yang dilaksanakan Rasulullah. Masih ada harapan lagi untuk kita mengambil tindakan saat ini. Masih ada. Jangan dipersiakan, dan jangan lagi ditangguh.






10 comments:
gravatar
Nida n' Hanafi said...
30/9/09 2:01 PM  

Harap tulisan saudara ini akan menyedarkan umat Islam tentang perlunya kita semua bersatu...dan di masjidlah merupakan institusi bagi penyatuan saudara seIslam dalam membina kekuatan jati diri... Insya Allah

gravatar
Cik Skaf said...
30/9/09 2:54 PM  

salam.
Berharap entri ini dapat menyedarkan dan memberi ilmu baru kepada ramai pembaca termasuk saya sendiri.
Meminati isi dan juga gaya penulisan sdra. Teruskan menulis.

gravatar
tinta kasturi said...
30/9/09 3:23 PM  

InsyaAllah nida,
terima kasih atas dorongan dan sokongan,
sama-sama kita manfaatkan wadah yang ada ini untuk menukilkan ilmu yang harap-harapnya dapat berikan manfaat.

gravatar
tinta kasturi said...
30/9/09 3:25 PM  

cik skaf,

terima kasih.
alhamdulillah.

:)

gravatar
Leenoh said...
1/10/09 9:28 AM  

Salam tintakasturi.

Walaupun dilarang menghias masjid tetapi kebersihannya disuruh jaga, sekurang-kurang angkatlah ke taraf kesederhanaan dan jauhkan yang menghinakan.

Entri anda menyedarkan minda supaya sentiasa berfikir untuk kebaikan masjid dan memakmurkannya.

gravatar
tinta kasturi said...
2/10/09 12:40 AM  

Leenoh,

terima kasih atas bacaan dan komentar.

Terlintas diminda pembaikan tanpa menyisih keindahan yang dilakukan di masjidil haram dan masjid nabawi.Pasti imam-imam besar mursyid di sana tidak menafikan tindakan konstruktif berhalakan manfaat dan kemudahan serta keselesaan untuk semua, terutamanya dalam menjalankan aktiviti ibadah.

Ciptaan Allah indah-indah bukan. Subhanallah. Tentu ada mesej yang disampaikan kepada manusia atas keindahan ciptaanNya.

Sama-sama kita saudara segama ku Leenoh, memasang mentaliti Islam yg palin tinggi, Al islam ya'lu wala yu'la 'alaih, menjadi khaira ummah, umat yg terbaik, menampil uswah hasanah, menjadi contoh, ikutan rujukan sekelian alam sebagaimana yang pernah tercipta saat Islam gemilang, menjadi umat terpilih, ummatan wasaton.

gravatar
Anonymous said...
2/10/09 9:05 AM  

tinta kasturi

saya dah jengok laman ini.
bagus.
rajin-rajin menulis

azizi abdullah

gravatar
tinta kasturi said...
2/10/09 10:22 AM  

terima kasih azizi abdulllah..

:)

gravatar
d0tbl0gsp0td0tk0m said...
2/10/09 5:04 PM  

bila sebut masjid.. orang akan kata.. untuk solat je....

itu je yg ada dalam minda mereka...

tapi masjid nih sebenarnye tempat menyatukan ummah dengan berbagai cara...

ntah le....

gravatar
tinta kasturi said...
2/10/09 7:05 PM  

itulah mentaliti terselimutkan yang perlu ditanggal selimutnya..

Post a Comment